Isnin, 26 September 2022 | 4:29pm
Man Kidal tidak berkompromi soal kualiti sebagai kumpulan legenda yang mempunyai pengikut zaman berzaman. - NSTP/Aziah Azmee
Man Kidal tidak berkompromi soal kualiti sebagai kumpulan legenda yang mempunyai pengikut zaman berzaman. - NSTP/Aziah Azmee

Man Kidal 'terduduk' RM400,000 melayang

KUALA LUMPUR: Ketika meraikan ulang tahun ke-40, dua tahun lalu, kumpulan legenda, Lefthanded melancarkan penganjuran konsert berskala mega, Ultimate Experience Projek G.I.L.A membabitkan 10 lokasi di seluruh negara.

Projek G.I.L.A adalah singkatan kepada Gerakkan Ilmu Laksana Agendamu dicetuskan oleh pemain gitar, Man Kidal, 58, sejak tujuh tahun lalu.

Bagaimanapun, pada saat sedang sibuk membuat persiapan, tiba-tiba kerajaan kembali melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan pandemik COVID-19 untuk fasa kedua menyebabkan segala perancangan kumpulan tersohor itu berkecai di pertengahan jalan.

Masih menaruh harapan untuk konsert diteruskan, Man Kidal berkata, enggan terburu-buru menganjurkannya kerana mahu memastikan persiapan berjalan lancar dan sempurna sebelum pengumuman dibuat.

"Mengikut perancangan, Konsert Ultimate Experience Projek G.I.L.A tertangguh akan diteruskan, tahun depan. Sebelum projek ini berjalan, kami akan memastikan persiapan dibuat dengan lebih terperinci.

"Jika konsert sebelum ini, kami sanggup menyewa Panggung Asia, Gombak dijadikan lokasi latihan, mungkin untuk konsert akan datang menyewa 'ballroom' hotel untuk tujuan sama.

"Tak dinafikan, ia akan menelan belanja sangat besar, tetapi apabila berlatih di lokasi seperti ini, ia secara tidak langsung persiapan semua aspek seperti sistem bunyi dan penata cahaya dapat diteliti.

"Jika latihan di studio, kami tak boleh dapatkan rasa dan suasana seperti konsert. Zaman sekarang, kita kena tunjuk kehebatan, barulah orang yakin mahu keluarkan duit bagi menyaksikan konsert," katanya kepada BH Online.

Lefthanded merancang menganjurkan konsert berskala mega, Ultimate Experience Projek G.I.L.A membabitkan 10 lokasi di seluruh negara, namun, tertangguh disebabkan pandemik COVID-19.
Lefthanded merancang menganjurkan konsert berskala mega, Ultimate Experience Projek G.I.L.A membabitkan 10 lokasi di seluruh negara, namun, tertangguh disebabkan pandemik COVID-19.

Berkongsi penganjuran konsert ditunda itu, Man Kidal atau nama sebenarnya, Abdul Rahman Mahmood berkata, meskipun menanggung kerugian sebanyak RM400,000, namun ia tidak sesekali mematahkan semangat untuk menggunakan formula yang sama demi memuaskan hati penonton.

"Terduduk juga bila mengenangkan kos RM400,00 terbang begitu sahaja. Dengan duit sebanyak itu saya sudah boleh beli rumah. Tetapi, apabila fikirkan soal kepuasan, kita tidak boleh berkompromi dengan soal kualiti sebagai band yang mempunyai pengikut tersendiri.

"Mungkin disebabkan ada yang nampak kesungguhan Lefthanded, jadi, setakat ini ada tiga penganjur berminat untuk menganjurkan konsert kami.

"Namun, kami minta penganjur tunggu dahulu kerana persiapan perlu mengambil masa lama untuk tampil dengan konsert.

"Kami merancang mengundang media massa dan elektronik ketika sesi latihan dijalankan.

"Ini kerana saya mahu kita semua dapat melihat kualiti sama yang akan ditonjolkan dalam konsert ini," katanya.

Terdahulu, pemain gitar tersohor itu ditemui pada majlis pelancaran single Sentuhan Kidal yang menyaksikannya bergandingan dengan penggesek biola remaja, Rania Imtiaz, baru-baru ini.

Single Sentuhan Kidal menyaksikan Man Kidal bergandingan dengan penggesek biola remaja, Rania Imtiaz. - NSTP/Aziah Azmee
Single Sentuhan Kidal menyaksikan Man Kidal bergandingan dengan penggesek biola remaja, Rania Imtiaz. - NSTP/Aziah Azmee

Mengulas pembabitan dalam album, Man mengakui cukup mengagumi bakat remaja berusia 14 tahun.

"Kami bertemu dalam satu majlis, setahun lalu. Bapanya menemui saya dan melahirkan hasrat untuk menggandingkan Rania dengan saya dalam lagu.

"Melihat bakat semula jadi yang ada pada Rania, saya terus bersetuju. Lagipun, tidak mudah melihat remaja seusianya meminati genre tradisional.

"Justeru, apabila ada cadangan menyatukan muzik gitar dan biola dalam lagu berkonsepkan tradisional, ia tidak seharusnya dilepaskan.

"Projek ini bukanlah terhenti setakat ini kerana akan menyusul projek lain," ujarnya.

Berita Harian X