Jumaat, 11 November 2022 | 7:54pm
Barisan 30 penyanyi yang berentap dalam SFMM 37 untuk merebut ke peringkat akhir. - NSTP/Aziah Azmee
Barisan 30 penyanyi yang berentap dalam SFMM 37 untuk merebut ke peringkat akhir. - NSTP/Aziah Azmee

Bekas juara AJL berentap dalam SFMM 37

PETALING JAYA: Separuh Akhir Muzik Muzik Ke-37 (SFMM37) menyaksikan bekas juara Anugerah Juara Lagu (AJL) antara 30 calon yang bakal bersaing merebut kedudukan peringkat akhir mulai 25 November ini.

Mereka adalah bekas juara AJL 29, Joe Flizzow yang mengungguli trofi itu menerusi lagu Apa Khabar, pemenang AJL 32 dan 33 iaitu Hael Husaini serta juara AJL 34, Naim Danel.

Untuk edisi kali ini, Hael dan Naim masing-masing mempertaruhkan satu lagu hasil ciptaan mereka, manakala dua lagu ciptaan Joe melepasi senarai ke peringkat separuh akhir.

Lebih menarik edisi SFMM37 menyaksikan persaingan sengit penyandang trofi Vokal Terbaik AJL.

Alumni dimaksudkan adalah Liza Hanim, Jaclyn Victor, Hafiz Suip, Dayang Nurfaizah, Ernie Zakri dan Aina Abdul.

Senarai penuh SFMM37 diumumkan secara nyanyian oleh naib juara Terpaling Juara, Aqmal dan finalis program realiti itu, Shaz dan Aqeesh pada majlis sidang media yang diadakan di Nero Event Space, Petaling Jaya Performing Arts Centre, Bandar Utama, di sini, petang tadi.

Mengulas 30 lagu tersenarai dalam SFMM37, Penerbit Eksekutif, Jamil Hassan berkata, pandemik tidak menghalang karyawan muzik menghasilkan lagu berkualiti.

"Selain ada peningkatan dari segi jumlah lagu yang bertanding, ia juga menyaksikan pelbagai genre mengisi senarai pencalonan Muzik Muzik Separuh Akhir.

"Dari pemantauan kami industri berkembang pesat selepas pandemik. Secara umumnya, inilah wajah yang aktif dalam industri muzik.

"Matlamat kita mencari sesuatu yang berkualiti. Apa yang kita peroleh dalam 30 lagu membabitkan penyanyi aktif dan semuanya boleh dikategorikan gred A," kata Jamil.

Nor Shahila (dari kanan), Siti Nurlisia, Rodrigues dan Jamil ketika sidang media SFMM 37, petang ini. - NSTP/Aziah Azmee
Nor Shahila (dari kanan), Siti Nurlisia, Rodrigues dan Jamil ketika sidang media SFMM 37, petang ini. - NSTP/Aziah Azmee

Yang turut hadir, Pengurus Besar Kanan TV3, Siti Nurlisia Mohd Naszri; Pengurus Besar Kanan, Program Penerbitan Dalaman, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Nor Shahila Harun Shah dan Pengurus Projek, Russell Mark Rodrigues.

SFMM37 menyaksikan lagu nyanyian penyanyi senior dan pelapis berentap melangkah ke malam kemuncak AJL 37.

Mereka adalah Anugerah Terindah nyanyian Alif Satar & The Locos ciptaan Alif Satar/Romeo/Tam Cobain/Efry Arwis dan Shah Shamshiri; Berani (Dolla/Johm Reeves/Firdaus Rahmat); Kisah Hati Lara (Naqiu/Johan John/Khaleel); Esok (Amir Masdi/Shazee Ishak/Audi Mok); Tak Sangka (Yonnyboii/Zyn Akal/Asyraf Nasir); Demi Kamu (Indah Ruhaila/Johan John/Khaleel); Debu (Amor Masdi & Dayang Nurfaizah/Mas Dewangga/Jova Devito/Firdaus Rahmat/Mike Chan/Karim Karam/Acap Salim); Nang (Iman Troye/Ezra Kong/A Ramle); Cukup Derita Itu (Siti Nordiana/Tam Spider/Siti Rosmizah) dan Takluk Cinta (Hafiz Suip/Firdaus Rahmat/Iqie Hugh/John Jeves).

Lagu lain turut tersenarai adalah Perempuan (Jaclyn Victor/Johan John/Khaleel); Sumpahan Salju (Ara Johari/Ziin/Jerry); Bahagiakan Dia (Liza Hanim & Shila Amzah/Aliff Iskandar/Que Afiq); Sengsara (Khai Bahar/John Jeeves/Firdaus Rahmat/Omar K); Payung Pelangi (Noki/MK); Berakhirlah Pencarianku (Hafiz Suip & Ernie Zakri/Ikhwan Fatanna/Wan Salleh/Datuk A Aida); Khilaf Asmara (Shila Amzah/Amylea); Korban (Ernie Zakri); Sempurna (Imsoniacks/Iqie/Danial) dan Kembali Terang (Marsha/Senna/Jin).

Tidak ketinggalan, Sama Seperti Dulu (Hael Husaini/Iqie Hugh); Irama (Shiha Zikir/Iqie Hugh/ Firadus Rahmat/John, Mainan (Naim Daniel/Firdaus Rahmat/Omar K/Mas Dewangga/Arisz Ab Rahman); Makuta (Hazama/Kmy Kmo/Luca Sikta); 24434 (Floor 88/Zai Hamzah/Achoi Floor 88); Habis Sini (Naim Daniel & Joe Flizzow/Naim Daniel/Joe Flizzow/Sonaone/Mas Dewangga/Firdaus Rahmat); Satu Malam Di Temasek (Sonaone & Joe Flizzow); Hitam Saksi Putih (Haqiem Rusli); Damba (Khai Bahar/Iqie Hugh/Omar K) dan Terus Hidup nyanyian dan ciptaan sepenuhnya Aina Abdul.

SFMM37 bakal berlangsung selama dua hari di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam pada 25 dan 26 November ini, jam 3 petang.

Berita Harian X