Sabtu, 19 November 2022 | 4:42pm
Norman melakukan solat istiqarah bagi memohon petunjuk dalam memilih calon PRU15 terbaik. Foto IG Norman Hakim
Norman melakukan solat istiqarah bagi memohon petunjuk dalam memilih calon PRU15 terbaik. Foto IG Norman Hakim

PRU15 : Norman, Memey tunggang motosikal ke Pahang, Johor

KUALA LUMPUR: Mengelak kemungkinan terperangkap dalam kesesakan, Norman Hakim dan isteri sanggup menunggang motosikal menuju ke Pahang dan Johor bagi menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Seawal jam 7 pagi, Norman dan Memey Suhaiza menunggang motosikal berkuasa besar dari kediaman mereka di sini, menuju ke kampung Norman di Kuantan, bagi mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paya Besar, Jalan Gambang, di bandar raya itu.

Hampir dua jam beratur dan menyempurnakan proses mengundi, Norman dan Memey kemudian menuju ke kampung Memey di Kota Tinggi, Johor.

Norman yang menggunakan laluan Muadzam Shah-Rompin, mengambil masa kira-kira tiga jam untuk tiba di Sekolah Kebangsaan (LKTP) Tenggaroh Selatan, Kota Tinggi, pada jam 2.50 petang tadi.

Norman bersyukur mereka selamat tiba di Kuantan dan Kota Tinggi untuk mengundi biarpun terpaksa menghabiskan masa berjam-jam untuk tiba di kedua-dua lokasi dengan menunggang motosikal.

Norman bersyukur selamat tiba di Kuantan dan Kota Tinggi untuk mengundi biarpun terpaksa menghabiskan masa berjam-jam untuk tiba di kedua-dua lokasi dengan menunggang motosikal bersama isterinya. Foto IG Norman Hakim
Norman bersyukur selamat tiba di Kuantan dan Kota Tinggi untuk mengundi biarpun terpaksa menghabiskan masa berjam-jam untuk tiba di kedua-dua lokasi dengan menunggang motosikal bersama isterinya. Foto IG Norman Hakim

"Alhamdulillah, kami selesai menunaikan tanggungjawab. Syukur segala-galanya dipermudahkan dan tidak perlu beratur lama di tempat mengundi Memey," katanya dalam sesi 'live' melalui akaun Instagram (IG), hari ini.

Norman membuat keputusan pulang mengundi dengan menunggang motosikal bagi mengelak kesesakan lebuh raya dan selepas melakukan solat istiqarah, pagi semalam.

"Pada mulanya, kami merancang menaiki kereta dan membawa anak-anak bersama serta pulang sehari lebih awal.

"Tetapi selepas melakukan solat istiqarah dan berfikir masak-masak, kami buat keputusan menunggang motosikal sahaja.

"Kami tidak mahu terperangkap hingga 13 jam seperti pernah dilalui pada musim perayaan. Apatah lagi selepas kerajaan mengumumkan cuti umum, jadi pasti kesesakan lalu lintas menjadi luar biasa," katanya.

Norman berkata, dia berhasrat menyewa helikopter untuk pulang ke Pahang dan Johor. Namun, dengan keadaan cuaca yang tidak menentu, hasrat itu terpaksa dibatalkan.

Norman yakin urusannya dipermudahkan atas niat bermusafir.

"PRU hanya datang lima tahun sekali. Walaupun jarak kedua-dua tempat jauh, kami niatkan bermusafir dan Insya-Allah urusan dipermudahkan," katanya.

Norman mengaku culas menunaikan tanggungjawab mengundi sebelum dikurniakan cahaya mata.

"Apabila semakin matang, saya mula sedar perlu lakukan semua ini demi masa depan anak-anak.

"Mungkin ada yang anggap apalah sangat satu atau dua undi. Tetapi, bagi saya, ia penting untuk mengubah nasib rakyat dan generasi akan datang," katanya.

Kali pertama bermotosikal pulang mengundi, Norman rasa bersemangat dan sebak.

"Saya merujuk al-Quran dan hadis serta melakukan solat istiqarah bagi membuat keputusan. Justeru, saya yakin Allah membantu membuat keputusan betul.

"Hendak memilih pemimpin yang sempurna mungkin sukar. Tetapi saya yakin Allah membantu saya dalam membuat keputusan.

"Bagi saya ini (PRU15) sesuatu yang tidak harus dilepaskan. Ini sahaja peluang untuk rakyat marhain seperti kita bersuara," katanya.

Berita Harian X