Khamis, 4 Ogos 2022 | 8:14pm
Noh dan Mizz Nina didakwa bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Gombak Timur, semalam.
Noh dan Mizz Nina didakwa bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Gombak Timur, semalam.

Tunggu kenyataan dalam masa terdekat - pengurus Noh

KUALA LUMPUR: Pengurus kumpulan Hujan, Ariffin Ahmad, 34, memaklumkan akan mengeluarkan kenyataan dalam masa terdekat berhubung pasangan penyanyi, Noh Salleh dan Mizz Nina didakwa bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Gombak Timur, di sini, semalam.

Ariffin berkata, dia tidak boleh mengulas lebih lanjut bagi menghormati privasi rakan baiknya itu.

"Tiada apa yang dapat dikongsikan, buat masa ini. Kami akan mengeluarkan kenyataan dalam masa terdekat, insya-Allah.

"Saya juga akan berbual dengan Noh nanti. Tunggu sahaja berita daripada kami," katanya kepada BH Online.

Memetik laporan Harian Metro, Noh dan Nina memfailkan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Gombak Timur pada 14 Jun lalu.

Difahamkan, perceraian di bawah kod kes 055 iaitu permohonan lafaz talak dengan kebenaran mahkamah.

Sementara itu, Ariffin mendoakan baik-baik buat pasangan berkenaan.

"Saya sentiasa mendoakan terbaik buat abang dan kakak saya," katanya.

Ariffin tidak boleh mengulas lebih lanjut bagi menghormati privasi Noh dan Mizz Nina.
Ariffin tidak boleh mengulas lebih lanjut bagi menghormati privasi Noh dan Mizz Nina.

Sementara itu, cubaan BH Online mendapatkan kenyataan Noh dan Nina tidak berjaya apabila gagal dihubungi.

Terdahulu, Noh yang juga vokalis Hujan menafikan dakwaan keretakan rumah tangga yang bertebaran dalam media sosial pada 13 Julai lalu.

Menyifatkannya sebagai berita palsu, penyanyi berusia 37 itu berkata, ia adalah kali pertama mendengar gosip keretakan rumah tangga sepanjang 11 tahun hidup bersama.

"Entahlah, saya tiada komen, anda semua kena tipu. Saya sendiri baru tahu, tidak sangka ada juga cerita begini.

"Itu berita palsu. Bagi saya, perkara seumpama ini tiada maknanya.

"Kisah peribadi adalah hak saya. Saya mahu menonjolkan karya seni, bukan perkara peribadi," katanya.

Noh dan Nina mendirikan rumah tangga pada 2 Julai 2011. Pasangan itu mengambil anak angkat, Baby Musa pada Mac lalu.

Berita Harian X