Ahad, 6 November 2022 | 11:00am
Nana tak malu mengakui kelemahan diri, bukan penyanyi sempurna. - NSTP/Aziah Azmee
Nana tak malu mengakui kelemahan diri, bukan penyanyi sempurna. - NSTP/Aziah Azmee

Kualiti vokal terjejas, tiga kali dijangkiti COVID-19

KUALA LUMPUR: Masih basah dalam ingatan penonton keampuhan vokal Siti Nordiana, 38, ketika diangkat sebagai juara program realiti, Gegar Vaganza musim kedua (GV7), tujuh tahun lalu.

Vokal nyaring dan kemampuannya membawakan lagu bernada tinggi berjaya meletakkan nama Siti Nordiana atau lebih mesra disapa Nana berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan penyanyi hebat lain.

Namun, ramai mula meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kualiti vokal penyanyi lagu Hatiku Milikmu yang dikatakan semakin merudum sejak akhir-akhir ini.

Komen negatif disuarakan netizen selepas mendakwa nyanyian Nana dalam beberapa persembahan besar tidak mencapai kualiti diharapkan.

Enggan terlalu memikirkannya, pemilik nama lengkap Siti Nordiana Alias itu berkata, dia menerima kritikan dengan hati terbuka kerana bukanlah seorang penyanyi sempurna.

"Seorang penyanyi bukanlah mesin apabila ditekan suis boleh berfungsi dengan baik. Ada masanya, tidak cukup rehat atau kurang sihat.

"Seperti saya, tiga kali dijangkiti pandemik COVID-19 memberi kesan kepada pernafasan. Tak dinafikan, ada beberapa persembahan dijayakan terdapat kekurangan.

"Ada masanya saya terlalu penat. Namun, itu bukan alasan untuk saya tampil dengan persembahan ala-kadar," katanya kepada BH Online.

Nana dalam perbincangan mengadakan konsert solo berskala besar, tahun hadapan. - NSTP/Aziah Azmee
Nana dalam perbincangan mengadakan konsert solo berskala besar, tahun hadapan. - NSTP/Aziah Azmee

Walaupun mungkin kritikan diterima berbaur cemuhan, namun Nana tidak berkecil hati dan memandangkan dari sudut positif.

"Saya memang tidak suka bergaduh dalam media sosial. Kalau komen membina, saya jadikan panduan.

"Saya juga tidak malu mengakui jika nyanyian memang teruk. Saya tiada masalah untuk mengakui kelemahan diri kerana kita bukan manusia sempurna," katanya yang ditemui pada majlis pelancaran single baharu, Menyantun Kasih ciptaan komposer tersohor, Datuk M Nasir, baru-baru ini.

Mengulas gelaran sebagai penyanyi kampung diberikan kepadanya, penyanyi yang meledak menerusi lagu Cinta Hanya Sandaran itu berkata, dia tidak pernah malu dengan apa sahaja gelaran diberikan.

"Jujurnya, saya bangga apabila ada yang melabelkan saya dengan gelaran penyanyi kampung. Sekurang-kurangnya, ramai sudah tahu lagu mendayu yang menjadi identiti saya.

"Tak pernah sedikitpun terusik dengan gelaran diberikan, seronok lagi ada," ujar Nana.

Untuk mendapatkan lagu M Nasir, Nana terpaksa menunggu selama lima tahun. - NSTP/Aziah Azmee
Untuk mendapatkan lagu M Nasir, Nana terpaksa menunggu selama lima tahun. - NSTP/Aziah Azmee

Dijolok apakah gelaran penyanyi kampung membuktikan dirinya bukan artis versatil, Nana tidak melihat seperti itu.

"Saya boleh membawakan lagu pelbagai rentak. Sebelum ini, saya pernah menyanyikan lagu genre R&B.

"Cuma, cara nyanyian berlenggok adalah 'makanan' saya.

"Lagipun, peminat sudah sebati dengan lagu mendayu-dayu daripada saya. Jadi, tidak boleh nak ubah jauh sangat," katanya.

Berita Harian X