Sabtu, 24 September 2022 | 5:00pm
Raf dan Mawar bakal menimang cahaya mata ketiga, Februari depan. Foto IG Mawar Rashid
Raf dan Mawar bakal menimang cahaya mata ketiga, Februari depan. Foto IG Mawar Rashid

Alahan teruk, Mawar berkurung dalam bilik sebulan

KUALA LUMPUR: Hamil anak ketiga, pelakon, Mawar Rashid, 27, berkurung dalam bilik lebih sebulan gara-gara alahan teruk.

Mawar atau nama sebenar, Wan Mawar Shahputri Wan Abdul Rashid mengaku mengasingkan diri dalam bilik sekembali daripada percutian bersama suami, Raf Yaakob ke Eropah, Jun lalu.

"Selepas pulang dari Eropah, saya berkurung dalam bilik lebih sebulan. Boleh dikatakan sepanjang trimester pertama, alahan saya teruk.

"Dalam tempoh itu, saya tidak keluar bilik langsung. Saya tak boleh makan, minum dan bau banyak benda.

Mawar dan Raf mendirikan rumah tangga pada 9 November 2017. Foto IG Mawar Rashid
Mawar dan Raf mendirikan rumah tangga pada 9 November 2017. Foto IG Mawar Rashid

"Kalau terbau, saya boleh pengsan. Jadi, saya duduk dalam bilik sahaja kerana bau persekitaran yang saya boleh terima," katanya kepada BH Online.

Menambah ujian, Mawar berkata, dia tidak boleh menggunakan telefon pintar hingga banyak kerja terbengkalai.

"Pasukan saya yang kemas kini laman sosial. Jadi, saya duduk dalam bilik dengar tafsiran al-Quran sahaja.

"Mujur ketika berada di Eropah, saya masih boleh berjalan, bergambar, bersolek dan sebagainya.

"Namun, hari kedua setibanya di Malaysia, saya mula mual. Ketika itu, saya tidak mahu 'layan' sangat," katanya.

Berikutan alahan, Mawar terpaksa menolak tawaran lakonan dan menunda beberapa komitmen kerja.

"Saya terima beberapa tawaran membintangi telefilem. Namun, saya tolak.

"Kalau berlakon, saya tak boleh menjiwai watak. Ada juga tawaran menjayakan kempen produk, namun, saya tunda hingga sihat.

"Namun, Alhamdulillah, saya sudah bertambah baik. Namun, perut sudah besar. Jadi, sukar hendak penuhi tuntutan watak.

"Jadi, kena tunggu habis pantang, barulah saya boleh kembali berlakon," katanya.

Mawar berkata, kandungannya sudah mencecah lima bulan dan dijangka bersalin, Februari, tahun depan.

"Saya dapat tahu hamil beberapa hari sebelum berangkat ke Eropah.

"Saya bersyukur ada rezeki Allah beri sebab anak-anak ini rezeki. Mereka mengikat kasih sayang antara suami isteri," katanya.

Mawar berkongsi berita mengenai kehamilannya menerusi Instagram (IG). Dia turut membuat kejutan kepada suami mengenai kehamilan ketika bercuti di Paris, Jun lalu.

Menerusi video itu, Mawar yang tidak dapat menahan sebak dilihat menyerahkan kit ujian kehamilan kepada Raf di depan Menara Eiffel.

Mawar dan Raf mendirikan rumah tangga pada 9 November 2017. Mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Raden Muhammad, berusia tiga tahun dan Raden Seri Rosabella Cinta yang berusia setahun.

Berita Harian X