Ahad, 30 Oktober 2022 | 11:48am

Nazrey mahu jumpa Raihan

PETALING JAYA: Selepas tular kisah sebenar di sebalik pengunduran dirinya daripada kumpulan Raihan, bekas anggota, Nazrey Johani, 50, terdetik bersemuka dengan teman-teman lamanya itu.

Nazrey mengaku sebelum ini, beliau bersama anggota Raihan iaitu Abu Bakar Mohd Yatim, Che Amran Idris dan Amran Ibrahim, tidak pernah berbincang soal itu, justeru, kali ini, beliau mahu berjumpa dan meluahkan hati ke hati.

"Sebenarnya, ada pelbagai persepsi mengenai penarikan diri saya daripada Raihan. Padahal, saya betul-betul berhenti selepas buat kerja dakwah selama 20 hari di Sabah.

"Kalau saya tidak berhenti, saya takut menyusahkan Raihan kerana saya adalah penyanyi utama.

"Namun, isu ini tidak akan habis sampai bila-bila. Apabila kisah itu viral, saya berjanji ketika membuat siaran langsung di TikTok dan menyatakan jika pengikut di TikTok dan Instagram (IG) mencecah 100,000 orang, insya-Allah saya akan cari Raihan.

"Namun, syarat untuk cecah 100,000 pengikut itu, sengaja saya nyatakan. Sebenarnya, jujur dari hati, saya terdetik berjumpa mereka.

"Pada pertemuan itu, saya akan adakan sesi secara langsung, biar semua orang tengok.

Nazrey terdetik berjumpa anggota Raihan bagi membincangkan pelbagai perkara secara hati ke hati sejak pengundurannya daripada kumpulan nasyid itu pada 2006. Foto NSTP Fatin Farhana Ariffin
Nazrey terdetik berjumpa anggota Raihan bagi membincangkan pelbagai perkara secara hati ke hati sejak pengundurannya daripada kumpulan nasyid itu pada 2006. Foto NSTP Fatin Farhana Ariffin

"Iyalah, sebelum ini, kami hanya kata kami okay. Jadi, dalam dua minggu ini, saya berfikir untuk berdepan dan bertanya sendiri kepada anggota Raihan," katanya ditemui pada Konsert Legenda Nasyid di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini, malam tadi.

Bulan lalu, rakaman video Nazrey mendedahkan sebab utama beliau menarik diri daripada kumpulan Raihan, tular.

Melalui entri dikongsi di Instagram (IG), Nazrey menjelaskan beliau tidak pernah mengejar populariti, malah, menganggap kerjaya nyanyian sebagai pekerjaan semata-mata.

Sebelum ini, Nazrey memberitahu BH Online, suara berbisik di telinga yang meresap sanubari meminta agar kerja dakwah diteruskan, menjentik hatinya meninggalkan kumpulan nasyid popular itu, kira-kira 16 tahun lalu.

Nazrey berkongsi peristiwa dialami pada Januari 2006, usai kerja dakwah di Sabah yang mendorong beliau membuat keputusan drastik selepas 14 tahun bersama Raihan.

Raihan yang dianggotai Nazrey selaku penyanyi utama, Allahyarham Azahari Ahmad, Abu Bakar, Che Amran dan Amran, tampil dengan album pertama berjudul Puji-Pujian berkonsep nasyid kontemporari pada 1997.

Nazrey berkata, dia mahu berjumpa dengan anggota Raihan berikutan risau dengan Konsert Garis Masa Raihan, bulan depan.

"Saya risau mengenai konsert Raihan. Jadi, biarlah saya rendahkan diri, pergi cari mereka dan bertanya apa masalah lagi.

"Saya fikir tidak akan selesai jika kami tidak berjumpa. Jadi, saya hendak telefon mereka dan nyatakan saya mahu bersemuka. Perkara ini kena selesaikan sebab tidak pernah dibincangkan.

"Kemungkinan konsert Raihan kali ini akan membabitkan saya. Namun, ia hanya kemungkinan sebab konsert pun belum tentu jadi. Tengok macam mana pertemuan kami nanti.

"Jadi, tolong doakan saya dapat berjumpa Raihan dan berbincang dari hati ke hati. Saya mahu nyatakan, saya tiada masalah. Saya akan tolong apa yang saya boleh tolong... Itu sahaja," katanya.

Sebelum ini, Raihan mengumumkan bakal mementaskan Konsert Garis Masa Raihan di Stadium Malawati, Shah Alam dengan sasaran 7,000 penonton, pada 26 November depan.

Konsert mega istimewa itu bertujuan ulang tahun ke-26 Raihan dalam industri muzik tanah air. Kali terakhir Raihan mementaskan konsert adalah pada 2000.

Nazrey ketika beraksi pada Konsert Nasyid Legenda di Dewan Sivik MBPJ, Petaling Jaya, malam tadi. Foto Ihsan Penganjur Konsert Nasyid Legenda
Nazrey ketika beraksi pada Konsert Nasyid Legenda di Dewan Sivik MBPJ, Petaling Jaya, malam tadi. Foto Ihsan Penganjur Konsert Nasyid Legenda
Berita Harian X