KUALA LUMPUR: Artis muda kali pertama mengundi teruja dapat menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Pelakon utama drama Kekasih Hati Mr Bodyguard, Sharifah Rose, 24, mengundi di kawasan Parlimen Shah Alam keluar mengundi, tengahari tadi.
Sharifah Rose atau Rose berkata, dia pergi ke pusat mengundi bersama ibu bapanya.
"Alhamdulillah, proses berjalan dengan sangat lancar. Saya tidak perlu beratur panjang, tak sampai 10 minit urusan mengundi selesai.
"Saya memang teruja memandangkan ini kali pertama dapat mengundi. Pada masa sama, saya berdebar tidak dapat membayangkan keadaan di tempat pengundian.
"Jadi, saya banyakkan membaca dan membuat kajian mengenai parti yang bertanding, beberapa hari sebelum tarikh PRU15," katanya.
Sementara itu, pelakon drama Mr Midnight: Beware The Monster, Idan Aedan, 18, mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Beruntung, Selangor teruja beroleh kesempatan kali pertama kali mengundi.
"Saya memilih pergi mengundi pada sebelah petang bagi mengelak daripada terpaksa beratur panjang.
"Inilah kali pertama saya mengundi, jadi saya sangat teruja dan tidak sabar memilih pemimpin kawasan saya.
"Saya harap mereka dapat mentadbir dengan bijak, adil dan mengutamakan kepentingan rakyat terlebih dahulu daripada kepentingan politik," katanya.