Ahad, 4 September 2022 | 12:45pm
Wong sedang menjalani penggambaran sebuah program pelancongan bersama pelakon tempatan, Debbie Goh ketika kemalangan. - Foto IG Priscillia Wong
Wong sedang menjalani penggambaran sebuah program pelancongan bersama pelakon tempatan, Debbie Goh ketika kemalangan. - Foto IG Priscillia Wong

Aktres Hong Kong cedera terkena duri durian

KUALA LUMPUR: Aktres Hong Kong, Priscillia Wong cedera pada bahagian paha sebelah kiri selepas terkena duri durian ketika menjalani penggambaran di Malaysia.

Mengikut laporan China Press, Wong sedang menjalani penggambaran sebuah program pelancongan bersama pelakon tempatan, Debbie Goh ketika kemalangan.

Goh membaling buah durian ke arahnya dari puncak bukit di sebuah kebun. Bagaimanapun, Wong menjerit kesakitan apabila durian terkena kakinya.

Wong berkongsi hantaran video di laman sosial Instagram (IG) miliknya menunjukkan kaki mempunyai lebih kurang 20 kesan luka tusukan akibat duri durian.

Dalam video itu, Wong sedang berdiri di tepi sungai apabila durian tiba-tiba datang meluncur ke arahnya.

Walaupun Wong cuba mengelak, durian terkena paha kiri hingga menusuk ke kulitnya.

Wong menjerit kesakitan, kemudian ketawa dan bertanya: "Siapakah yang membaling durian seperti itu?"

Kemudian dalam video itu, Wong dilihat menyapu ubat pada kakinya.

Wong memuat naik video menunjukkan kaki mempunyai lebih kurang 20 kesan luka tusukan akibat duri durian. - Foto IG Priscillia Wong
Wong memuat naik video menunjukkan kaki mempunyai lebih kurang 20 kesan luka tusukan akibat duri durian. - Foto IG Priscillia Wong

"Ini kali pertama saya pergi ke kebun untuk memetik durian. Ini juga kali pertama saya terkena durian," tulisnya.

Walaupun mempunyai 20 kesan tusukan di paha, Wong berkata, dia masih gembira dengan pengalaman itu.

"Banyak pengalaman pertama berlaku di Malaysia, saya masih merinduinya," katanya.

Wong kemudian memuat gambar luka dari sudut dekat dalam IG Story.

"Ini adalah hadiah diberikan oleh durian kepada saya.

"Saya sayang dan benci durian," tulis pelakon berusia 40 tahun itu.

Menerusi program pelancongan itu, Wong menjelajah Malaysia untuk menikmati makanan dan budaya tempatan. - AGENSI

Berita Harian X