KUALA LUMPUR: Program terbitan Rangkaian Televisyen Media Prima (MPTN) membolot 16 trofi, termasuk kategori utama, Drama Televisyen (TV) Terbaik yang menyaksikan naskhah 'viral', Pencipta Pegang Waktu siaran TV3, mengungguli malam kemuncak Anugerah Seri Angkasa (ASA) 2022 yang disiarkan secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), malam kelmarin.
Dengan kemenangan itu, produksi Pencipta Pegang Waktu menerima hadiah utama Dana Kandungan Digital (DKD) bernilai RM200,000, wang tunai RM5,000 dan trofi.
Lebih bermakna, pengarah Pencipta Pegang Waktu, iaitu Zainorhisyam Samudin, diumumkan Pengarah Drama TV Terbaik.
Hadiah bagi kategori Drama TV Terbaik disampaikan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa kepada Pengurus Besar Kanan, Penerbitan Program Dalaman MPTN, Nor Shahila Harun Shah.
Pencipta Pegang Waktu yang disiarkan TV3 pada Julai 2020, dibintangi pelakon hebat antaranya Fauziah Ahmad Daud, Jalil Hamid, Khir Rahman, Que Haidar, Puteri Balqis, Azman Hassan dan Haidin Nasir.
Kisah berkisar dilema dihadapi lelaki 'lembut' dikenali sebagai Zakree atau Zee lakonan Que yang berdepan pelbagai cabaran termasuk dalam aspek hubungan keluarga berikutan penampilan dirinya.
ASA 2022 juga menyaksikan kemenangan berganda buat MPTN apabila Ahmad Noor Sulaiman, iaitu penerbit Halaqah Episod 7: Bencana, Muhasabahkah Kita?, diumumkan penerima trofi Anugerah Khas Juri.
Ahmad Noor menerima trofi, wang tunai RM8,000 dan sijil.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MPTN dan Primeworks Studios (PWS), Datuk Khairul Anwar Salleh, berkata Media Prima Berhad (MPB) bersyukur meraih 16 trofi ASA 2022, termasuk dua anugerah utama, iaitu Drama TV Terbaik dan Anugerah Khas Juri.
"Ini adalah kemenangan bersama untuk warga MPB yang bertungkus-lumus menyediakan kandungan terbaik untuk dikongsi bersama masyarakat.
"Usaha mereka jelas membuahkan hasil apabila diiktiraf pada ASA 2022. Kami akan sentiasa memberi kandungan terbaik dan kreatif untuk semua penonton Malaysia," katanya dalam kenyataan.
Antara 16 trofi dimenangi MPTN pada ASA 2022 adalah Pelakon Wanita Drama TV Terbaik dimenangi Khatijah Tan melalui drama Rabak terbitan TV3; Pelakon Pembantu Lelaki Drama TV Terbaik diraih Hilal Azman melalui drama Amanat siaran TV3 dan Pelakon Pembantu Wanita Drama TV Terbaik dirangkul Nabila Huda bagi drama Jeti terbitan TV3.
Kategori Pengacara TV Terbaik dimenangi Fedtri Yahya melalui program Jejak Rasul TV3 dan kategori Penyampai Berita TV Terbaik menyaksikan penyampai Buletin Utama TV3, Norliza Mohd Zain mengalahkan empat finalis lain.
Turut diiktiraf Nor Izzati Lockman dari Majalah TV3 yang memenangi kategori Majalah TV Terbaik.
MPTN memperoleh sembilan trofi pada malam pertama ASA 2022, Sabtu lalu, manakala tujuh trofi lagi pada malam kemuncak, kelmarin.
Mengulas kejayaan Pencipta Pegang Waktu, Nor Shahila menyifatkan kekuatan pasukan produksi sebagai faktor utama.
"Jujurnya, kami datang dengan perasaan berdebar-debar kerana dicalonkan dalam tujuh kategori.
"Jadi, apabila diumumkan menang, kami terkejut. Ketika itu, dalam kepala terus terfikir pelakon hebat dalam drama iaitu Fauziah, Jalil, Khir, Que dan Puteri Balqis dan ramai lagi.
