Jumaat, 18 November 2022 | 6:28pm
Dafi seisi keluarga sentiasa memberi sokongan kepada Perdana Menteri dengan turun padang membantu kempen. - Foto Ihsan Dafi Ismail
Dafi seisi keluarga sentiasa memberi sokongan kepada Perdana Menteri dengan turun padang membantu kempen. - Foto Ihsan Dafi Ismail

Papa selalu tersenyum, tak pernah mengeluh - Dafi

KUALA LUMPUR: Anak Perdana Menteri, Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob iaitu Dafi Ismail, 34, kagum melihat komitmen bapanya yang bertanding bagi kerusi Parlimen Bera sempena Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Bagaimanapun, Dafi atau nama sebenarnya, Gadaffi Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dia mendoakan agar bapanya terus diberikan kesihatan dan kesejahteraan untuk melakukan apa yang diminati.

"Secara peribadi, saya gembira melihat papa mampu tersenyum, setiap hari sebab melakukan kerja yang diminati. Saya tidak pernah dengar papa mengeluh.

"Namun, dalam masa sama, saya harap papa juga beringat untuk mendapatkan rehat mencukupi dan menjaga kesihatan.

"Saya bangga melihat melihat papa bekerja untuk PRU15. Ia secara tak langsung memberi inspirasi kepada saya," katanya kepada BH Online.

Bekas bintang Akademi Fantasia musim kelima itu juga berkata, dia akan menerima apa saja pilihan rakyat Malaysia tanpa prejudis dan hati yang terbuka.

"Sudah tentu saya berharap keputusan terbaik untuk papa dan seluruh pasukannya. Dalam masa sama, saya memahami bahawa ini adalah PRU dan apa sahaja boleh berlaku.

"Jadi, nak kata saya terlalu mengharapkan kemenangan papa, tidaklah. Tetapi, paling saya harapkan adalah satu sahaja, iaitu walau apa sahaja keputusan PRU15, semoga rakyat Malaysia terima dengan positif.

"Tidak perlu terlalu emosi mengenai politik. Dan, saya juga berharap ia adalah keputusan terbaik untuk rakyat Malaysia," katanya.

Dafi turun padang berkempen di Parlimen Bera sejak awal musim PRU15 lagi. - Foto Ihsan Dafi Ismail
Dafi turun padang berkempen di Parlimen Bera sejak awal musim PRU15 lagi. - Foto Ihsan Dafi Ismail

Selain berharap orang ramai menerima keputusan PRU15 dengan matang, jadi pelakon filem Malbatt Misi Bakara itu memohon agar semua menghormati pilihan masing-masing.

"Semua orang ada pilihan dan berhak memilih, jadi tolong menghormati hak orang lain untuk memilih siapa yang mereka mahukan.

"Seperti kita mahu orang lain hormat pilihan kita, begitulah kita perlu hormat pilihan orang lain. Jadi, apa sahaja keputusan terimalah dengan hati yang terbuka," katanya.

Dalam menasihatkan orang ramai untuk kekal positif, penyanyi lagu Bila Terasa Rindu itu turun padang berkempen di Bera, dan akan membuang undi, esok.

"Saya turun padang berkempen di Bera sejak awal musim PRU15 lagi. Setiap kali PRU, kami sekeluarga akan turun padang menyokong papa.

"Tetapi, tidaklah saya berada di Bera sepanjang masa. Ada masanya saya pulang ke Kuala Lumpur untuk bekerja dan saya kembali ke Bera.

"Saya akan mengundi di sini, esok," katanya.

PRU15 menyaksikan Ismail Sabri berdepan dua pencabar iaitu calon Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) dalam misinya untuk mempertahankan kerusi Parlimen Bera.

Ismail Sabri mewakili Barisan Nasional (BN), manakala Abas Awang dan Asmawi Harun masing-masing mewakili PH serta PN.

Kerusi Parlimen Bera sebelum ini disandang Ismail Sabri sejak 2004.

Berita Harian X