KUALA LUMPUR: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) memperuntukkan wang tunai sebanyak RM200,000 bagi keseluruhan pemenang Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-32 yang bakal berlangsung di Encore, Melaka pada Jumaat ini.
Pemenang setiap kategori bakal membawa pulang hadiah wang tunai antara RM5,000 hingga RM15,000, manakala pemenang bagi kategori Anugerah Seniman dan Seniwati Sepanjang Zaman dihadiahkan pakej umrah dan RM15,000.
Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Profesor Dr Md Nasir Ibrahim, berkata pihaknya cuba mendapatkan hadiah tajaan besar bagi menyemarakkan penganjuran FFM 32.
Malah, katanya, FINAS juga masih menantikan beberapa tajaan besar yang dijangka masuk sebelum berlangsung malam kemuncak FFM 32, Jumaat ini.
"Bagi kategori Anugerah Seniman dan Seniwati Sepanjang Zaman, kami ada kriteria jelas berhubung soal pemilihan pemenang.
"FINAS memberikan keutamaan kepada pelakon menggalas watak utama, selain melihat kepada kepelbagaian bakat dan keupayaan terbabit dalam pelbagai bidang.
"Pengalaman turut menjadi kriteria penting. Jadi, lebih lama pengalaman, lebih tinggi peluang untuk menang.
"Selain itu, FINAS turut melihat pencapaian pada peringkat tempatan dan antarabangsa.
"Pemenang bakal memenangi hadiah wang tunai lumayan dan pakej menunaikan umrah. FINAS juga sedang mengusahakan hadiah lebih menarik untuk pemenang," katanya kepada BH Online.
Menyentuh soal penjurian, Md Nasir berkata, proses penjurian diadili secara telus oleh juri profesional.
"Setiap subjek dinilai dengan teliti bagi memastikan keputusan adil, sekali gus mengelakkan wujud pilih kasih.
"Disebabkan itu, FINAS tidak mendedahkan nama juri bagi mengelak timbulnya pertikaian," katanya ketika ditemui pada sidang media kedua dan pengumuman calon Top 5 FFM 32, Jumaat lalu.
Mengulas persiapan malam kemuncak FFM 32, Md Nasir berkata, persiapan sedang giat dijalankan bagi memastikan acara gilang gemilang itu berlangsung dengan sempurna.
"Kini, hanya tinggal tiga hari sahaja sebelum malam kemuncak berlangsung, jadi persiapan rapi sedang dilakukan.
"Persiapan sangat mikro di mana kami meneliti setiap bahagian satu persatu bagi memastikan perancangan lebih teliti agar malam kemuncak FFM 32 berlangsung dengan efisyen dan mengelak cacat cela," katanya.
Beliau berkata, FINAS juga mengundang 21 bintang veteran ke malam kemuncak FFM 32 bagi memberikan apresiasi kepada mereka ketika masih ada.
"Antaranya, Datuk Rosnani Jamil, Wahid Satay, Zaiton, Dayang Sofia, Sofea Ibrahim dan ramai lagi," katanya.
Mengangkat tema Filem Kita, Citra Kita, FFM 32 menyaksikan persaingan filem ditayangkan antara 15 Julai 2021 hingga 30 September lalu layak dipertandingkan dalam 22 kategori, kali ini.
Menerusi pengumuman calon Top 5, filem Spilt Gravy/Ke Mana Tumpahnya Kuah arahan Datuk Zahim Albakri Ikmal mendominasi 14 daripada 22 pencalonan dipertandingkan.
Mengekori rapat filem berkenaan ialah Air Force The Movie: Selagi Bernyawa yang meraih 13 pencalonan, diikuti Juang dan Abang Long Fadil 3 dengan masing-masing 10 pencalonan.
Pemenang kategori Filem Terbaik bakal memenangi Dana Kandungan Digital (DKD) bernilai RM500,000.
FFM 32 dijangka dihadiri lebih 1,400 jemputan termasuk 250 calon dan 21 bintang veteran dari Malaysia dan Singapura.
Menampilkan pengacara hebat, FFM32 akan dikendalikan oleh Awal Ashaari dan Che Puan Sarimah Ibrahim.
Lebih menarik, Datuk Zainal Abidin, Siti Nordiana, Azlan & The Typewriters, Ernie Zakri, Marsha Milan Londoh dan Hazama akan mengisi slot persembahan pada malam kemuncak FFM 32.
Antara penyampai trofi termasuklah Maya Karin, Nam Ron, Faizal Hussein, Zul Ariffin, Ummi Nazeera, Hairul Azreen, Adrian Teh dan Ashraf Muslim.