"Jadi ini adalah kemenangan mereka. Alhamdulillah, kerjasama menjayakan drama ini sangat hebat, pelakon, pasukan teknikal, semuanya hebat," katanya.
Ditanya mengenai DKD bernilai RM200,000 yang diterima, Nor Shahila berkata, pihak menimbang kemungkinan bekerjasama dengan pasukan sama bagi menerbitkan drama berunsur kisah manusia.
"Secara jujur, ini adalah pasukan impian kami. Dengan pasukan inilah, kami dapat dinobat sebagai Drama TV Terbaik.
"Jadi, kalau boleh, kami mahu bekerjasama lagi dengan TV3 dan semua orang yang sudah memberi yang terbaik untuk menyempurnakan drama ini," katanya.
Sementara itu, Zainorhisyam berterima kasih kepada kru produksi yang memungkinkan trofi Drama TV Terbaik menjadi milik mereka.
"Ini bukannya kerja seorang. Bagaimana hebat pun seseorang itu mengarah, kalau tiada mereka yang memberi komitmen tinggi, tidak akan berhasil.
"Sebenarnya, kejayaan ini datang dari akarnya, iaitu skrip dan konsep cerita. Apa yang paling penting adalah keikhlasan dalam menghasilkannya.
"Semua itu dirasai penonton. Rasa tidak boleh tipu, biarpun dalam kaca TV. Itu yang kami pegang," katanya.
Mengenai jalan cerita Pencipta Pegang Waktu, Zainorhisyam berkata, naskhah itu bersifat universal.
"Drama ini tidak menggunakan agama, bangsa, ideologi politik dan sebagainya.
"Jadi terima kasih kepada Que yang melahirkan idea asal untuk drama ini," katanya.
Zainorhisyam berkata, kumpulan kerjanya mendapat sokongan baik daripada rakan industri ketika penggambaran dilaksanakan.
"Ketika penggambaran, ramai rakan industri datang membawa berkat dan doa. Biarpun mereka tiada kaitan dengan drama ini.
"Sokongan seperti itu sangat mengharukan kami. Nilai itulah yang membuatkan drama ini berjaya.
"Ini suatu perkembangan baik untuk industri kita pada masa hadapan," katanya.
Zainorhisyam berkata, karyawan muda dinasihat usah putus harapan untuk menghasilkan karya yang memberi manfaat kepada masyarakat.
"Bagi saya, kita ada tanggungjawab dalam berkarya. Itu yang akan dipersoalkan pada kemudian hari," katanya.
Malam kemuncak ASA 2022 turut menyaksikan bintang veteran, Fauziah Nawi diumumkan Tokoh Seri Angkasa.
Fauziah yang mesra disapa 'ibu' menerima trofi, wang tunai RM10,000 dan hadiah kejutan, kereta Mitsubishi Xpander.
Fauziah sangat terkejut dengan kereta dimenanginya dan bersyukur doa memiliki kenderaan dimakbulkan Allah.
"Sebelum ini, kereta saya digunakan anak, Allahyarham Pitt Hanif kerana kenderaannya selalu rosak.
"Daripada kereta saya tersidai di rumah, arwahlah yang pandu.
"Tidak lama kemudian, kereta itu terbakar di Jalan Sultan Ismail, kira-kira empat tahun lalu. Jadi, selama itulah, saya tiada kereta.
"Hendak beli kereta baharu pun tidak boleh, sebab saya sudah tua. Pinjaman pun tak lepas. Iyalah, umur saya tahun depan mencapai 70 tahun," katanya yang ditemani tiga cucunya menghadiri ASA 2022.
Dibawa Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM), ASA 2022 menyaksikan 72 kategori termasuk 43 kategori TV dan 22 kategori radio dipertandingkan.
Malam kemuncak dikendalikan Fara Fauzana, Terrence Dass dan Enn Xaviera.
Antara artis yang membuat persembahan Datuk Syafinaz Selamat, Ella, Amir Masdi, Chubb-E, Datuk Jamal Abdillah, Datuk M Nasir, Datuk Hattan, Misha Omar dan Noraniza Idris.