Sabtu, 12 November 2022 | 11:00am
Selain meluahkan rasa menerusi setiap lagu, Siti mendedahkan mengalami masalah pernafasan selepas dijangkiti COVID-19 hingga menjejaskan mutu nyanyian. - NSTP/Aziah Azmee
Selain meluahkan rasa menerusi setiap lagu, Siti mendedahkan mengalami masalah pernafasan selepas dijangkiti COVID-19 hingga menjejaskan mutu nyanyian. - NSTP/Aziah Azmee

Air mata Siti tumpah

KUALA LUMPUR: Selepas tiga tahun meninggalkan kenangan terindah kepada peminat pada Konsert Datuk Seri Siti Nurhaliza On Tour di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, penyanyi tersohor ini kembali beraksi melalui persembahan Music Of The Soul: An Evening With Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Kali ini, Siti memilih Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di ibu negara bagi persembahan dua malam, mulai 5 November lalu.

Premis itu ternyata menghadirkan atmosfera yang lebih santai dan memberi keselesaan kepada penonton sesuai dengan konsep persembahan berbentuk amal.

Biarpun persembahan kali ini tidak segah Konsert Datuk Seri Siti Nurhaliza On Tour di tiga negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Singapura yang membabitkan kos RM10 juta, namun, suasananya masih sama seperti acara mega yang pernah dianjurkan.

Tampil mengenakan gaun labuh dan berseluar rona hitam, Siti membuka tirai persembahan menerusi lagu Warna Dunia yang dipetik daripada album Fragmen.

Segmen pertama itu menyaksikan pemenang Anugerah Seri Perak, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2012 ini menyampaikan rangkaian lagu seperti Siapa Tak Mahu, Diari Hatimu, Anta Permana dan medley Kuasa Cintamu dan Bukan Cinta Biasa.

Pada malam itu, selain meluahkan rasa menerusi setiap lagu yang didendangkan, Siti berkongsi dua perkara yang berlaku kepada dirinya.

Walaupun vokal dan pernafasan terganggu dek impak COVID-19, namun, bukan halangan buat Siti memberi hiburan terbaik kepada penonton. - NSTP/Aziah Azmee
Walaupun vokal dan pernafasan terganggu dek impak COVID-19, namun, bukan halangan buat Siti memberi hiburan terbaik kepada penonton. - NSTP/Aziah Azmee

Pertama, Siti mendedahkan dia mengalami masalah pernafasan selepas dijangkiti COVID-19 hingga menjejaskan mutu nyanyian.

Paling membuatkan bekas juara Bintang HMI 1995 ini sebak hingga mengalirkan air mata adalah ketika menceritakan mengenai ibu tersayang, Siti Salmah Bachik yang disahkan positif COVID-19.

"Selepas menjayakan konsert hari pertama (5 November) dan pulang ke rumah sekitar jam 1 pagi, saya dapat mesej mengatakan emak yang ketika itu berada di kampung di Kuala Lipis, Pahang, dijangkiti COVID-19.

"Jadi, saya telefon emak untuk bertanya keadaan dirinya. Apabila dengar emak bersuara, nada dia kedengaran okay, saya lega.

"Emak meminta saya menjayakan persembahan sebaik mungkin tanpa perlu risau dengan keadaannya," katanya sebelum menyampaikan lagu yang dianggap sukar untuknya berjudul Segala Perasaan.

Walaupun mengakui vokal dan pernafasannya terganggu dek impak COVID-19, namun, itu bukan halangan buat Siti memberi hiburan terbaik kepada penonton.

Seperti biasa, nyanyian Siti tetap merdu dan penjiwaan yang diberi dalam setiap untaian indah yang didendangkan meresap ke dalam sanubari.

Penonton bukan sahaja ikut menyanyi, malah, emosi mereka dibuai alunan syahdu Siti menerusi lagu Kau Kekasihku, Bila Harus Memilih, Nian di Hati dan Melawan Kesepian.

Seperkara yang menarik mengenai konsert itu adalah daripada segi gubahan muzik apabila pengarah muzik, Aubrey Suwito mengetengahkan elemen yang barangkali cukup asing buat Siti seperti irama tango.

Lagu lain yang mengisi senarai konsert adalah Lebih Indah, Cinta Tak Berganti, Beradu Di Khayalan dan Aku Bidadari Syurgamu dan Ratuku.

Konsert turut menyaksikan kehebatan paduan suara antara Siti dan Awie yang menyampaikan lagu Baldu Biru dan Pantun Budi. - NSTP/Aziah Azmee
Konsert turut menyaksikan kehebatan paduan suara antara Siti dan Awie yang menyampaikan lagu Baldu Biru dan Pantun Budi. - NSTP/Aziah Azmee

Sementara menunggu Siti menukar persalinan, penonton disajikan dengan paparan aktiviti pertubuhan kebajikan yang diasaskan Siti dan suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa iaitu Yayasan Nurjiwa.

Antara paparan video itu adalah bantuan yang diberi kepada mangsa banjir besar, Disember tahun lalu serta penubuhan sekolah pendidikan awal kanak-kanak diberi nama Afwa & Aafiyah di Gaza, Palestin, hampir setahun lalu.

Konsert itu turut menyaksikan kehebatan paduan suara antara Siti dan vokalis Wings iaitu Datuk Awie yang menyampaikan lagu Baldu Biru dan bingkisan tradisional berjudul Pantun Budi.

Pentas kemudian diambil alih Awie untuk menyampaikan lagu Di Penjara Janji yang mendapat tepukan gemuruh penonton.

Persembahan pada malam itu diakhiri dengan lagu tradisional yang jarang dipersembahkan di pentas iaitu Seloka Budi yang dicipta Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan; Senyum Minang Manis (Abot) dan Ya Maulai (Allahyarham Pak Ngah).

Memulakan karier dalam industri muzik sejak berusia 16 tahun selepas muncul juara Bintang HMI anjuran RTM pada 1 April 1995. Meraih lebih 300 anugerah di Malaysia dan antarabangsa sejak terbabit dalam dunia seni.

Berita Harian X