KUALA LUMPUR: "Saya lega semua bebanan dipikul sudah berakhir."
Demikian reaksi Ratu Irama Malaysia, Noraniza Idris yang dihambat kontroversi pembatalan konsert mega dan kekecohan timbul berkaitan pelantikan dirinya sebagai penyelaras tawaran perumahan untuk penggiat seni oleh sebuah syarikat, baru-baru ini.
Noraniza atau lebih mesra disapa Kak Ani berkata, pelbagai isu timbul berkaitan Konsert Malai Solo dan dakwaan penipuan dalam tawaran rumah mengganggu emosinya.
"Jujurnya, hasrat menangguhkan konsert sudah berlegar-legar dalam fikiran, sejak sebulan lalu.
"Selepas pelancaran konsert dibuat, ada banyak isu berbangkit termasuk isu penajaan dan dakwaan penipuan menyebabkan saya pening kepala memikirkannya.
"Bagaimanapun, segala-galanya akan dijelaskan secara terperinci oleh peguam dan pihak pengurusan, Mind Order Sdn Bhd pada sidang media malam ini," katanya kepada BH Online.
Mengikut perancangan, Konsert Malai Solo bakal berlangsung di Istana Budaya (IB) selama tiga hari mulai 21 Oktober depan.
Biarpun belum mendapat tarikh baharu, Noraniza yang juga Pengurus Projek Noraniza Idris Production Ventures Sdn Bhd berkata, Konsert Malai Solo tetap diadakan sebelum akhir tahun ini.
"Cuma, skala konsert akan jadi lebih kecil dan lokasi juga berubah.
"Harga tiket mahal sebelum ini disebabkan saya mahu menyajikan persembahan tradisi pelbagai kaum dan diadakan di lokasi berprestij.
"Apabila anjurkan konsert diadakan kapasiti sederhana, harga tiket mungkin tidak semahal sebelum ini," ujarnya.
Biarpun sedih dengan apa yang berlaku, namun. Noraniza reda dan percaya apa yang berlaku ada hikmahnya.
"Siapa tak sedih dengan apa yang berlaku. Tetapi, saya yakin, mungkin Tuhan mahu berikan perkara lebih baik," katanya.
Terdahulu, penyanyi Awallah Dondang ini menjelaskan, Konsert Malai Solo terpaksa ditunda atas sebab kemungkinan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan pengarah muzik iaitu Datuk Ramli MS terikat dengan komitmen lain.
Ini adalah kali kedua Konsert Malai Solo terpaksa ditunda selepas kali pertama pada September 2020 berikutan penularan COVID-19.
Baru-baru ini, aktivis wanita, Mona Din mengadakan sidang media menggesa pihak berkuasa menyiasat tindakan sebuah syarikat menawarkan kediaman bernilai sehingga RM500,000 secara percuma kepada penggiat seni, sama ada ia benar-benar tawaran tulen atau ada unsur penipuan.
Mona dilaporkan berkata, syarikat berkenaan turut melantik dua artis wanita veteran, masing-masing penyanyi dan pelakon bagi menyelaras tawaran 1,000 unit kediaman kepada artis veteran dan kru belakang tabir terpilih.