Khamis, 29 September 2022 | 8:01am
Liza Hanim dan Shila Amzah menerima trofi kategori Runut Bunyi (OST) Terbaik Dalam Filem/Drama dan
Liza Hanim dan Shila Amzah menerima trofi kategori Runut Bunyi (OST) Terbaik Dalam Filem/Drama dan

RIM taksir bajet nilai lagu

KUALA LUMPUR: Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) dalam rangka menentukan bajet diperlukan bagi proses penjurian karya yang dihasilkan antara 2017 hingga 2020, yang tidak dipertandingkan pada Anugerah Industri Muzik (AIM) Ke-23, baru-baru ini.

Pengerusi RIM, Rosmin Hashim, berkata penilaian terhadap bajet perlu dibuat sebelum laporan dibentang kepada Ahli Majlis RIM untuk diluluskan.

"Kami sedang membuat perkiraan kos diperlukan untuk menilai karya yang tidak dicalonkan sepanjang tempoh empat tahun Anugerah Industri Muzik (AIM) tidak dianjurkan.

"Walaupun kita tidak menganjurkan acara anugerah, namun ada bajet yang perlu disediakan seperti kos penjurian, trofi, lantikan juruaudit dan urusan pentadbiran.

"Selepas kita dapat bajet diperlukan, barulah dibentang kepada Ahli Majlis RIM untuk mendapat kelulusan.

"Ini akan mengambil masa sebulan sebelum kata sepakat yang dicapai dalam mesyuarat, diumumkan kepada penggiat seni," katanya kepada BH Online.

Usai AIM 23, RIM membuat pengumuman akan menilai lagu dihasilkan antara 2017 hingga 2020 bagi memenuhi desakan penggiat industri muzik yang tidak berpuas hati dengan syarat ditetapkan RIM.

Edisi ke-23 acara anugerah itu yang berlangsung 11 September lalu, menetapkan produk muzik yang layak dipertandingkan adalah karya dihasilkan pada 1 Januari 2021 hingga 30 Jun lalu.

Berikutan itu, banyak produk yang dicipta sejak 2017 hingga 2020, iaitu sepanjang tempoh di mana AIM tidak dianjurkan, tidak diadili biarpun banyak karya bermutu tinggi dihasilkan penggiat muzik.

Nasib karya terbabit diperdebat dan mencetus polemik dalam kalangan penggiat muzik hingga ada yang meluahkan rasa tidak puas hati secara terbuka seperti penyanyi, Haqiem Rusli yang mempertikai lagu Mimpi tercicir daripada senarai pencalonan AIM 23.

Mengulas mekanisme yang akan digunakan RIM untuk proses penjurian lagu dihasilkan antara 2017 dan 2020, Rosmin berkata, kaedah sedia ada dikekalkan.

Tambahnya, RIM akan menjadikan senarai pencalonan AIM 22, enam tahun lalu sebagai contoh.

"Proses penjurian masih sama cuma bezanya, kita tidak anjurkan acara anugerah besar-besaran. Kita juga akan menggunakan senarai pencalonan AIM 22, sebelum penganjurannya dihentikan sebagai rujukan.

"Bagaimanapun kita akan lihat dari segi kelayakan lagu dipertandingkan. Jika ada kategori kurang mendapat pencalonan hingga hendak mendapatkan calon Top 5 sukar, tidak mustahil kategori terbabit digugurkan.

"Apapun, semua itu hanya dapat dipastikan selepas kita menerima pencalonan kelak," katanya.

Rosmin berkongsi, RIM sedang membuat perkiraan kos diperlukan bagi menilai karya tidak dicalonkan sepanjang tempoh empat tahun AIM tidak dianjurkan.
Rosmin berkongsi, RIM sedang membuat perkiraan kos diperlukan bagi menilai karya tidak dicalonkan sepanjang tempoh empat tahun AIM tidak dianjurkan.

Mengenai rumusan RIM terhadap penganjuran AIM 23, Rosmin berkata, post-mortem hanya dapat dilakukan selepas pihaknya mendapat 'rating' atau jumlah penonton yang menyaksikan acara anugerah berkenaan.

"Buat masa ini, kami belum dapat buat post-mortem kerana masih menunggu laporan 'rating' daripada stesen penyiar rasmi, Astro. Hanya selepas kita mendapat jumlah penonton, barulah kita akan buat penilaian mengenai penganjuran acara itu secara keseluruhan.

"Namun, secara dasarnya, ramai yang berpuas hati termasuk Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa dan wakil kementerian. Mereka memberi maklum balas yang sangat baik dari segi nilai hiburan dan persembahan disajikan. Saya melihat perkara itu sebagai sesuatu yang positif," katanya.

Sebelum ini, edisi ke-23 AIM dilaporkan dicemari kontroversi sejurus keputusan bagi kategori Album Terbaik diumumkan penyampai trofi 'meastro' muzik, Datuk M Nasir dan Ziana Zain pada segmen akhir acara anugerah itu.

Sebaik album Yonny (Deluxe Version) milik penyanyi hip hop, Yonnyboii diumumkan mengungguli kategori Album Terbaik, kata-kata negatif mula didengari berikutan bingkisan itu tidak menang dalam mana-mana kategori utama lain.

Malah, album berkenaan hanya 'sangkut' dalam satu lagi kategori, iaitu Rakaman Album Terbaik yang dimenangi album Belagu dihasilkan Dayang Nurfaizah.

Menyemak rekod kejayaan pemenang kategori Album Terbaik pada AIM lalu, lazimnya produk dihasilkan dipilih mengungguli kategori utama lain seperti Rakaman Album Terbaik, Lagu Terbaik atau Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu.

Inilah yang dilihat melalui rekod dicipta Datuk Seri Siti Nurhaliza apabila album Dato' Siti Nurhaliza Unplugged diangkat pemenang Album Terbaik, Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu dan Susunan Muzik Terbaik pada AIM 22 yang dianjurkan pada 2016.

Malah, pada AIM 21, album Fragmen yang dinobatkan Album Terbaik turut menjulang trofi Persembahan Vokal Terbaik Wanita.

Justeru, apabila juri AIM 23 memilih album Yonny (Deluxe Version) milik Yonnyboii yang tidak memenangi sebarang kategori utama, ramai tertanya-tanya apa kelebihan karya itu hingga mendapat pengiktirafan sebegitu.

AIM 23 dilaporkan menerima 650 pencalonan, namun hanya 105 calon disenarai pendek bagi 21 kategori dipertandingkan.

Penyanyi Ernie Zakri dan Syamel mencatat kejayaan manis apabila lagu Goodbye Hello dendangan mereka memenangi kategori Lagu Pop Terbaik dan Lagu Terbaik yang menawarkan ganjaran RM50,000.

Ernie turut meraih trofi kategori Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Wanita) menerusi lagu Sinar Mata Hati, manakala Arddley Nicholas menjulang trofi kategori Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Lelaki) dengan Lagu Pilu.

Berita Harian X