Isnin, 1 Ogos 2022 | 4:46pm
Zahidi (tengah) bersama Timbalan Ketua Setiausaha, Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif K-KOMM, Mastura Ahmad (kiri) dan Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Data Peribadi, Mazmalek Mohamad (kanan) pada sidang media pencalonan ASA 2022 di Wisma Radio, Angkasapuri, hari ini. - Foto BERNAMA
Zahidi (tengah) bersama Timbalan Ketua Setiausaha, Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif K-KOMM, Mastura Ahmad (kiri) dan Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Data Peribadi, Mazmalek Mohamad (kanan) pada sidang media pencalonan ASA 2022 di Wisma Radio, Angkasapuri, hari ini. - Foto BERNAMA

K-KOMM buka pencalonan Anugerah Seri Angkasa 2022

KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) menganjurkan Anugerah Seri Angkasa (ASA) 2022 bagi merancakkan semula landskap industri kreatif yang terkesan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan akibat pandemik COVID-19.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, keputusan menganjurkan ASA 2022 dipersetujui Jemaah Menteri pada Jumaat lalu dan penganjuran adalah kerjasama strategik antara K-KOMM bersama sektor swasta.

"Pencalonan ASA 2022 dibuka mulai antara 1 Ogos hingga 31 Ogos ini," katanya pada sidang media pencalonan ASA 2022 di Wisma Radio, Angkasapuri, hari ini.

Zahidi berkata, penganjuran ASA 2022 bertemakan 'Kemuncak Kecemerlangan' adalah sempena sambutan Jubli Emas ASA yang mula dianjurkan sejak pada 1972 dan kini memasuki edisi ke-34 dengan tarikh penganjuran majlis dijangka berlangsung pada Oktober ini.

Beliau berkata, stesen penyiaran kerajaan dan swasta dijemput untuk mengemukakan pencalonan secara rasmi menerusi www.anugerahseriangkasa.gov.my dan syarat umum pencalonan ASA 2022 dan kriteria pencalonan bagi setiap kategori turut dimuatkan dalam laman web itu.

Zahidi berkongsi, K-KOMM melantik barisan juri profesional dalam kalangan ahli akademik dan pemain industri yang berkelayakan bagi memastikan ASA 2022 terus dipertandingkan pada masa akan datang. - Foto BERNAMA
Zahidi berkongsi, K-KOMM melantik barisan juri profesional dalam kalangan ahli akademik dan pemain industri yang berkelayakan bagi memastikan ASA 2022 terus dipertandingkan pada masa akan datang. - Foto BERNAMA

Katanya, rancangan dicalonkan mestilah kali pertama disiarkan di saluran televisyen (TV), stesen radio atau platform YouTube rasmi antara 1 Januari 2020 hingga 31 Disember 2021.

Beliau berkata, buat julung kali, ASA 2022 memperkenalkan lima kategori media sosial iaitu drama pendek, sketsa pendek, video klip hiburan, pesanan khidmat masyarakat dan drama bersiri menerusi YouTube rasmi terbaik.

Katanya, secara keseluruhannya sebanyak 72 kategori bakal dipertandingkan menerusi ASA 2022 termasuk 43 kategori televisyen, radio (22), anugerah khas juri (satu) dan tokoh ASA (satu).

Menurutnya, K-KOMM melantik barisan juri profesional dalam kalangan ahli akademik daripada industri kreatif dan pemain industri yang berkelayakan bagi memastikan ASA 2022 terus dipertandingkan pada masa akan datang.

Zahidi berkata, dia menjangkakan pencalonan diterima pada ASA 2022 lebih tinggi berikutan kategori media sosial diperkenalkan sebagai kategori baharu dalam anugerah itu.

Katanya, penganjuran ASA 2022 diharap dapat menggalakkan pihak penyiar dan karyawan industri kreatif untuk menerbitkan rancangan radio dan TV yang lebih kreatif, berkesan dan berkualiti tinggi serta membuka peluang pekerjaan kepada penggiat industri kreatif tempatan untuk berkarya. - BERNAMA

Berita Harian X