KUALA LUMPUR: Inisiatif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) 'merakyatkan' filem pada Program Eksplorasi Komuniti Kreatif Keluarga Malaysia (Ekspresi@FINAS) di Kompleks FINAS di Hulu Klang, baru-baru ini, mencapai matlamat apabila lebih 30,000 pengunjung menghadirinya.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FINAS, Prof Dr Md Nasir Ibrahim, berkata pihaknya berbesar hati dengan kejayaan program itu, apatah lagi, buat kali pertama, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjejakkan kaki ke FINAS.
"Kami boleh sifatkan acara yang julung kali diadakan ini sebagai kejayaan berdasarkan sambutan orang ramai sepanjang dua hari Ekspresi@FINAS berlangsung.
"Kami sasar lebih 30,000 pengunjung hadir dan objektif 'merakyatkan' filem tercapai dengan sambutan menggalakkan daripada orang ramai.
"Sebelum ini, orang ramai mungkin tertanya-tanya apakah fungsi dan peranan FINAS. Justeru, melalui program dua hari itu, kami pamerkan peralatan perfileman dan teknologi yang digunakan.
"Kami juga membuka studio untuk orang ramai," katanya kepada BH Online.
Ismail Sabri menyempurnakan majlis penutup program berkenaan.
Yang turut hadir, Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Tan Sri Annuar Musa.
Pelbagai pengisian menarik disediakan pada program Ekspresi@FINAS iaitu sesi uji bakat bersama syarikat produksi bagi menggilap bakat baharu, tayangan dan apresiasi filem tempatan serta persembahan penggiat industri kreatif dan komuniti.
Turut dianjurkan sesi perkongsian ilmu bersama penggiat industri, ramah mesra bersama artis, pembentangan idea bagi Dana Mikro bertemakan Keluarga Malaysia berjumlah RM5,000, gerai jualan serta banyak lagi.
Pada majlis itu, Perdana Menteri turut menyampaikan Anugerah Ikon Ekspresi Seni kepada 12 penerima merangkumi pelakon, pengarah, penerbit dan pekerja belakang tabir.
Antara mereka adalah Fauziah Nawi, Erra Fazira, Datuk Adi Putra, Janna Nick, Adrian Teh, Syamsul Yusof, Burhanuddin Md Razi, Abdul Rahman Mt Dali serta ramai lagi.
Pada acara penutup, Ismail Sabri meluluskan peruntukkan RM100,000 untuk Tabung Khas Pembangunan Industri Filem (Takzim) yang dimohon Pengerusi FINAS, Datuk Seri Zurainah Musa.
Mengulas perkara itu, Md Nasir, berkata tabung berkenaan diwujudkan bagi membantu insan seni yang hilang mata pencarian akibat bala bencana atau hilang upaya untuk bekerja.
"Tabung Takzim diwujudkan bagi membantu insan seni yang memerlukan.
"Kita sedia maklum, ada sesetengah artis yang melalui fasa sukar pada hujung hayat kerana hilang mata pencarian.
"Jadi, melalui tabung ini, dapatlah kita membantu meringankan beban ditanggung oleh penggiat seni.
"Tabung ini boleh digunakan pada kecemasan seperti bencana alam seperti banjir dan seperti apa yang berlaku ketika pandemik COVID-19.
"Kami sudah berbincang dan memohon kepada Kementerian Kewangan (MOF) untuk memberi pengecualian cukai kepada penyumbang," katanya.