Jumaat, 28 Oktober 2022 | 8:31am
Kru filem Bursting Point dari Singapura yang terperangkap di Gua Tempurung yang berjaya dibawa keluar oleh pasukan keselamatan.
Kru filem Bursting Point dari Singapura yang terperangkap di Gua Tempurung yang berjaya dibawa keluar oleh pasukan keselamatan.

Waspada buat penggambaran di lokasi berisiko

KUALA LUMPUR: Syarikat produksi yang mahu melakukan penggambaran di kawasan berisiko seperti sungai, pantai dan gua dinasihat lebih berwaspada terutama pada musim hujan bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Prof Dr Md Nasir Ibrahim berkata, syarikat produksi dinasihat merujuk kepada Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) bagi mendapatkan ramalan cuaca sebelum penggambaran.

"Kami faham syarikat produksi biasanya membuat tinjauan dan mengenal pasti lokasi mengikut kesesuaian jalan cerita ditetapkan.

"Bagaimanapun, untuk memastikan agar tidak berlaku kemalangan atau kejadian tidak diingini di kawasan berisiko tinggi, lebih elok syarikat produksi merujuk kepada MetMalaysia mengenai keadaan cuaca ketika penggambaran.

"Dengan cara itu, mereka dapat bersedia dengan sebarang kemungkinan.

"Tetapi, kalau boleh, elak daripada meneruskan penggambaran dalam keadaan cuaca buruk," katanya kepada BH Online.

Kelmarin, seramai 30 kru penggambaran filem Bursting Point dilaporkan terperangkap di belakang Gua Tempurung, Gopeng, Perak, namun, selamat dan berjaya dibawa keluar.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri, dilaporkan berkata keseluruhan kru berkenaan berjumlah 80 orang dan 30 yang terperangkap adalah warga tempatan serta Singapura.

Md Nasir menasihatkan syarikat produksi merujuk kepada Jabatan Meteorologi Malaysia bagi mendapatkan ramalan cuaca sebelum penggambaran.
Md Nasir menasihatkan syarikat produksi merujuk kepada Jabatan Meteorologi Malaysia bagi mendapatkan ramalan cuaca sebelum penggambaran.

Mohd Yusri dilaporkan berkata, siasatan awal mendapati insiden bermula susulan hujan lebat berterusan sejak jam 4 petang, kelmarin.

Tambahnya, semua mangsa terperangkap kerana air naik secara mendadak ke kawasan alur air di dalam gua dengan kedalaman kira-kira 1.5 meter.

Semua mangsa adalah kru penggambaran filem Bursting Point membabitkan syarikat perfileman antarabangsa dari Singapura.

Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Zed Zaidi menasihatkan syarikat produksi mengelak daripada menjalani penggambaran di kawasan berisiko ketika cuaca kurang baik.

Zed berkata, bukan faktor lokasi yang memainkan peranan, sebaliknya, apa yang penting mesej dan jalan cerita sesebuah filem atau drama sampai kepada penonton.

"Nasihat saya pada produksi, jagalah keselamatan dan elak 'shooting' ketika cuaca tidak menentu.

"Sebaliknya, cari tempat yang selamat. Kita sebagai pembuat skrip boleh ubah tempat yang mana kita rasa perlu.

"Apa yang penting mesejnya sampai kepada penonton, bukan lokasi yang memainkan peranan," katanya.

Berita Harian X