Rabu, 26 Oktober 2022 | 5:10pm
Penganjur dalam proses memulangkan semula wang peminat yang sudah membeli tiket Konsert Kris Dayanti & Noryn Aziz: Duo Diva Live In Malaysia di MIECC, Seri Kembangan pada 29 Oktober ini. - Foto IG Noryn Aziz
Penganjur dalam proses memulangkan semula wang peminat yang sudah membeli tiket Konsert Kris Dayanti & Noryn Aziz: Duo Diva Live In Malaysia di MIECC, Seri Kembangan pada 29 Oktober ini. - Foto IG Noryn Aziz

Konsert Noryn, Kris Dayanti tangguh

KUALA LUMPUR: Konsert Kris Dayanti & Noryn Aziz: Duo Diva Live In Malaysia di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MIECC), Seri Kembangan pada 29 Oktober ini ditangguhkan kepada tarikh baharu yang akan diumumkan kelak.

Perkara itu disahkan wakil penganjur Asia Momentum Media (AMM), Camen Tan, petang tadi.

Mengulas lanjut, Camen berkata, penangguhan konsert dibuat berikutan terdapat kesulitan tidak dapat dielakkan.

"Konsert terpaksa ditangguhkan hingga ke satu tarikh yang akan diumumkan. Buat masa ini, kami belum ada sebarang maklumat mengenainya.

"Penangguhan konsert dibuat disebabkan berlaku keadaan yang tidak dijangka. Sebarang perkembangan baharu mengenainya akan dikongsikan kemudian.

"Kami juga sudah memaklumkan perkara ini kepada pengurusan dua penyanyi berkenaan. Cuma, kami belum berbincang mengenai perancangan yang bakal dilakukan," katanya kepada BH Online.

Noryn anggap bukan rezeki apabila penganjur terpaksa menangguhkan konsert atas sebab tidak dapat dielakkan. - Foto IG Noryn Aziz
Noryn anggap bukan rezeki apabila penganjur terpaksa menangguhkan konsert atas sebab tidak dapat dielakkan. - Foto IG Noryn Aziz

Bagi peminat yang sudah membeli tiket, Carmen berkata, pihaknya sedang dalam proses untuk memulangkan semula wang mereka.

"Proses memulangkan semula wang peminat yang sudah membeli tiket sedang dilakukan.

"Sebarang pertanyaan berhubung isu pemulangan semula wang boleh hubungi penganjur," ujarnya.

Sementara itu, Noryn akur dengan keputusan dibuat penganjur berhubung penangguhan konsert itu.

"Sejujurnya, saya teruja untuk menjayakan konsert. Ini kerana saya akan berkongsi pentas dengan Kris Dayanti.

"Namun, saya terima dengan hati terbuka apabila penganjur terpaksa menangguhkan konsert atas sebab tidak dapat dielakkan.

"Saya anggap bukan rezeki. Saya tidaklah rasa sedih atau kecewa.

"Cuma, apa yang membuat saya ralat mengenangkan keterujaan peminat yang teringin melihat saya beraksi dalam konsert.

"Insya-Allah, mungkin mereka akan dapat melihat saya dalam konsert berskala besar, suatu hari nanti," ujar Noryn dengan positif.

Berita Harian X