Rabu, 9 November 2022 | 3:00pm
Syed Yusof Wafa mula melukis dengan potret Michael Jackson ketika mengadakan Konsert Micheal Jackson HIStory World Tour di Stadium Merdeka pada 1996. - Foto Ihsan Syed Yusof Wafa
Syed Yusof Wafa mula melukis dengan potret Michael Jackson ketika mengadakan Konsert Micheal Jackson HIStory World Tour di Stadium Merdeka pada 1996. - Foto Ihsan Syed Yusof Wafa

1,000 lukisan ilustrasi Syed Yusof Wafa dibukukan

KUALA LUMPUR: Memiliki lebih 1,000 lukisan lakaran potret bintang Malaysia, antarabangsa dan golongan kenamaan, pelukis terkenal, Syed Yusof Wafa Syed Nordin bakal menghasilkan buku berjudul Wajah Dan Madah dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), tahun depan.

Unik dan eksklusifnya lukisan ilustrasi ini bukan sahaja mempamerkan daya kreativiti Syed Yusof Wafa atau lebih dikenali sebagai Wafa, malah turut mengabadikan coretan dan tandatangan bintang ternama.

Lebih 1,000 koleksi yang menghimpunkan ilustrasi potret dimuatkan dalam buku 100 muka surat membabitkan bintang ternama seperti Michael Jackson, Justin Bieber, Celine Dion, Mariah Carey, Roger Federar, Maher Zain, Avril Lavigne, Shah Rukh Khan, Engelbert Humperdinck dan ramai lagi.

Sebagai pelukis eksklusif pertama di Malaysia, Syed Yusof Wafa berkata, dia terharu apabila FINAS menghargai bakatnya dalam bidang seni lukis.

Syed Yusof Wafa (dua dari kanan) bersama Zurainah (dua dari kiri) yang hadir memberi sokongan ketika mengadakan Pameran Wajah Dan Madah sempena Ekspresi@FINAS, baru-baru ini. - Foto Ihsan Syed Yusof Wafa
Syed Yusof Wafa (dua dari kanan) bersama Zurainah (dua dari kiri) yang hadir memberi sokongan ketika mengadakan Pameran Wajah Dan Madah sempena Ekspresi@FINAS, baru-baru ini. - Foto Ihsan Syed Yusof Wafa

"Secara jujurnya, saya tidak menyangka FINAS memerhati karya yang saya hasilkan selama ini hingga sudi bekerjasama menerbitkan buku berbentuk 'coffee table' ini.

"FINAS juga memberi idea menentukan judul buku Wajah Dan Madah. Wajah merujuk kepada lukisan potret selebriti, ahli politik dan kerabat diraja yang saya hasilkan.

"Madah pula merujuk kepada coretan dan tanda tangan ditulis oleh bintang dalam lukisan.

"Saya berterima kasih kepada Pengerusi FINAS, Senator Datuk Seri Zurainah Musa dan Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Profesor Dr Md Nasir Ibrahim memberi kepercayaan kepada saya," katanya kepada BH Online.

Syed Yusof Wafa berkata, dia bersyukur diberi penghormatan melukis ilustrasi wajah bintang antarabangsa dan kemudiannya, berjaya menyerahkan sendiri kepada artis berkenaan.

"Kebanyakan bintang antarabangsa amat menghargai lukisan saya. Mereka menjadikannya sebagai cenderahati dari Malaysia untuk dibawa pulang.

"Setakat ini, saya sudah menghasilkan lebih 1,000 lukisan dan pernah mengadakan lima pameran solo di Kompleks Kraftangan, Jalan Conlay dan Bukit Damansara.

"Saya bermula dengan melukis gambar Raja Pop Dunia, Michael Jackson yang datang Malaysia untuk Konsert Micheal Jackson HIStory World Tour di Stadium Merdeka pada 1996.

"Secara kebetulan, penganjur konsert, Tan Sri Syed Yusof Syed Nasir memberikan gambar Michael Jackson untuk dilukis. Dari situ, ramai mula mengenali saya sebagai pelukis potret selebriti," katanya.

Syed Yusof Wafa diberi peluang melukis gambar Perdana Menteri oleh FINAS untuk Pameran Wajah Dan Madah sempena Ekspresi@FINAS di Kompleks FINAS, Hulu Klang, penghujung bulan lalu. - Foto Ihsan Syed Yusof Wafa
Syed Yusof Wafa diberi peluang melukis gambar Perdana Menteri oleh FINAS untuk Pameran Wajah Dan Madah sempena Ekspresi@FINAS di Kompleks FINAS, Hulu Klang, penghujung bulan lalu. - Foto Ihsan Syed Yusof Wafa

Katanya, peluang menghasilkan buku Wajah Dan Madah itu bagaikan satu penghormatan buatnya selepas hampir tiga dekad bergelar pelukis potret.

"Saya hilang kata-kata apabila Md Nasir mengagumi potret ilustrasi saya.

"Zurainah meminta saya melukis gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri dan seniman legenda, Allahyarham Hussein Abu Hassan. Beliau menyampaikan lukisan ini kepada anak arwah, Faizal Hussein, baru-baru ini," katanya.

Terdahulu, Syed Yusof Wafa diberi peluang oleh FINAS mengadakan Pameran Wajah Dan Madah sempena Ekspresi@FINAS selama dua hari di Kompleks FINAS, Hulu Klang, penghujung bulan lalu.

Berita Harian X