KUALA LUMPUR: Sejak ditubuhkan lebih dua dekad lalu, Persatuan Veteran Radio Televisyen Malaysia (PVRTM) teguh dengan visinya menjaga kebajikan ahli.
Sehubungan itu, pelbagai program berbentuk amal dianjurkan demi mencapai objektif mengisi dana PVRTM.
Antara program berskala besar persatuan itu adalah The Cloth Concert di IOI Grand, IOI City Mall, Putrajaya, Sabtu lalu.
Pada acara itu, Presiden PVRTM, Zohara Gany Bathusha mengumumkan persatuan terbabit bakal melancarkan skim insurans kesihatan untuk ahli yang sakit atau ditimpa kemalangan dan memerlukan kos rawatan tinggi.
Mengulas lanjut perkara itu, Zohara berkata, jika perbincangan lancar, skim itu akan diperkenalkan, akhir tahun ini, atau selewat-lewatnya awal tahun depan.
"Kita sedar ada ramai ahli PVRTM tiada pencen atau kemudahan insurans. Situasi ini akan menyukarkan mereka mendapatkan rawatan di hospital kerana kos perubatan sangat tinggi.
"Jika mereka ada anak-anak yang berada, mungkin mudah. Tetapi jika anak-anak bekerja biasa, keadaan jadi rumit. Kami boleh tolong mereka jika diwujudkan skim insurans berkelompok untuk membantu meringankan beban.
"PVRTM sudah berjumpa dengan sebuah syarikat insurans yang boleh membantu kami. Cuma, buat masa ini, kami belum dapat duduk bersama untuk berbincang secara terperinci mengenainya. Insya-Allah jika perbincangan lancar, skim insurans itu akan dapat diperkenalkan akhir tahun ini atau awal 2023," katanya kepada BH Online.
Mengenai jumlah kutipan dikumpul selepas The Cloth Concert yang menggabungkan elemen muzik dan fesyen itu dianjurkan, perkara itu hanya akan diumumkan selepas selesai proses audit.
"Buat masa ini, kami masih belum buat kiraan jumlah kutipan hasil jualan meja dan sumbangan diberi.
"Bahagian yang akan digunakan untuk mengisi dana PVRTM hanya akan diketahui selepas ditolak dengan kos keseluruhan penganjuran konsert," katanya.
Ditanya adakah konsert itu bakal dijadikan acara tahunan berdasarkan maklum balas positif diterima, Zohara berkata, perkara itu agak sukar untuk dilaksanakan kerana menuntut komitmen yang sangat tinggi.
"Alhamdulillah, rata-rata tetamu yang hadir memuji penganjuran konsert ini. Mereka suka dengan dekorasi yang menghiasi dewan, makanan dihidangkan, persembahan artis dan pertunjukan fesyen.
"Bagaimanapun, permintaan untuk menjadikan konsert ini sebagai acara tahunan agak sukar dilakukan. Maklum sajalah, kebanyakan kami semuanya sudah berusia dan projek ini menuntut komitmen yang bukan sedikit. Namun, kalau hendak dianjurkan dua tahun sekali, mungkin kita boleh laksanakan," katanya.
Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin yang juga Penaung Diraja PVRTM turut menyaksikan konsert berdurasi hampir tiga jam itu.
Pada malam itu, lebih 100 fesyen timur dan barat ciptaan 21 pereka dipaparkan.
Antara pereka fesyen terbabit adalah Datuk Tom Abang Saufi, Rizman Ruzaini, Huda Hassan, Sharifah Kirana, Calvin Thoo, Wan Bynun dan Salikin Sidek.
Turut serta, Yani Bakhtiar; NinabNina; Syahrir Nurdin; pereka busana filem Hollywood Crazy Rich Asians, Carven Ong serta Melinda Omar.
Turut mengambil bahagian adalah Persatuan Pereka Bumiputera Malaysia (MBDA) yang menampilkan rekaan Presidennya, Rasta Rashid bersama Hasfitri Yusof, Maswira Majid, Anas Abdullah, Rizal Latif, Kalima dan Amaratpal Donnie serta Zang Toi.
Dihadiri lebih 1,000 tetamu, konsert dimeriahkan dengan persembahan artis terkenal seperti Anuar Zain, Azlina Aziz, Ning Baizura, Noryn Aziz, Datin Alyah, Stacy dan MimiFly.
Peniup saksofon terkenal, Jaffar Abd Rahman atau Jari muncul mengiringi model yang memperagakan busana berasaskan tekstil tradisional seperti tenun, batik dan songket.
The Cloth Concert dikendalikan bekas penyampai Radio 4 RTM, Datuk Yasmin Yusoff dan rakaman akan disiarkan RTM, bulan depan.
PVRTM yang didaftarkan pada 1996 mempunyai lebih 1,200 ahli daripada semua bidang termasuk penerbitan, teknikal dan perkhidmatan sokongan.