Isnin, 25 Julai 2022 | 1:00pm
Sissy menzahirkan penghargaan terhadap ibu bapa yang menyokongnya bermain piano sejak usia lima tahun. - Foto IG Sissy Imann
Sissy menzahirkan penghargaan terhadap ibu bapa yang menyokongnya bermain piano sejak usia lima tahun. - Foto IG Sissy Imann

Sissy rakam album di The Abbey Road Studios London

KUALA LUMPUR: Sissy Imann mencipta sejarah menjadi penyanyi wanita Malaysia pertama merakamkan album di The Abbey Road Studios, London, United Kingdom.

Berkongsi berita gembira, Sissy berkata, ia adalah satu pencapaian luar biasa selepas sembilan tahun bergelar penyanyi.

"Inilah hari bahagia yang dinantikan. Selepas sembilan dalam industri muzik, ia adalah perkara 'gila' apabila saya diberi peluang menghasilkan album pertama di studio bersejarah, The Abbey Road Studios London yang sebelum ini hanya rakaman album hebat penyanyi antarabangsa.

"Saya rasa kecil, Tuhan sahaja tahu ketika detik pertama menjejak kaki ke studio ini untuk memulakan rakaman.

"Saya tidak cukup bagus untuk layak mengalami semua pengalaman ini, tetapi Alhamdulillah, semuanya dipermudahkan," katanya kepada BH Online.

Sissy menyifatkan pengalaman luar biasa rakam album pertama di The Abbey Road Studios London selepas sembilan tahun bergelar penyanyi. - Foto IG Sissy Imann
Sissy menyifatkan pengalaman luar biasa rakam album pertama di The Abbey Road Studios London selepas sembilan tahun bergelar penyanyi. - Foto IG Sissy Imann

Sissy yang juga pengacara program Muzik-Muzik 36 itu berkata, dia melakukan sesi rakaman bersama penerbit muzik tempatan, AG Coco.

"Bermula cakap-cakap kosong, tetapi Allah susun dengan cantik. Macam tak percaya, namun, jujurnya bekerja dalam persekitaran berbeza, tetapi ditemani AG dan isterinya, Zuliana adalah satu rahmat.

"Zuliana amat mengagumkan melakukan suara latar, saya amat menyayanginya," katanya.

Sissy yang terbang ke London empat hari lalu berkata, dia tidak sabar memperdengarkan album pertamanya kepada peminat.

"Enam lagu ditulis. Ini adalah album ditulis oleh pemuzik berbakat di Malaysia dan London. Nantikan," katanya.

Sissy memilih melakukan rakaman bersama penerbit muzik tempatan, AG Coco. - Foto IG Sissy Imann
Sissy memilih melakukan rakaman bersama penerbit muzik tempatan, AG Coco. - Foto IG Sissy Imann

Dalam pada itu, Sissy menzahirkan penghargaannya terhadap ibu bapanya menyokongnya bermain piano sejak usia lima tahun.

"Ia adalah satu perkara tidak boleh dibayangkan. Sejak berusia lima tahun saya dipaksa bermain piano. Terima kasih Bonda dan Ayahanda kerana membayar kelas piano saya," katanya.

Berita Harian X