KUALA LUMPUR: Sungguhpun melewati usia dua dekad, kumpulan popular Indonesia yang memperjuangkan muzik jazz dan soul, Maliq & D'Essentials tidak pernah goyah.
Bersyukur masih memiliki semangat terus berjuang dalam industri muzik, Angga berkata, Maliq & D'Essentials akan terus menghasilkan karya terbaik untuk berjalan seiring dengan pemuzik zaman sekarang.
"Setiap tahun, kami memaksa diri menghasilkan karya kerana kewujudan ini sangat penting. Tambahan pula situasi kandungan digital, algoritma dan teknologi cukup mencabar.
"Kami pula bukanlah generasi yang tumbuh pada era digital. Namun, situasi hari ini mengajar kami untuk mengejar dan berada seiring dengan kumpulan muzik baharu.
"Walaupun banyak kumpulan baharu, namun, tidak ramai sanggup berperang dalam industri muzik.
"Jadi, langkah kami selalu menghasilkan karya terbaik. Jika tidak, pastinya tenggelam," katanya kepada BH Online.
Selain Angga, kumpulan yang popular menerusi lagu Untitled itu turut dianggotai Indah, Widi, Jawa, Lale dan Ilman.
Kumpulan yang menggenggam trofi Album Jazz Terbaik, Anugerah Muzik Indonesia pada 2008 itu tidak terkecuali daripada menerima impak besar berikutan penularan pandemik COVID-19.
Bagaimanapun, kata Angga, kini jadual persembahan kembali penuh dan pastinya ada festival besar dianjurkan di Jakarta.
"Selepas pandemik, seolah-olah semua orang mahu ke konsert dan festival. Begitu juga penganjur yang sudah dua tahun tidak menganjurkan acara.
"Jadi, ada sahaja festival besar di Jakarta, setiap bulan. Kami gembira dapat kembali membuat persembahan dan mengubat kerinduan pada dunia muzik," katanya.
Maliq & D'Essentials ditemui ketika menjayakan Konsert Fabulous Friday Presents: Maliq & D'Essentials di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada pertengahan bulan lalu.
Selepas hampir sedekad tidak menjayakan persembahan di Malaysia, Maliq & D'Essentials tampil dengan 19 lagu popular dipetik daripada album pertama hingga terbaru.
Kata Angga, Maliq & D'Essentials tidak tahu perkembangan pendengar di Malaysia, tetapi gembira melihat sambutan sama hebat seperti Jakarta selepas sekian lama.
"Sambutan diterima lebih jangkaan, sangat luar biasa. Apa yang dipersiapkan di Jakarta, semuanya berbaloi.
"Kali terakhir Maliq & D'Essentials ke Malaysia hampir 10 tahun lalu.
"Sepanjang tempoh ini, kami menghasilkan beberapa album baharu dan tidak tahu sama ada peminat di Malaysia mendengar atau tidak.
"Nyata, ramai mendengar sehingga single baharu, Senja Teduh Pelita. Jadi, kami terkejut sambutan sama seperti di Jakarta.
"Ada lagu sudah lama tidak dimainkan, tetapi peminat di sini menghafalnya, ia bukan lagu-lagu hit," katanya.
Pada konsert malam itu, Maliq & D'Essentials menyanyikan lagu Setapak Sriwedari, Senja Teduh Pelita, Terdiam, Kangen, The One, Bilang, Heaven, Terlalu, Funk Flow, Cinta Kau dan Dia, Untitled serta Dia.
Maliq & D'Essentials pernah berkolobarasi bersama penyanyi, Camelia menerusi lagu Sampai Kapan.
Angga berkata, Maliq & D'Essentials tidak menolak untuk berkolaborasi dengan penyanyi Malaysia.
"Kami terbuka dengan berkolaborasi, malah jika dapat berkongsi idea," katanya.
Maliq & D'Essentials membawakan konsep dan singkatan dari Music And Live Instrument Quality ditubuhkan pada 2002.
Meluncurkan album Raya pada Februari lalu, sekali gus menjadi penutup kepada mini album Raya Part 1 dan Raya Part 2 pada Ogos serta Oktober, tahun lalu.