Sabtu, 6 Ogos 2022 | 10:30am
Salah satu foto Mizz Nina dan Baby Musa yang dimuat naik di Instagram (IG). Foto IG Mizz Nina
Salah satu foto Mizz Nina dan Baby Musa yang dimuat naik di Instagram (IG). Foto IG Mizz Nina

'Dalam ujian ada kemudahan'

KUALA LUMPUR: Mizz Nina menyentuh soal ujian hidup dalam hantaran terbaharu di Instagram (IG), kira-kira tiga jam lalu, bagai memberi gambaran situasi dialami selepas mengumumkan perceraian dengan bekas suami, Noh Salleh.

Melalui entri yang dipetik semula daripada akaun IG Qalby App Indonesia, Mizz Nina berkongsi petikan surah al Sharh ayat kelima yang bermaksud:

"Maka bahawa sesungguhnya setiap kesulitan itu disertai kemudahan."

Usahawan dan aktivis kemanusiaan itu juga meletakkan keterangan gambar berbunyi:

"Ujian kadang membuat kita putus asa akan suatu hal, dan kadang justeru membuat kita bangkit dari kegagalan dan keterpurukan (kemerosotan).

"Yang terpenting adalah bagaimana kita menyikapi hal tersebut. Jangan lupa membabitkan Allah dan ingat sama dalil ini ya #TemanQalby semua.

Mizz Nina berkongsi petikan surah al Sharh ayat kelima pada entri terbaharu di Instagram (IG). Foto IG Mizz Nina
Mizz Nina berkongsi petikan surah al Sharh ayat kelima pada entri terbaharu di Instagram (IG). Foto IG Mizz Nina

"Karena setelah ujian yang menimpa kita, di situlah akan muncul kemudahan untuk kita."

Entri itu meraih lebih 14,000 tanda suka dan lebih 200 komen. Mizz Nina mempunyai sejuta pengikut IG.

Pada akhir 2020, Mizz Nina melancarkan aplikasi mudah alih berkonsepkan gaya hidup Muslim yang diberi nama Qalby App.

Khamis lalu, Noh, 37, dan Mizz Nina, 42, mengumumkan perceraian mereka melalui Instagram (IG), masing-masing.

Kenyataan lima perenggan yang dikongsi secara serentak, mengesahkan rumah tangga dibina sejak 11 tahun lalu, akhirnya, runtuh.

Sebelum pengumuman rasmi dibuat Noh dan Mizz Nina, pasangan ini dilaporkan bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Gombak Timur, Selangor, Rabu lalu.

Difahamkan, perceraian pasangan itu adalah di bawah kod kes 055, iaitu permohonan lafaz talak dengan kebenaran mahkamah.

Mengikut laporan Harian Metro, Noh dan Mizz Nina memfailkan perceraian di mahkamah itu pada 14 Jun lalu.

Noh dan Mizz Nina mendirikan rumah tangga pada 2 Julai 2011. Pasangan itu mengambil anak angkat dikenali sebagai Baby Musa, Mac lalu.

Berita Harian X