Jumaat, 29 Julai 2022 | 3:00pm
Bukan berlagak memilih pengarah, namun, Sara tidak mahu pengalaman dibazirkan dengan perkara yang boleh memberi risiko kepada karier seni. - NSTP/Rohanis Shukri
Bukan berlagak memilih pengarah, namun, Sara tidak mahu pengalaman dibazirkan dengan perkara yang boleh memberi risiko kepada karier seni. - NSTP/Rohanis Shukri

Sara tolak tawaran pengarah ada rekod buruk

KUALA LUMPUR: Demi menjaga reputasi, Sara Ali menolak bekerjasama dengan sutradara dan pengarah fotografi yang mempunyai rekod menghasilkan karya teruk.

Sara berkata, sebelum tawaran berlakon diterima, dia mengkaji latar belakang dan karya yang pernah dihasilkan individu terbabit sebelum membuat keputusan.

"Saya ada senarai kategori sutradara dan pengarah fotografi di mana saya enggan berlakon di bawah mereka. Jika mereka boleh nilai lakonan kami, pelakon juga boleh menilai cara pengarahan mereka.

"Biasanya, saya bertanya kepada insan di sekeliling mengenai pengarah yang bakal saya jalin kerjasama itu.

"Saya juga berusaha mencari karya yang pernah diarah individu terbabit, tidak kiralah sama ada filem pendek atau apa sahaja yang berkaitan.

"Jika produk yang dihasilkan mencapai standard diinginkan, barulah saya pertimbangkan tawaran itu," katanya kepada BH Online.

Sara bersama barisan pelakon pada majlis tayangan dan sidang media drama bersiri, Murder By Moonlight di ibu negara, baru-baru ini. - NSTP/Rohanis Shukri
Sara bersama barisan pelakon pada majlis tayangan dan sidang media drama bersiri, Murder By Moonlight di ibu negara, baru-baru ini. - NSTP/Rohanis Shukri

Bukan berlagak, namun, menurut pelakon yang bakal muncul dengan filem Air Force The Movie, dia tidak mahu pengalaman dibazirkan dengan perkara yang boleh memberi risiko kepada karier seni.

"Minta maaf, saya sudah 32 tahun sekarang. Saya tidak mahu membuang masa saya untuk berlakon dalam karya yang teruk.

"Saya pernah berlakon dalam karya yang jalan cerita dan skripnya sangat bagus. Namun, disebabkan pasukan produksi tidak bagus, ia memberi tempias terhadap kualiti karya terbabit," katanya.

Sara atau nama penuh, Siti Sarah Hairi Ali tidak kisah bekerjasama dengan pengarah muda asalkan memiliki kriteria diharapkan.

"Paling penting, pengarah mesti tahu skrip. Kalau pengarah tidak faham skrip, ia akan mendatangkan masalah kepada semua.

"Ada insiden pengarah tidak faham skrip. Saya pernah bekerja dengan seorang pengarah ada nama yang tidak faham skrip.

"Bagaimana apabila lima orang di set penggambaran faham, tetapi, dia tidak. Malas hendak bertekak dan mahu sesi penggambaran berlangsung dalam suasana harmoni, saya layan sahaja walaupun dalam hati, tidak seronok," katanya pada majlis tayangan dan sidang media drama bersiri Murder By Moonlight di ibu negara, baru-baru ini.

Julung kali membawa watak komedi, selain Sara, drama berkenaan dibintangi Sharifah Amani, Riz Amin, Ruzana Ibrahim, Radhi Khalid dan ramai lagi.

Drama lapan episod ini akan ditayangkan di Astro Citra mulai Isnin ini.

Berita Harian X