Selasa, 2 Ogos 2022 | 1:00pm
Sweet berdebar perkenalkan single pertama, Namo, sekali gus mengetengahkan bakat sebagai penyanyi.
Sweet berdebar perkenalkan single pertama, Namo, sekali gus mengetengahkan bakat sebagai penyanyi.

Sweet cabar diri bergelar penyanyi

KUALA LUMPUR: Memulakan kerjaya seawal usia sembilan tahun, Sweet Qismina, 24, sudah melalui pelbagai fasa dalam perjalanan seni, kini mahu melangkah ke fasa baharu dengan cubaan sebagai penyanyi.

Sweet atau nama sebenarnya, Farhanna Qismina Supandi berkata, impiannya untuk memiliki single tercetus empat tahun lalu, namun belum menemui karya yang betul-betul kena dengan jiwanya.

"Alhamdulillah, selepas perbincangan dengan Warner Music Malaysia, akhirnya saya berjaya memulakan perjalanan merakamkan single pertama, November tahun lalu. Bagaimanapun, proses rakaman hanya selesai, bulan ini.

"Ia tidak ubah seperti satu pengembaraan yang menyeronokkan. Saya bermula sejak kecil sehingga hari ini dengan mencuba pelbagai cabang seni.

"Bidang lakonan sebati dengan jiwa kerana ia cinta pertama saya. Namun, menerusi nyanyian, saya temui kepuasan baru dan tidak sabar memulakan fasa ini.

"Dilamar pula Warner Music Malaysia seakan mimpi, namun, saya anggap ia langkah baru untuk memulakan pengembaraan ini," katanya kepada BH Online.

Sweet muncul single berjudul Namo ciptaan Mas Dewangga, Jova Devito dan Aden King.

Sweet memulakan perjalanan merakamkan single Namo, November tahun lalu, namun, proses rakaman hanya selesai, bulan ini.
Sweet memulakan perjalanan merakamkan single Namo, November tahun lalu, namun, proses rakaman hanya selesai, bulan ini.

Berkongsi lanjut, Sweet berkata, dia gugup tampil dengan single pertamanya itu.

"Berdebar rasanya hendak perkenalkan single pertama. Ia adalah percaturan pertama saya dalam bidang muzik, dahulu saya pernah muncul sebagai penyanyi undangan, kini saya menjadi pemain utama.

"Segala-segalanya baru buat saya. Sewaktu proses rakaman dijalankan, setiap detik meninggalkan kenangan manis yang tidak mampu dilupakan.

"Perasaan berdebar hanya Tuhan sahaja yang tahu. Alhamdulillah, kesemuanya berjalan dengan lancar dan single Namo dapat dihasilkan dengan sempurna," katanya.

Dengan jadual lakonan padat, graduan Ijazah Sarjana Muda dalam jurusan Komunikasi Massa (Perhubungan Awam) di Universiti dan Kolej SEGi, Selangor itu tetap cuba membahagikan masa untuk menceburi bidang nyanyian.

Pemenang trofi Artis Baharu Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) pada 2016 itu berharap, single dan video muzik diterima dengan baik kerana memperlihatkan sisi yang berbeza.

"Dalam video muzik Namo, penonton boleh melihat sisi lain yang tidak pernah ditampilkan.

"Saya cuba tampilkan sesuatu berbeza dan lari daripada perkataan 'Sweet' itu sendiri. Jadi, peminat muzik perlu menonton video muzik Namo.

"Saya tidak harap banyak, cukup tanda sokongan positif peminat kerana saya sendiri masih merangkak dalam bidang nyanyian.

"Namun, saya teruja menerokai bidang muzik dan berharap peminat yang mendengar single Namo akan terhibur dan teruskan menyokong saya," katanya.

Berita Harian X