Ahad, 30 Oktober 2022 | 12:36pm
MPTN meraih lapan trofi pada ASA 2022 yang disiarkan secara langsung dari PICC, Putrajaya, malam tadi. Foto HM Online
MPTN meraih lapan trofi pada ASA 2022 yang disiarkan secara langsung dari PICC, Putrajaya, malam tadi. Foto HM Online

Rangkaian TV Media Prima bolot lapan trofi ASA 2022

PUTRAJAYA: Rangkaian Televisyen Media Prima (MPTN) meraih lapan trofi pada Anugerah Seri Angkasa (ASA) 2022 yang disiarkan secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, malam tadi.

Malam pertama ASA 2022 dibuka dengan kejayaan Hilal Azman meraih trofi Pelakon Pembantu Lelaki Drama Televisyen (TV) Terbaik melalui lakonannya dalam drama yang disiarkan TV3, Amanat.

Bagi kategori sama untuk pelakon wanita, Nabila Huda yang beraksi dalam drama Jeti terbitan TV3, diumumkan pemenang.

Bagi kategori Bicarawara TV Terbaik, TV3 mendominasi anugerah melalui program Lambaian Tidak Kesampaian yang menampilkan Azliyanti Ib-Berahim sebagai penerbit.

Barisan tenaga kreatif mewakili pelbagai jabatan di bawah MPTN yang meraih trofi pada ASA 2022 yang disiarkan dari PICC, Putrajaya, malam tadi. Foto Ihsan TV3
Barisan tenaga kreatif mewakili pelbagai jabatan di bawah MPTN yang meraih trofi pada ASA 2022 yang disiarkan dari PICC, Putrajaya, malam tadi. Foto Ihsan TV3

Turut cemerlang bagi kategori Promo TV Terbaik adalah program realiti, Lagu Cinta Kita 3 menampilkan Ahmad Shahrul Osman sebagai penerbit dan disiarkan TV3.

Kategori Grafik TV Terbaik pula dimenangi Muhammad Aqil Aiman Mohd Salleh menerusi program Imbauan 2020 yang disiarkan TV9.

Selaras dengan perkembangan media sosial, TV3 turut unggul apabila dinobatkan pemenang kategori Pesanan Khidmat Masyarakat Menerusi YouTube Rasmi Terbaik bagi YouTube Buletin TV3 menampilkan Nurul Farah'ain Nordin dan Norfaiza Mohd Kamal.

Kewibawaan MPTN menyediakan kandungan bermutu terus diiktiraf pada ASA 2022 malam tadi yang menyaksikan lapan trofi dibolot stesen TV di bawah Media Prima Berhad (MPB) itu. Foto Ihsan TV3
Kewibawaan MPTN menyediakan kandungan bermutu terus diiktiraf pada ASA 2022 malam tadi yang menyaksikan lapan trofi dibolot stesen TV di bawah Media Prima Berhad (MPB) itu. Foto Ihsan TV3

Program ilmuan TV3 cemerlang apabila menguasai tiga kategori menerusi Halaqah yang memenangi Kategori Set TV Terbaik oleh Mohamad Izuan Munshid (Halaqah 2020), diikuti Kesan Khas TV Terbaik dimenangi Tuan Nazraifife Tuan Abd Rahman (Halaqah 2021) dan Anugerah Khas Juri menerusi Halaqah Episod 7 : Bencana, Muhasabahkah Kita? menampilkan Ahmad Noor Sulaiman sebagai penerbit.

ASA 2022 yang dianjurkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) menampilkan pengacara berpengalaman iaitu Awal Ashaari dan Jeed Zulkefli.

ASA 2022 diteruskan lagi dengan penyampaian beberapa anugerah utama bagi penggiat seni tahan air, malam ini, dengan menampilkan Fara Fauzana, Terrence Dass dan Enn Xaviera untuk menceriakan acara. - HM Online

Berita Harian X