KUALA LUMPUR: Desas-desus mengatakan personaliti televisyen jelita, Hawa Rizwana Redzuan, 27, bakal mengacarakan program hiburan, MeleTOP sudah bertiup kencang, sejak beberapa bulan lalu.
Ia dikuatkan lagi apabila kelibat pembaca berita di TV3 itu kelihatan menyerikan program hiburan berkenaan sama ada sebagai tetamu atau hos jemputan bergandingan dengan Nabil Ahmad.
Bagaimanapun, spekulasi status Hawa atau nama sebenarnya, Hawa Rizwana Ahmad Redzuan terjawab apabila diumumkan sebagai hos MeleTOP sejak 1 November lalu.
Mengulas kenapa berminat menjadi pengacara program hiburan, Hawa berkata, semuanya berlaku selepas dilamar menjadi hos jemputan program berkenaan.
"Selepas beberapa kali muncul, ramai rakan-rakan dan pengacara yang lebih senior menyarankan saya cuba mengacarakan program hiburan.
"Saya membuat solat sunat istikharah agar diberikan petunjuk yang terbaik buat saya.
"Jujurnya, saya tidak pernah terbayang masuk dalam dunia hiburan. Segala-galanya berlaku begitu bersahaja.
"Bagaimanapun, tugas saya hanya untuk mendapatkan penjelasan berdasarkan apa yang penonton ingin tahu. Pendekatan saya gunakan adalah bertanya dengan cara berdiplomasi, tanpa perlu mengaibkan sesiapa.
"Saya bertanya bukan mahu memalukan sesiapa, tetapi mendapatkan kebenaran," katanya kepada BH Online.
Pengacara kelahiran Illinois, Amerika Syarikat itu berkata, dia sedar pastinya tidak dapat lari dibayangi pengacara asal, Neelofa.
"Perbandingan pasti akan berlaku walau dengan sesiapapun. Masa mula masuk industri penyiaran pun, saya tidak dapat lari dari dibandingkan dengan personaliti lain.
"Terpulanglah nak cakap. Buat masa ini, saya masih mencari kekuatan diri.
"Jadi, doakan saya pandai membawa diri. Saya terima tawaran atas restu keluarga," katanya.
Hawa berkata, sebagai anak, dia perlu dapatkan pandangan ayah terlebih dahulu.
"Sejujurnya, saya sendiri tidak menyangka ayah mengizinkan saya mengacarakan program hiburan.
"Saya anak tunggal perempuan dalam keluarga, jadi kegiatan harian saya memang dipantau.
"Justeru, apabila ayah bersetuju dengan keputusan ini, saya sangat terharu," katanya sambil menahan sebak.
Mengulas kedudukan di stesen TV lama, Hawa berkata, apapun keputusan dibuat, dia pastikan tidak membuat kesalahan seperti melanggar sensitiviti dan perjanjian.
"Setakat ini, saya tiada masalah dan terbuka bekerjasama dengan mana-mana stesen TV.
"Cuma, saya masih ada satu episod program masih belum selesai. Selepas ini, saya sudah boleh menumpukan perhatian kepada kerjaya baharu ini," katanya.
Terdahulu, Hawa memulakan kerjaya sebagai penyampai berita Buletin TV9, sebelum beralih ke Buletin Utama di TV3.
Gadis berdarah keturunan Arab, Siam dan Acheh ini pernah menjadi penyampai radio Buletin FM. Kelibat Hawa juga pernah menghiasi video muzik Oh Wanita nyanyian Khai Bahar.