KUALA LUMPUR: Aktor Pekin Ibrahim, 41, tidak pernah memaksa isterinya yang juga pelakon, Mona Allen, 37, mengenakan hijab.
Sebaliknya, katanya, Mona tidak pernah memaklumkan keputusannya mahu berhijrah.
Bagaimanapun, Pekin bersyukur perubahan positif dilakukan isteri, malah menasihatinya agar tidak membuat pengumuman dalam media sosial mengenai penghijrahannya.
"Saya tidak pernah paksa Mona bertudung. Awalnya, saya ingat Mona tidak serius dan hanya mahu membiasakan diri mengenakan tudung apabila tampil berimej baharu selama beberapa hari.
"Suatu hari, ada rakan datang rumah, Mona pula sibuk mencari tudung untuk dipakai.
"Jujurnya, Mona tak beritahu saya pun mahu berhijab. Namun, saya pesan jangan umum dalam media sosial apabila sudah tekad berhijrah," katanya kepada BH Online.
Pekin berkata, dia tidak menghalang isteri memuat naik gambar bertudung dalam media sosial.
"Saya nasihat jangan sesekali cakap 'saya sudah berhijab'.
"Sebabnya, saya tak mahu jika angin berubah, tiba-tiba nak buka tudung. Bukan sahaja netizen kecam, tetapi saya sendiri akan hentam," katanya kepada BH Online.
Terdahulu, sekitar Jun lalu, Mona memuat naik gambar imej berhijab dalam media sosial tanpa penjelasan atau pengesahan.
Pekin berkata, dia percaya berhijab tidak akan menyekat rezeki mana-mana pelakon, sebaliknya optimis akan menerima lebih banyak tawaran atas keberkatan penghijrahan.
"Bagi saya, kena komited jika berhijab. Kalau rasa masih nak mencuba lagi, janganlah umum.
"Lagipun, Allah yang beri rezeki. Ramai bertudung, namun 'job' berlambak-lambak. Bila bertudung, niat kena betul," katanya.
Pekin dan Mona mendirikan rumah tangga pada 7 Disember 2018. Hasil perkahwinan, pasangan itu dikurniakan cahaya mata lelaki, Petra Pekin pada 31 Ogos lalu.