Khamis, 27 Oktober 2022 | 3:00pm
Jurey dilaporkan bimbang dengan perkembangan mana lebih 2,000 syarikat produksi terbabit dalam sesi ‘pitching’ masih menanti keputusan RTM. - Foto IG Jurey Latiff Rosli
Jurey dilaporkan bimbang dengan perkembangan mana lebih 2,000 syarikat produksi terbabit dalam sesi ‘pitching’ masih menanti keputusan RTM. - Foto IG Jurey Latiff Rosli

Sabar tunggu keputusan 'pitching' bagi siaran RTM

KUALA LUMPUR: Pembekal kandungan untuk siaran RTM tahun depan diminta bersabar menunggu keputusan perolehan atau 'pitching' bagi sesi April dan September lalu, yang dijangka diumumkan, tidak lama lagi.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, berkata tarikh keputusan perolehan bagi Program Televisyen (TV) Swasta Baharu Tempatan, Luar Negara dan Produk Siap Tempatan bagi siaran RTM 2023, sudah ditetapkan dan bakal diumumkan, kelak.

"Tunggulah… selepas 'pitching' tentulah ada prosesnya. Semua tarikh sudah ada… kita akan umumkan nanti," katanya selepas Program Eksplorasi Komuniti Kreatif Keluarga Malaysia (Ekspresi@FINAS) di Kompleks Studio Merdeka, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) di Hulu Klang, Isnin lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyempurnakan majlis penutup program berkenaan.

Baru-baru ini, Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) dilaporkan musykil belum ada perkhabaran berhubung keputusan perolehan atau 'pitching' bagi program televisyen swasta oleh RTM yang dikemukakan, Jun lalu.

Presiden PTVM, Datuk Jurey Latiff Rosli dilaporkan bimbang dengan perkembangan itu di mana lebih 2,000 syarikat produksi dikatakan terbabit dalam sesi 'pitching' masih menanti keputusan RTM.

Annuar berkata, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOM) tidak pernah mengabaikan penerbit.

Annuar berkongsi, tarikh keputusan perolehan bagi Program Televisyen (TV) Swasta Baharu Tempatan, Luar Negara dan Produk Siap Tempatan bagi siaran RTM 2023 sudah ditetapkan dan bakal diumumkan, kelak. - NSTP/Asyraf Hamzah
Annuar berkongsi, tarikh keputusan perolehan bagi Program Televisyen (TV) Swasta Baharu Tempatan, Luar Negara dan Produk Siap Tempatan bagi siaran RTM 2023 sudah ditetapkan dan bakal diumumkan, kelak. - NSTP/Asyraf Hamzah

Pada sesi Town Hall Survival Industri Penerbitan TV Negara di ibu pejabat FINAS, baru-baru ini, penggiat seni meluahkan kebimbangan apabila sehingga hari ini, keputusan 'pitching' belum diperoleh.

Situasi itu dilapor mengakibatkan penerbit dan penggiat belakang tabir berada dalam dilema untuk melakukan kerja lain kerana bimbang jika RTM mengumumkan keputusan sesi perolehan secara tiba-tiba.

Justeru, penerbit memohon K-KOM dan RTM menetapkan tarikh bagi mengumumkan keputusan sesi perolehan supaya mereka tidak perlu menunggu ibarat pepatah 'menanti buah yang tidak gugur'.

Jurey berkata, jika tarikh keputusan 'pitching' ditetapkan, ia memudahkan penerbit dan pekerja belakang tabir merancang kerja bagi menjana pendapatan sepanjang hilang pekerjaan.

"Ketiadaan tarikh khusus ini menyukarkan kami.

"Kru jadi serba salah untuk mencari kerja lain. Mereka bimbang jika terima tawaran lain, seperti bekerja dalam sektor penghantaran makanan, tiba-tiba, RTM keluarkan surat tawaran.

"Jika RTM meletakkan tarikh tetap, mudahlah kami merancang apa yang boleh dilakukan untuk menjana pendapatan," katanya.

Berita Harian X