Selasa, 15 November 2022 | 6:57pm
Epex 1st Concert (Eight Apex) In Kuala Lumpur adalah konsert pertama Eight Apex berikutan belum berkesempatan mengadakan konsert berskala besar di negara mereka sendiri.
Epex 1st Concert (Eight Apex) In Kuala Lumpur adalah konsert pertama Eight Apex berikutan belum berkesempatan mengadakan konsert berskala besar di negara mereka sendiri.

Eight Apex pilih Malaysia destinasi konsert pertama

KUALA LUMPUR: Kumpulan K-Pop semakin popular, Eight Apex bakal muncul menerusi konsert pertama, Epex 1st Concert (Eight Apex) In Kuala Lumpur 2023 bertempat di Zepp Kuala Lumpur pada 6 Januari depan.

Konsert itu dibawakan oleh Rocketfuel Entertainment dengan kerjasama syarikat pengurusan artis Korea Selatan, C9 Entertainment.

Sebelum ini, Eight Apex dikenali sebagai C9Rookies, terdiri daripada lapan penyanyi remaja berbakat luar biasa iaitu Wish, Keum, MU, A-Min, Baekseung, Ayden, Yewang dan Jeff.

Epex adalah singkatan Eight Apex yang bermaksud sekumpulan lapan anak muda melangkaui lapan lapisan 'apex' berbeza membentuk kumpulan yang lengkap dan dinamik.

Ketua Rocketfuel Entertainment, Feros Sayna berkata, Eight Apex dipilih membuka tirai persembahan tahun baharu.

"Eight Apex dilihat sebagai kumpulan K-Pop berpotensi dalam bidang muzik, muda, berbakat dan dikatakan menjadi 'the-next-big-thing' di persada seni.

"Ini juga dalam usaha Rocketfuel Entertainment memperkenalkan strategi terbaharu sejajar dengan tahun ke-10 penubuhan. Jadi, kami bawakan hiburan berbentuk fizikal seperti konsert tempatan dan luar negara.

"Sebelum ini, kami menampilkan An Evening with Hael Husaini, Mimpi Showcase dan A Night with Ara Johari dan langkah seterusnya, membawakan artis antarabangsa ke Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.

Menerusi durasi persembahan selama dua jam, Eight Apex dijangka memberikan persembahan bertenaga untuk menghiburkan peminatnya di Malaysia.
Menerusi durasi persembahan selama dua jam, Eight Apex dijangka memberikan persembahan bertenaga untuk menghiburkan peminatnya di Malaysia.

Feros percaya, band K-Pop yang kian meningkat popular itu akan memberikan persembahan bertenaga untuk menghiburkan peminatnya di Malaysia.

Sebelum ini, Eight Apex pernah muncul dengan album EP pertama berjudul Bipolar Pt 1 yang dilancarkan pada 8 Jun tahun lalu, sekali gus melonjakkan nama dan menjadi salah satu band K-pop dikenali.

Eight Apex berjaya merangkul trofi The Male Idol in The Rise menerusi Hallyu Influencer Grand Prize Awards dan trofi Rookie of The Year di Seoul Music Awards serta beberapa anugerah lain.

Feros berkata, Rocketfuel Entertainment ingin menjadi peneraju dalam hiburan berbentuk fizikal seperti showcase, mini konsert dan konsert berskala besar.

"Rata-rata pengunjung yang hadir pada acara konsert sebelum ini menyatakan tidak puas mendengar dan mahu berhibur lagi, jadi kami mengambil langkah berani dengan membawakan artis antarabangsa bagi memenuhi selera pendengar.

"Kami sudah merancang konsert Epex 1st Concert (Eight Apex) In Kuala Lumpur 2023 sejak Jun lalu.

"Menerusi persembahan berdurasi selama dua jam itu, pastinya ada kejutan yang bakal dilakukan.

"Ini juga adalah konsert pertama, malah Eight Apex belum berkesempatan mengadakan konsert berskala besar di negara mereka sendiri," katanya.

Tiket dijual mengikut kategori iaitu Rockstar (RM488), Rockzone (RM388) dan Cat 1 (RM288) menerusi ticketcharge.com.my, mulai Jumaat ini.

Berita Harian X