KUALA LUMPUR: Sejak awal perkenalan sehingga mengikat tali pertunangan, hubungan cinta pasangan selebriti popular, Sweet Qismina, 25, dan Adam Lee, 28, selama empat tahun belum pernah dilanda gelora seperti kebanyakan artis lain.
Bukan itu sahaja, bahkan laluan pasangan yang pernah mencipta fenomena menerusi drama Adam Chempaka dan Bidadari Salju itu menuju hari bahagia juga dipermudah mengikut apa yang direncanakan.
Saat diaju pertanyaan, Sweet atau nama sebenarnya, Farhanna Qismina Supandi tidak menolak kemungkinan sikap terbuka untuk berkongsi kisah cinta membuatkan hubungan direstui.
"Apabila memilih berkongsi kisah percintaan dalam media sosial, saya lihat keterbukaan kami mendapat maklum balas positif.
"Disebabkan itu, ramai sentiasa mendoakan agar hubungan saya dan Adam berkekalan. Alhamdulillah, doa ini dimakbulkan dan kami disatukan sebagai pasangan suami isteri hari ini (semalam).
"Saya bersyukur hubungan kami tiada langsung pasang surut sepanjang empat tahun mengenali Adam.
"Malah, kami juga tidak melalui sebarang pengalaman diganggu insan ketiga dalam hubungan. Mungkin sikap tidak menyembunyikan kisah cinta membuatkan ramai menghormati kami," pada sidang media selepas majlis akad nikah diadakan di sebuah premis acara, semalam.
Terdahulu, dengan sekali lafaz, Sweet bergelar isteri kepada Adam atau nama sebenarnya, Muhammad Arif Adam Mohamed Fadlee.
Pasangan sehati sejiwa itu dinikahkan oleh abang pengantin perempuan, Fahed Ashraf Supandi dengan disaksikan Pendaftar Perkahwinan merangkap Imam 1 Masjid Darul Ehsan Taman Tun Abdul Razak, Gombak, Selangor, Mohamad Khairin Hussein.
Pada majlis itu, Sweet menerima mas kahwin sebanyak RM2410.97 yang juga simbolik kepada tarikh lahir pemenang trofi Artis Baharu Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 3.0 pada 2016.
Pengantin perempuan menyerahkan tujuh dulang hantaran berbalas lima dulang, manakala jumlah wang hantaran dirahsiakan.
Mengulas pengorbanan dilakukan demi mendapatkan suri hatinya itu, Adam yang juga pemenang trofi Artis Baharu Lelaki Popular, ABPBH 32 berkata, dia berpegang kepada kejujuran kerana sikap itulah memberi kebahagiaan.
"Sejak awal, niat saya berkenalan dengan Sweet untuk menjadikannya 'halal' buat saya. Jadi, saya lebih selesa bersikap jujur.
"Apabila hubungan semakin serius, saya rasa perlu bersikap jujur dalam segala perkara demi menjaga keharmonian hubungan.
"Ketika di lokasi penggambaran, fokus saya hanya kepada kerja, bukannya berfoya-foya dengan wanita lain di belakang Sweet," katanya.
Apa yang menarik, segala persiapan untuk majlis akad nikah dilakukan sendiri oleh pasangan mempelai.
"Persiapan acara akad nikah dirancang selepas kami bertunang pada Oktober, tahun lalu. Ini adalah majlis bersejarah, jadi kami lebih tahu apa yang diinginkan.
"Walaupun banyak perkara kena fikir hingga sakit kepala juga menguruskannya, apabila melihat hasilnya sama seperti yang diinginkan, memang puas hati dan berbaloi," ujar Adam.
Mengulas memilih 24 Oktober sebagai hari untuk disatukan sebagai suami isteri, Adam berkata, tarikh itu cukup istimewa buat isterinya yang tercinta.
"24 Oktober adalah ulang tahun kelahiran Sweet. Simboliknya, selepas ibunya melahirkannya, giliran saya pula mengambil tanggungjawab untuk menjaganya," kata Adam yang juga peminat watak aksi.
Terdahulu, malam kemuncak ABPBH 31 pada 2018 menjadi titik permulaan bibit cinta antara Adam dan Sweet.
Ia bermula apabila Sweet mengajak Adam menemaninya menghadiri acara berkenaan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) selepas selesai penggambaran drama yang kali pertama menggandingkan mereka, Adam Chempaka.