Sabtu, 29 Oktober 2022 | 1:00pm
Di sebalik kepercayaan diletakkan terhadap pelantar media sosial, Anuar meluahkan kekecewaan terhadap segelintir netizen yang tidak sensitif ketika menulis komen. - NSTP/Rohanis Shukri
Di sebalik kepercayaan diletakkan terhadap pelantar media sosial, Anuar meluahkan kekecewaan terhadap segelintir netizen yang tidak sensitif ketika menulis komen. - NSTP/Rohanis Shukri

Anuar kecewa netizen tak sensitif

KUALA LUMPUR: Seperti selebriti lain, penyanyi Anuar Zain, 52, akur dengan keberkesanan media sosial sebagai platform mendekatkan diri dengan peminat dan mempromosikan produk.

Mula berjinak-jinak dengan dunia media sosial apabila membuka akaun Instagram (IG) sejak enam tahun lalu, Anuar kini sudah ada akaun TikTok yang diwujudkan atas tujuan sama.

"Aplikasi TikTok sangat efisien kerana ia digunakan ramai pengikut seluruh dunia. Ia bukan sahaja untuk generasi muda, malah golongan mak cik juga ramai memiliki akaun TikTok.

"Selalunya aplikasi ini digunakan untuk menyalurkan informasi dan mengembangkan bisnes. Saya juga tidak berkecuali apabila memanfaatkan pelantar ini berkongsi kandungan seperti video nyanyian dan maklumat penting berkaitan kerjaya seni.

"Cuma, saya seorang yang 'old school', lebih suka menggunakan kaedah lama dengan mengadakan sidang media jika ada perkara penting berkaitan kerjaya seperti konsert dan pembikinan single baharu untuk diuar-uarkan.

"Saya lebih suka berjumpa wartawan secara berdepan. Ini kerana saya percaya hubungan sesama manusia sangat penting berbanding hanya melihat dalam skrin telefon bimbit.

"Hanya selepas berkongsi berita baharu bersama wartawan barulah saya umumkan dalam media sosial untuk pengetahuan pengikut," katanya kepada BH Online.

Anuar mengadakan persembahan pada konsert amal, The Cloth Concert di IOI Grand, IOI City Mall Putrajaya, baru-baru ini. - NSTP/Rohanis Shukri
Anuar mengadakan persembahan pada konsert amal, The Cloth Concert di IOI Grand, IOI City Mall Putrajaya, baru-baru ini. - NSTP/Rohanis Shukri

Di sebalik kepercayaan diletakkan terhadap pelantar media sosial, pemilik nama lengkap Shahrul Anuar Zain itu turut meluahkan rasa kecewa terhadap segelintir netizen yang tidak sensitif ketika menulis komen.

"Saya pernah ternampak ada menulis komen berbaur jenaka pada entri seseorang yang berkongsi mengenai kehilangan orang tersayang.

"Ada netizen seolah-olah menganggap kesedihan sebagai sesuatu yang lucu. Di manakah sifat kemanusiaan?

"Itu belum masuk soal mencemuh orang sesuka hati, seolah-olah tiada hari esok buat mereka. Netizen tidak sedar perbuatan itu menjadi cermin sikap mereka dan keluarga.

"Mungkin sekarang mereka tidak sedar perbuatan memberi kena negatif. Tunggulah apabila sudah dewasa, barulah faham," luah penyanyi Sedetik lebih ini.

Anuar ditemui pada acara The Cloth Concert di IOI Grand, IOI City Mall Putrajaya, baru-baru ini.

Konsert amal anjuran Anjuran Persatuan Veteran RTM (PVRTM) dengan kerjasama Radio Televisyen Malaysia (RTM), Majalah WM (www.majalahwm.com) dan B'York KL itu turut menampilkan penyanyi Azlina Aziz, Ning Baizura, Stacy, Noryn Aziz, Datin Alyah dan MimiFly.

Mengulas pembikinan album baharu selepas kelahiran album Andainya Takdir, enam tahun lalu, Anuar berkata, dia dan pihak pengurusan memutuskan menghasilkan single sahaja.

"Situasi yang berlaku dalam industri muzik hari ini menyukarkan untuk kami menghasilkan album fizikal. Kalau buat pun, nak jual di mana?

"Nampaknya saya terpaksa mengorbankan prinsip dengan menghasilkan single sahaja berbanding album. Jika ada rezeki lebih, barulah saya hasilkan fizikal.

"Sekarang, saya sedang menantikan dua single dihasilkan oleh rakan yang juga komposer terkenal dari Indonesia. Selepas siap dan berpuas hati dengan karya dihasilkan barulah saya umumkan kepada peminat," janji adik kepada penyanyi Ziana Zain ini.

Berita Harian X