Khamis, 1 September 2022 | 6:54pm
Belagu yang dilancarkan pada Februari 2021, turut meraih pencalonan dalam kategori Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu bagi lagu Tudung Periuk dan Malam Ku Bermimpi. Foto IG Dayang Nurfaizah
Belagu yang dilancarkan pada Februari 2021, turut meraih pencalonan dalam kategori Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu bagi lagu Tudung Periuk dan Malam Ku Bermimpi. Foto IG Dayang Nurfaizah

Dayang raih 6 pencalonan AIM 23

KUALA LUMPUR: Album Dayang Nurfaizah, Belagu meraih enam pencalonan dalam empat kategori pada Anugerah Industri Muzik (AIM) Ke-23.

Belagu yang juga album kesembilan Dayang, tercalon dalam kategori Kulit Single/Album Terbaik; Rakaman Lagu Terbaik bagi lagu Tudung Periuk dan Malam Ku Bermimpi serta Rakaman Album Terbaik.

Belagu yang dilancarkan pada Februari 2021, turut meraih pencalonan dalam kategori Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu bagi lagu Tudung Periuk dan Malam Ku Bermimpi.

Penyanyi Yonnyboii dan Ernie Zakri masing-masing beroleh empat pencalonan.

Sebahagian artis yang hadir di sidang media calon akhir AIM 23. Foto NSTP Aziah Azmee
Sebahagian artis yang hadir di sidang media calon akhir AIM 23. Foto NSTP Aziah Azmee

Ernie tercalon dalam kategori Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu bagi lagu Sinar Mata Hati dan dua pencalonan dalam kategori Persembahan Vokal Duo/Kolaborasi Terbaik Di Dalam Lagu iaitu bagi single Goodbye Hello bersama suami, Syamel dan Berakhirlah Pencarianku bersama Hafiz Suip.

Yonnyboii tercalon dalam kategori Rakaman Album Terbaik bagi album Deluxe Version dan dua pencalonan dalam kategori Lagu R&B/ Hip Hop Terbaik iaitu single Tak Sangka dan Orang Lain.

Penyanyi ini juga meraih pencalonan dalam kategori Album Terbaik menerusi album Deluxe Version.

Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), Rosmin Hashim berkata, AIM 23 menerima 650 pencalonan, namun, hanya 105 calon disenarai pendek bagi 21 kategori dipertandingkan.

"RIM menerima jumlah pencalonan memberangsangkan apabila mendapat 650 pencalonan untuk karya yang diterbitkan dalam tempoh satu setengah tahun bermula 1 Januari 2021 sehingga 30 Jun lalu.

"Ini menunjukkan industri muzik tempatan berada dalam keadaan baik selepas pandemik COVID-19," katanya pada sidang media mengumumkan calon akhir AIM 23 di sini, hari ini.

Rosmin berkata, seramai 113 penilai terbabit dalam proses penjurian dengan setiap kategori disemak antara tujuh hingga 10 pakar dalam pelbagai bidang.

Diketuai Maestro Muzik, Datuk Mokhzani Ismail, juri lain adalah Fauzi Marzuki, Datuk Acis, Datuk Afdlin Shauki, Datuk Syafinaz Selamat, Mas Idayu, Noryn Aziz, Omar K, DJ Fuzz, Adi Priyo, Shah Slam dan ramai lagi.

"Proses penjurian dilakukan terperinci dan tiada unsur pilih kasih. Jika juri ada kepentingan dalam mana-mana kategori, mereka tidak dibenarkan duduk di kerusi berkenaan.

"Bagi penilaian kategori utama iaitu Rakaman Lagu Terbaik dan Rakaman Album Terbaik, ia dilaksanakan pada 12 Ogos disusuli penjurian kategori lain yang berlangsung selama tiga hari mulai 15 Ogos lalu," katanya.

Pada majlis sama, Rosmin mengumumkan Jawatankuasa AIM 23 sebulat suara menggugurkan dua kategori berikutan kekurangan penyertaan dan tidak menepati kriteria pertandingan.

"Dua kategori yang digugurkan adalah Lagu Dangdut yang hanya menerima dua penyertaan. Untuk bertanding perlu ada minimum lima pesaing.

"Satu lagi kategori digugurkan adalah Lagu India Tempatan Terbaik kerana ada lagu dirakamkan di luar negara," katanya.

Berita Harian X