Rabu, 14 September 2022 | 3:00pm
 Ernie dan Syamel mencatat kejayaan manis apabila lagu Goodbye Hello memenangi kategori Lagu Pop Terbaik dan Lagu Terbaik yang menawarkan ganjaran RM50,000.
Ernie dan Syamel mencatat kejayaan manis apabila lagu Goodbye Hello memenangi kategori Lagu Pop Terbaik dan Lagu Terbaik yang menawarkan ganjaran RM50,000.

RIM nilai semula karya 2017 hingga 2020

KUALA LUMPUR: Selepas Anugerah Industri Muzik (AIM) Ke-23 melabuhkan tirainya, Ahad lalu, Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) membawa berita gembira kepada penggiat seni yang tidak dapat mencalonkan karya masing-masing pada acara anugerah berprestij itu.

Pengerusi RIM, Rosmin Hashim, berkata RIM bersetuju membuat penjurian semula terhadap semua lagu yang tidak dicalonkan bermula 2017 hingga 2020.

"Perkara ini sudah dibincangkan bersama semua ahli RIM dan pemegang taruh. Secara dasarnya, mereka bersetuju dengan cadangan itu," katanya ketika ditemui selepas AIM 23 berakhir, Ahad lalu.

Sebelum ini, sebagai syarat penyertaan AIM 23, RIM menetapkan produk muzik hendaklah dihasilkan dalam 1 Januari 2021 hingga 30 Jun lalu.

Berikutan itu, banyak produk yang dihasilkan sejak 2017 hingga 2020, iaitu tempoh di mana AIM tidak dianjurkan, terbiar dan tidak diadili biarpun banyak karya dihasilkan bermutu tinggi.

AIM 23 dilaporkan menerima 650 pencalonan, namun, hanya 105 calon disenarai pendek bagi 21 kategori dipertandingkan.

Pada malam kemuncak AIM 23, artis hip hop, Yonnyboii mengungguli kategori Album Terbaik menerusi album Yonny (Deluxe Version) pada acara yang disiarkan secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shah Alam.

Rosmin berkongsi RIM bersetuju membuat penjurian semula terhadap semua lagu yang tidak dicalonkan bermula 2017 hingga 2020.
Rosmin berkongsi RIM bersetuju membuat penjurian semula terhadap semua lagu yang tidak dicalonkan bermula 2017 hingga 2020.

Kemenangan itu melayakkan Yonnyboii membawa pulang Dana Kandungan Digital (DKD) Muzik bernilai RM200,000 daripada Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) sebagai insentif kepada penggiat industri kreatif.

Penyanyi Ernie Zakri dan Syamel pula mencatat kejayaan manis apabila lagu Goodbye Hello dendangan mereka memenangi kategori Lagu Pop Terbaik dan Lagu Terbaik yang menawarkan ganjaran RM50,000.

Ernie turut meraih trofi kategori Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Wanita) menerusi lagu Sinar Mata Hati, manakala Arddley Nicholas menjulang trofi kategori Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Lelaki) dengan Lagu Pilu.

Rosmin berkata, RIM merancang memberi anugerah kepada pemenang selepas penilaian dibuat terhadap produk muzik dihasilkan dari 2017 hingga 2020.

"Kita akan nilai dan beri anugerah kepada pemenang. Bezanya, kita tidak anjurkan acara anugerah seperti malam ini (Ahad lalu).

"Namun, RIM akan umumkan pengiktirafan diberi," katanya yang akan membuat pengumuman terperinci mengenai perkara itu.

Berita Harian X