Rabu, 7 September 2022 | 4:33pm
Shila tetap positif biarpun menyedari risiko bakal dihadapi jika perjuangannya dalam program GV9 terhenti di pertengahan jalan. - NSTP/Asyraf Hamzah
Shila tetap positif biarpun menyedari risiko bakal dihadapi jika perjuangannya dalam program GV9 terhenti di pertengahan jalan. - NSTP/Asyraf Hamzah

Shila masuk GV9 bukan sebab duit

KUALA LUMPUR: Penyanyi yang menempa nama di negara Tembok Besar China, Shila Amzah, 32, tak gentar kritikan netizen yang menganggapnya tidak layak menyertai program realiti, Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9) kerana masih aktif menyanyi.

Mengakui sudah lali dengan situasi sedemikian, Shila atau nama sebenarnya, Nurshahila Amir Hamzah berkata, penyertaannya dalam program GV9 adalah untuk memperbaiki diri, selain ingin keluar daripada zon selesa.

"Saya masuk GV9 bukan sebab duit. Ini kerana saya melihat program realiti ini boleh menjadi platform yang sesuai untuk seseorang penyanyi berkarya.

"Sebelum ini, saya menyertai pertandingan seperti The Masked Singer dan Anugerah Juara Lagu, tetapi kedua-dua pertandingan itu mempunyai konsep berbeza.

"Setiap minggu kita akan cuba menampilkan persembahan terbaik dan mencabar kreativiti sendiri. Sebagai penyanyi, program GV9 membantu saya untuk lebih yakin, sekali gus memberi kepuasan kepada diri sendiri.

"Jika nak cakap takut pada kritikan, saya sudah lalui pelbagai kontroversi. Saya juga tak kisah dikritik dari segi nyanyian kerana lebih baik kritikan soal kerja berbanding peribadi," katanya kepada BH Online.

Penyertaan Shila dalam program GV9 adalah untuk memperbaiki diri, selain ingin keluar daripada zon selesa. - NSTP/Asyraf Hamzah
Penyertaan Shila dalam program GV9 adalah untuk memperbaiki diri, selain ingin keluar daripada zon selesa. - NSTP/Asyraf Hamzah

Meskipun menyedari risiko bakal dihadapi dan takut jika perjuangannya dalam program GV9 terhenti di pertengahan jalan, namun, penyanyi Tiada Dirimu itu tetap bersikap positif.

"Selalunya perkara paling saya takut menyertai pertandingan adalah penyingkiran. Jika boleh saya nak elak perkara ini berlaku pada saya.

"Seandainya tewas saya tetap bangga sebagai peserta paling muda dan bersaing bukan dengan calang-calang penyanyi," ujar Shila.

Calon penyanyi wanita solo lain yang turut menyertai program itu ialah Jaclyn Victor, Dina Nadzir, Pat Candy, Haida Hasnan dan Tom, manakala peserta lelaki yang menyahut cabaran ialah Tomok, Roy Kapilla, Bob Yusof, Asheed Def-Gab-C.

Penyanyi dari Singapura, Fuad Rahman dan Hazrul Nizam turut mencuba nasib, manakala VE dianggotai Zaf, Cham, Adeeb dan Hakim sebagai peserta berkumpulan.

Konsert mingguan GV9 akan bersiaran secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) selama 10 minggu bermula 18 September ini.

Berita Harian X