KUALA LUMPUR: Genap setahun pemergian Allahyarham Siti Sarah Raissuddin, bapa penyanyi kesayangan ramai itu, Raissuddin Hamzah, 66, terasa seolah baru semalam puteri hatinya itu dijemput Ilahi.
Namun, jauh di sudut hati, Raissuddin reda satu-satunya zuriat perempuannya sudah tiada.
"Saya tidak rasa sudah setahun Sarah pergi. Sebaliknya terasa macam baru minggu lalu dia meninggalkan kami sekeluarga.
"Malah, saya masih merasakan Sarah masih duduk bersama saya.
"Setiap hari saya teringat kepadanya. Kadang kala apabila teringat, mulalah sedih hingga bergenang air mata. Tetapi saya cakap kepada diri sendiri, saya harus balik kepada realiti.
"Sarah sudah tiada, saya kena reda. Semua ini ketentuan Allah, kita tidak boleh buat apa-apa," katanya ditemui pada majlis tahlil genap setahun pemergian Allahyarham Siti Sarah di Puchong, malam kelmarin.
Allahyarham Siti Sarah menghembuskan nafas terakhir di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Kuala Lumpur pada 9 Ogos tahun lalu, iaitu selepas tiga hari melahirkan anak bongsu.
Allahyarham Siti Sarah dimasukkan ke hospital selepas disahkan positif COVID-19 dengan paras oksigen menurun.
Mengimbau kenangan setahun lalu, Raissudin mengaku terkilan kerana tidak menyangka ketika anaknya dibawa ke hospital menjadi detik terakhir dia bertemu puterinya itu.
Lebih terkilan, Raissuddin tidak dapat mengiringi perjalanan terakhir arwah Siti Sarah kerana ketika itu, dia dalam kuarantin.
"Ketika itu, kami dijangkiti COVID-19, arwah sentiasa risaukan keadaan saya. Setiap hari dia tanya, abah okay ke? Oksigen okay ke? Sarah risau kerana warga emas yang dijangkiti virus itu biasanya jarang bertahan.
"Tetapi rupa-rupanya, bukan saya yang pergi, sebaliknya dia. Saya agak terkilan sedikit kerana arwah keluar dan tidak balik-balik lagi. Sedangkan ketika dibawa pergi, arwah nampak okay.
"Selepas habis kuarantin, saya terus pergi ke kuburnya untuk menziarah. Sekarang, selepas setahun Sarah pergi, jika seminggu tidak melawatnya, rasa lain," katanya.
Raissuddin mendedahkan dia tidak menyangka gurauan Sit Sarah suatu ketika dahulu dia akan pergi, rupa-rupanya jadi kenyataan.
"Dahulu, Sarah pernah bertanya kepada saya, abah kalau Siti mati, abah datang tak kubur Siti hari-hari? Saya cakap pada dia jangan merepek, kerana saya yakin akan pergi dahulu.
"Tidak disangka, rupa-rupanya apa yang dinyatakan jadi kenyataan. Mujur ada anak-anak arwah yang menjadi pengubat rindu, lebih lagi, anak sulungnya Uwais yang memang memiliki banyak persamaan dengan Sarah," katanya.
Sementara itu, Raissuddin tidak menghalang menantunya, Shuib mencari mencari pengganti, malah, sanggup meminangkan wanita pilihannya.
"Insan yang pergi tetap pergi, yang masih hidup perlu meneruskan hidup. Hidup tidak harus bersedih sepanjang masa, sebaliknya kita berhak untuk berasa gembira.
"Macam Shuib, dia mesti perlukan teman, begitu juga dengan anak-anaknya.
"Saya pernah beritahu jangan risau kerana saya tidak akan halang apa pun keputusan dia. Sekiranya dia ada calon, teruskan… Saya hanya mahukan yang terbaik untuk dia dan anak-anak.
"Jika dia mahu saya tolong pinangkan, saya sanggup kerana saya tidak pernah menganggap Shuib sebagai menantu, sebaliknya, seperti anak sendiri," katanya.
Sementara itu, Shuib atau nama sebenar, Shahmira Muhamad tidak terasa sudah setahun isteri meninggalkan dirinya dan anak-anak.
Sebaliknya, Shuib menganggap seolah-olah isterinya bekerja dan bercuti tetapi tidak pulang.
Bagaimanapun, Shuib bersyukur keempat-empat anaknya sangat kuat dan tabah lantas menjadikan dirinya sama bertahan.
"Saya semakin berlapang dada, sebelum ini, saya banyak menangis. Tidak tahu bagaimana hendak saya gambarkan bila datangnya rasa sayu itu. Ada kalanya saya menangis seperti anak kecil.
"Saya juga bersyukur kerana anak-anak sangat kuat. Mereka boleh bercakap seperti biasa mengenai ibu mereka. Apabila Allah memberikan kekuatan itu kepada mereka, ringanlah sedikit bebanan yang saya tanggung.
"Sekiranya mereka tidak kuat, tentunya saya akan menjadi lebih tidak kuat lagi," katanya.
Hasil perkahwinan mereka, pasangan itu dikurniakan empat cahaya mata iaitu Uwais Alqarmi, 11; Dzahira Talita Zahra, 8; Ariq Matin, 6, dan Ayash Affan, 1.