KUALA LUMPUR: Aktor Hollywood, Will Smith yang menggemparkan peminat apabila melempang Chris Rock di pentas Oscar yang disiarkan secara langsung ke seluruh dunia, Mac lalu, sekali lagi memohon maaf kepada pelakon dan pelawak itu atas perlakuannya.
Smith menyatakan permohonan maaf itu melalui video diberi judul 'It's been a minute' yang dimuat naik di saluran YouTube rasminya, semalam, yang sudah meraih lebih dua juta tontonan.
Dalam video sepanjang 5.44 minit itu, antara lain Smith mendakwa cuba menghubungi Rock selepas insiden itu, bagaimanapun sehingga kini mereka belum dapat bertemu.
"Saya ada berusaha hubungi Rock. Namun, mesej dan maklum balas yang diterima menyatakan Rock belum bersedia untuk bercakap dengan saya. Bagaimanapun, Rock akan hubungi apabila beliau bersedia nanti.
"Justeru, saya memohon maaf kepada kamu, kelakuan saya amat tidak boleh diterima. Saya sudah bersedia untuk bercakap dengan kamu pada bila-bila masa," katanya melalui video permohonan maaf itu.
Kali pertama, Smith memohon maaf secara terbuka kepada Rock adalah menerusi hantaran di Instagram (IG) pada 29 Mac lalu.
Pada 28 Mac lalu, tindakan Smith melempang Rock di pentas Anugerah Akademi (Oscar) Ke-94, mengejutkan penonton di Dolby Theatre, Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) dan seluruh dunia yang menyaksikan siaran langsung anugerah berprestij itu.
Insiden berlaku ketika Rock yang menjadi penyampai bagi kategori Dokumentari Terbaik, membuat lawak yang kurang disenangi mengenai penampilan isteri Smith, Jada Pinkett Smith yang berimej botak dengan menyamakannya seperti watak G.I Jane lakonan Demi Moore.
Secara tiba-tiba, Smith yang juga calon Oscar, naik ke pentas lalu melempang Rock yang terkejut dan terpinga-pinga dengan aksi pelakon dan penerbit itu.
Sebaik menampar Rock, Smith kembali ke tempat duduk dan menjerit ke arah Rock meminta agar nama isterinya tidak disebut.
"Oooo! Wow! Will Smith bagi saya penampar," kata Rock selepas ditampar Smith.
Menuju ke tempat duduknya, Smith dilihat berjalan sampai memberi amaran kepada Rock supaya tidak mempersenda isterinya.
"Jangan nak sebut-sebut nama isteri aku," katanya.
Smith turut memohon maaf kepada ibu dan keluarga Rock atas insiden itu yang diakuinya tidak sepatutnya terjadi.
"Saya umpama tidak sedar dan tidak berfikir panjang hinggakan menyakiti hati ramai orang.
"Jadi, saya ingin memohon maaf kepada ibu dan seluruh anggota keluarga Rock terutama kepada Tony Rock (abang Rock).
"Saya dan Tony berkawan baik. Apa yang berlaku mungkin tidak boleh diperbaiki," katanya.
Smith turut mengaku trauma apabila memikirkan dia mengecewakan orang lain.
"Saya jadi benci ketika mengecewakan orang sehingga mampu menyakiti hati mereka. Jika kamu (Rock) dapat memaafkan diri ini, saya berjanji kita akan berkawan lagi," katanya.
Sebelum ini, atas perlakuannya, Smith menerima padah apabila penganjur Oscar, Akademi Seni Filem dan Sains mengambil tindakan tegas dengan melarang beliau menyertai acara itu selama 10 tahun. - AGENSI