KUALA LUMPUR: Penyanyi popular Indonesia, Raisa, 32, tetap dengan pendirian tidak berkongsi wajah cahaya mata, Zalina Raine Wyllie yang kini berusia tiga tahun.
Keputusan dibuat atas persetujuan bersama suaminya, Hamish Daud itu membuatkan kehidupannya lebih tenang.
Raisa atau nama sebenarnya, Raisa Andriana berkata, dia tidak perlu risau dengan pendapat mahupun saranan orang ramai berkaitan anak, apatah lagi, lebih selesa berkongsi soal kerjaya, berbanding peribadi.
"Awalnya, saya dan suami tidak tahu bagaimana perasaan memiliki anak dan mengalas tanggungjawab sebagai ibu bapa.
"Jadi, ini memang keputusan saya dan suami ketika anak dilahirkan, tetapi ia bukanlah satu perkara yang perlu diikuti.
"Namun, kami rasa nyaman berbuat demikian. Kami tidak terbeban dengan pendapat orang lain.
"Apa yang saya tekankan jika bertemu anak saya, mereka melihat matanya, mengajaknya bermain dan bukannya mengambil gambar untuk dijadikan kandungan dalam media sosial.
"Kadang-kadang anak dijadikan objek demi kandungan dan 'like' dalam media sosial. Itu hanya akan mengundang kerosakan," katanya kepada BH Online.
Raisa berkata, dia faham tindakannya tidak berkongsi wajah anak sukar untuk difahami, namun, kini ramai yang mula menghormati pendiriannya.
"Awal dulu ramai tidak faham tindakan saya, namun sekarang pula sebaliknya. Ramai menyokong dan memberitahu mereka juga mengikut jejak langkah saya menetapkan pendirian yang sama.
"Bagi saya, selain privasi, menjadi ibu dan orang tua juga cukup sulit. Jadi, dari meraih perhatian 30 juta pengikut dalam media sosial, lebih baik saya dan keluarga mengaturnya.
"Betul atau salah, biar sahaja kami yang menanggung," katanya yang berkongsi fasa hidup sebagai ibu ketika hadir ke Kuala Lumpur sempena Konsert Raisa Live In Malaysia.
Raisa mengakui, seronok menggalas tanggungjawab sebagai ibu.
"Ia pengalaman yang menyeronokkan. Awalnya, saya fikir akan jadi ibu tua, tetapi nyata, sebaliknya. Saya rasa bergelar ibu amat menyeronokkan.
"Ada masanya, saya juga seperti anak kecil. Sebenarnya, anak mengajar saya banyak perkara mengenai kehidupan dan diri sendiri.
"Saya fikir akan mengajarnya banyak perkara, nyata anak pula yang mengajar saya.
"Memiliki anak memberikan saya perspektif baru dalam melihat dunia," katanya yang belum memikirkan soal menambah cahaya mata, buat masa ini.
Raisa melahirkan cahaya mata pertamanya pada 12 Februari 2019 di Rumah Sakit Kemang Medical Centre (KMC), Jakarta Selatan.
Dalam perkembangan lain, Raisa mengadakan konsert pertamanya di Malaysia memandangkan hanya pernah menjayakan persembahan di Kota Kinabalu, Sabah dan Pulau Pinang.
"Ini kali pertama saya mengadakan konsert di Kuala Lumpur. Jadi, saya sangat teruja.
"Sebenarnya, saya pernah mengadakan persembahan di Kota Kinabalu dan Pulau Pinang, tetapi belum pernah di Kuala Lumpur.
"Hanya sekarang saya mempunyai peluang untuk bertemu dan menghiburkan peminat di Kuala Lumpur.
"Sebelum ini, saya juga hanya bertemu peminat Malaysia menerusi persembahan di Singapura dan Jakarta. Jadi, sudah tentu saya jarang berinteraksi dengan peminat di Kuala Lumpur.
"Saya dapat merasakan aura berbeza. Lebih mengejutkan, orang Malaysia sebenarnya mendengar lagu nyanyian saya," katanya.
Konsert Raisa Live In Malaysia akan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur, malam ini
Sehingga kini, konsert mendapat sambutan menggalakkan apabila tiket tiga kategori tempat duduk sudah habis dijual pada hari pertama jualan dibuka.
Raisa mula dikenali menerusi single pertama berjudul Serba Salah yang dimuatkan dalam album pertama, Raisa pada 2011.
Berjaya merangkul anugerah Artis Baru Terbaik, Anugerah Musik Indonesia Ke-15 dan Artis Wanita Baharu Terbaik, Anugerah Planet Muzik.