Selasa, 9 Ogos 2022 | 6:14pm

Elyana tidak lagi berhijab

KUALA LUMPUR: Akhirnya, teka-teki terjawab apabila penyanyi Kalis Rindu, Elyana, 35, tidak lagi memakai hijab ketika muncul dalam program Semarak Uniti Keluarga Malaysia anjuran Kementerian Perpaduan Negara (KPN) di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2022, petang ini.

Tiga hari lalu, Elyana mencetuskan tanda tanya apabila memuat naik gambar tidak berhijab dalam laman Instagram (IG).

Bagaimanapun, Elyana atau nama sebenarnya, Erneelya Elyana Emrizal berkata, dia lebih selesa untuk tidak mengulas lanjut berhubung soal hijab.

"Saya mengambil keputusan tidak menjelaskan apa-apa kerana mereka tak menginginkan penjelasan. Bila saya menjelaskannya, macam-macam versi cerita tidak masuk akal akan keluar.

"Jadi, demi menjaga jiwa dan persekitaran, saya ambil keputusan tidak menerangkan apa-apa kepada mereka yang tidak mahu memahami saya.

"Ini adalah proses kehidupan. Cuma, apa yang saya boleh katakan, saya impikan kehidupan lebih baik, setiap hari," katanya kepada BH Online.

Tambah Elyana, dia juga memilih tidak menghiraukan pandangan dan pendapat orang ramai.

"Dahulu, saya sangat mementingkan jiwa dan hati orang. Sekarang, saya akan melakukan apa yang saya rasa terfikir nak buat. Baik buruk biarlah saya sendiri yang menanggungnya.

"Jika boleh terima, Alhamdulillah. Kalau tak boleh terima, tak mengapa kerana saya tidak ada apa-apa masalah, tetapi, inilah diri saya," katanya.

Elyana berkata, dia tetap berterima kasih untuk mereka yang mendoakannya selama ini.

"Jika masih ada yang mendoakan, saya berharap doa itu berbalik pada anda.

"Kalau rasa doa tidak layak untuk saya, namun, saya tetap berdoa agar urusan anda dipermudahkan Allah. Biarpun sekali pun anda tidak rasa apa yang saya lalui. Saya doakan yang baik-baik untuk semua," katanya.

Elyana muncul dalam program Semarak Uniti Keluarga Malaysia anjuran Kementerian Perpaduan Negara di MAHA 2022, petang ini. - NSTP/Aziah Azmee
Elyana muncul dalam program Semarak Uniti Keluarga Malaysia anjuran Kementerian Perpaduan Negara di MAHA 2022, petang ini. - NSTP/Aziah Azmee

Mengulas adakah akan meneruskan menggunakan media sosial sebagai platform membuat perkongsian, Elyana berkata, dia tiada pilihan melainkan menggunakan media sosial sebagai medium.

"Kalau saya bukan dalam industri hiburan, mungkin saya ada pilihan untuk tidak menggunakan sosial media. Itu mungkin cara yang terbaik buat saya.

"Contohnya, saya bekerja sebagai suri rumah tangga, jadi tidak memerlukan media sosial. Ia lebih membahagiakan, tetapi sekarang zaman media sosial.

"Jadi, mungkin saya akan letak sempadan seperti menutup komen, namun, ia bukan bermaksud saya takut. Cuma, netizen senang sangat untuk melontarkan kata-kata.

"Saya sebenarnya suka berkawan dengan peminat, contohnya apabila ada yang nak bergambar.

"Sebab saya ia adalah tanda kasih sayang saya pada peminat. Namun, ada kala kebaikan tidak dibalas dengan kebaikan. Jadi saya akan letak sempadan," katanya.

Kata Elyana, buat masa ini, dia mahu fokus pada diri sendiri dan keluarga yang sentiasa ada saat susah dan senangnya.

"Fokus menjaga jiwa saya. Jiwa saya sangat rosak, tetapi saya tidak mahu menyalahkan siapa sebab saya juga manusia biasa, Saya tak nak menangis, nanti ada yang mengatakan saya minta simpati.

"Jadi, lebih baik saya fokus pada jiwa dan keluarga. Bagaimanapun, saya tetap akan berbuat baik dengan orang ramai," katanya.

Terdahulu, Elyana memuat naik gambar tidak berhijab, namun, tidak menulis sebarang keterangan pada gambar dan menutup ruangan komen.

Tindakan wanita kelahiran Shah Alam, Selangor itu menjadi bualan hangat dalam media sosial selepas mengumumkan dirinya bebas kanser limforma pada penghujung, tahun lalu selepas 12 tahun menanggung derita.

Elyana kali pertama membuat pendedahan mengenai kanser limfoma tahap empat dihidapinya selepas tersingkir pada minggu kelima program realiti, Gegar Vaganza musim keempat (GV4) pada 2017.

Dalam perkembangan lain, Elyana berkata, dia masih menjalani rawatan kemoterapi.

"Rawatan kemoterapi masih belum selesai. Apabila sudah selesai barulah saya fikir rawatan lain," katanya yang juga pernah ke Indonesia untuk menerima rawatan.

Elyana mendirikan rumah tangga dengan Khairul Anuar Husin pada 2010 dan dikurniakan anak perempuan, Cinta Sumayyah, 10, dan anak angkat, Cahaya Ramadhani yang kini berusia dua tahun.

Elyana enggan mengulas isu tidak berhijab kerana pelbagai versi cerita tidak masuk akal akan menyusul selepas membuat penjelasan. - NSTP/Aziah Azmee
Elyana enggan mengulas isu tidak berhijab kerana pelbagai versi cerita tidak masuk akal akan menyusul selepas membuat penjelasan. - NSTP/Aziah Azmee
Berita Harian X