KUALA LUMPUR: Keadaan kesihatan kurang mengizinkan akibat batuk tidak menghalang vokalis kumpulan Gigi, Armand Maulana menghiburkan peminat menerusi konsert Gigi Nakal Di Kuala Lumpur di Zepp KL, semalam.
Meskipun kecewa, namun Armand tetap meneruskan persembahan dalam durasi lebih dua jam itu.
"Walaupun keadaan kesihatan kurang enak (tak sihat), saya tetap akan terus bertahan sehingga persembahan berakhir.
"Maafkan saya. Dan, saya juga tidak kisah jika ditulis nyanyian saya terganggu ini.
"Tidak mengapa kerana itu adalah tanggungjawab saya," katanya sambil disambut dengan tepukan gemuruh penonton.
Walaupun terpaksa beraksi dalam keadaan tidak selesa, namun vokalis berusia 51 tahun itu tetap bertenaga menyempurnakan tugasnya sehingga selesai.
"Saya ada 25 lagu yang bakal dinyanyikan malam ini, kebanyakan bernada tinggi. Doakan semoga saya berjaya," ujarnya.
Ekoran keadaan kesihatannya, momentum konsert agak menurun apabila keghairahan penonton sedikit berkurangan berbanding pada awal persembahan.
Bagaimanapun, semangat ditunjukkan Armand termasuk anggota lain iaitu Dewa Budjana (gitar), Thomas Ramdhan (bass) dan Gusti Hendy (dram) untuk memberikan persembahan terbaik berjaya menghangatkan semula konsert yang dibawakan khas oleh Tanjak Adventure & Tour itu.
Antara lagu dipersembahkan Gigi termasuklah Terbang, K.Y.K, Bisa Saja, Akhirnya, Setia Bersama, Pintu Sorga, Cinta Terakhir, Damainya Cinta, 11 Januari, Djomblo termasuk Nakal yang menjadi penutup tirai konsert.
Konsert itu turut diserikan dengan persembahan nyanyian secara spontan vokalis kumpulan Coklat, Kikan.
Gigi memasuki pasaran Malaysia menerusi lagu Terbang yang menjadi siulan ramai pada 1999. Kedatangan Gigi seiring dengan kumpulan popular Indonesia seperti Padi dan Sheila On 7.
Kali terakhir kumpulan ditubuhkan pada 1994 itu beraksi di Malaysia menerusi Konsert Eksklusif Bersama Gigi di Menara PGRM pada 2003.