Khamis, 1 September 2022 | 11:00am
Zizi simpati melihat segelintir rakan artis yang terkandas di tengah jalan untuk kekal istiqamah berhijab. - Foto IG Zizi Kirana
Zizi simpati melihat segelintir rakan artis yang terkandas di tengah jalan untuk kekal istiqamah berhijab. - Foto IG Zizi Kirana

Jangan hakimi artis 'buang tudung'

KUALA LUMPUR: Melihat ada segelintir rakan artis terkandas di pertengahan jalan untuk kekal istiqamah berhijab mengundang rasa simpati dalam diri penyanyi hip hop sensasi, Zizi Kirana, 37.

Enggan menghakimi keputusan diambil orang lain, sebaliknya Zizi meminta masyarakat agar tidak memberi tekanan dan terus memanjatkan doa pintu hati mereka dibuka semula untuk berhijab.

"Sejujurnya, paling sukar untuk kekal istiqamah selepas bertudung. Disebabkan itu, saya mengelak untuk berbicara soal berhijab walaupun ramai bertanya mengenainya sejak awal lagi.

"Saya sendiri tidak melakukannya secara drastik, tetapi perlahan-lahan memakai hijab ketika Ramadan, sebelum membuat keputusan berhijrah sepenuhnya.

"Saya tak mahu melakukan sesuatu dengan cara mengejut. Paling penting, biarlah keputusan berhijrah dibuat atas kerelaan, bukannya desakan sesiapa.

"Mengenai tindakan segelintir artis membuka tudung, saya akui kasihan dengan mereka. Nak ulas panjang lebar pun kita tidak berada di tempat mereka dan tak tahu apa dugaan dilalui hingga terpaksa membuat keputusan seberat ini," katanya kepada BH Online.

Apabila memilih menutup aurat, pemilik nama lengkap Nur Fazelah Mad Tahil, 37, ini mengakui, dia kini lebih teliti dari segi imej dan pemakaian.

Zizi tak sesuai nyanyi lagu hip hop, enggan terlonjak-lonjak dengan imej berhijab. - Foto IG Zizi Kirana
Zizi tak sesuai nyanyi lagu hip hop, enggan terlonjak-lonjak dengan imej berhijab. - Foto IG Zizi Kirana

Ini kerana katanya, dia perlu menjaga batas sebagai isteri, memandangkan ada banyak mata memerhati.

"Apabila keluar rumah, saya perlu jaga maruah suami dan keluarga. Justeru, soal penampilan amat dititikberatkan setiap kali keluar rumah atau nak buat persembahan.

"Saya kena tengok apakah tudung dan pakaian bersesuaian ketika mengadakan persembahan. Alhamdulillah, saya sangat selesa dengan penampilan baru, tiada pula rasa rindu dengan imej lama," ungkap penyanyi lagu Eh! ini.

Bersesuaian dengan imej berhijab, Zizi mendedahkan, dia tidak akan menyanyikan lagu yang mesejnya bertentangan dengan penampilannya itu.

Antara lagu yang bakal disimpan dalam lipatan sejarah adalah Siapa Yang Bap Bap dan Nak Ke Tak Nak.

"Kalau nak suruh nyanyi lagu-lagu lama, saya akan tengok mana yang sesuai. Macam lagu Siapa Yang Bap Bap dan Nak Ke Tak Nak memang tak sesuai dinyanyikan dengan imej bertudung kerana mesej terkandung dalam liriknya.

"Bagaimanapun, penganjur seperti memahami dan tidak pernah memaksa saya untuk menyanyikan dua lagu berkenaan.

"Dari awal lagi apabila saya nak bertudung, hala tuju lagu saya adalah seperti lagu Eh! yang lebih santai tanpa perlu nak ligat menari.

"Malah, saya berpesan kepada koreografer agar gerak tarian tidak keterlaluan," kata isteri kepada pelakon Yusuf Bahrin ini.

Zizi kini lebih teliti dari segi imej, selain perlu menjaga maruah suaminya, Yusof Bahrin. - Foto IG Zizi Kirana
Zizi kini lebih teliti dari segi imej, selain perlu menjaga maruah suaminya, Yusof Bahrin. - Foto IG Zizi Kirana

Menyedari tidak akan selamanya menyanyikan lagu bergenre hip hop, Zizi memaklumkan, dia bakal tampil dengan lagu berkonsepkan World Music bagi meneruskan kelangsungan kerjaya nyanyian.

"Saya ada memberitahu pihak pengurusan yang saya masih mahu berada dalam industri muzik walaupun tidak lagi menyanyikan lagu berentak hip hop.

"Dalam fikiran, saya teringin menyanyikan lagu berunsur ketuhanan seperti Maher Zain dan Sami Yusuf. Insya-Allah, saya akan merakamkan lagu genre ini sebagai percubaan, tahun depan," kata Zizi.

Dalam perkembangan lain, Ziza teruja bakal mengadakan persembahan pada Konsert Faztival Fazura yang bakal berlangsung di Axiata Arena Bukit Jalil pada 11 September ini.

Lebih menyeronokkan berkongsi pentas dengan wanita idolanya, Nur Fazura yang juga penganjur konsert.

"Saya memang meminati Fazura. Saya suka cara dan gayanya yang santai.

"Saya terus bersetuju apabila mendapat tawaran daripada pengurusnya, Iman Tang.

"Memang tak sabar berkongsi pentas dengan Nur Fazura dan penyanyi terkenal Indonesia, Ahmad Dhani serta isterinya, Mulan Jameela pada malam itu," luah bintang kelahiran Akademi Fantasia 7 ini.

Berita Harian X