Jumaat, 19 Ogos 2022 | 3:00pm
Abot mahu memupuk semangat patriotisme dalam kalangan pelajar IPTA dan IPTS kerana mereka adalah pelapis dan bakal menjadi pemimpin, suatu hari nanti.
Abot mahu memupuk semangat patriotisme dalam kalangan pelajar IPTA dan IPTS kerana mereka adalah pelapis dan bakal menjadi pemimpin, suatu hari nanti.

Abot, tokoh penyair sertai siri jelajah Hari Kebangsaan

KUALA LUMPUR: Demi memperkasakan bahasa dan memartabatkan dendangan syair yang kian dilupakan generasi muda, Persatuan Penyair Malaysia (PENYAIR) menganjurkan Program Jelajah Puisi Keluarga Malaysia 2022 sempena Hari Kebangsaan Ke-65.

Program bermula bulan ini dan dijangka berakhir, Disember depan, menjelajah lima institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta terpilih.

Apa yang menariknya, kembara itu disertai tokoh hebat dunia syair dan sastera.

Mereka adalah Sasterawan Negara, Datuk Prof Rahman Shaari; Prof Madya Ts Dr Jessica Ong Hai Liaw; Kamarulzaman Yacob atau Bung Zaman dan Dr Raja Rajeswari Settha Raman.

Turut serta Ahmad Ramli; Razali Mohd Yussof; Aya Rohaiya dan penyanyi alternatif, Abot.

Abot atau nama sebenar, Norimah Muhammad berkata, objektif Program Jelajah Puisi Keluarga Malaysia 2022 adalah untuk memperkasakan bahasa.

"Apa yang lebih penting, kami membawa mandat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk memupuk semangat perpaduan.

"Jadi, pada siri jelajah ini, kami tampilkan penyair berbilang bangsa.

"Selain itu, kami mahu memupuk semangat patriotisme dalam kalangan pelajar IPTA dan IPTS kerana mereka adalah pelapis dan bakal menjadi pemimpin suatu hari nanti," katanya kepada HIP.

Siri jelajah pertama berlangsung di Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 8 Ogos lalu, diikuti Universiti Malaysia Perlis (UniMap) pada 13 Ogos lalu.

Barisan penyair yang terbabit dalam Program Jelajah Puisi Keluarga Malaysia 2022.
Barisan penyair yang terbabit dalam Program Jelajah Puisi Keluarga Malaysia 2022.

Esok, kumpulan delegasi bertandang di Universiti Malaysia Sarawak (UniMAS).

Malam kemuncak dianjurkan di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur pada 26 Ogos ini, dengan Perdana Menteri dijangka hadir dan mendendangkan syair pada acara berkenaan.

Siri jelajah kemudian diteruskan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 14 September depan.

Abot berkata, dia mempersembahkan dua lagu syair hasil karya Prof Rahman berjudul Dalam Kelas Sejarah dan Halaman Merdeka pada siri jelajah itu.

Baginya, mendendangkan syair tidak semudah menyanyikan lagu. Ini kerana perlu melagukan syair berkenaan mengikut emosi daripada lirik.

Bukan itu sahaja, Abot perlu meminta izin dan persetujuan Prof Rahman berhubung melodi yang ingin dibawakan.

"Kita bukan menyanyi untuk seronok atau sedap, sebaliknya lagu itu melambangkan intelektual dan kepimpinan.

"Matlamat kami murni agar generasi baharu tidak terlampau fokus kepada alam maya. Sebaliknya, kita ingin memperkasakan semula kesenian bahasa dalam membentuk minda positif..

"Kami berharap usaha ini dapat mengetuk fikiran anak muda untuk menjiwai syair yang didendangkan. Kami juga berharap dapat melahirkan pemikir berkualiti dan ada nilai kepimpinan," katanya.

Selain PENYAIR, Program Jelajah Puisi Keluarga Malaysia 2022 turut mendapat kerjasama Institut Kepimpinan Kamarazaman (IKK) serta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Berita Harian X