Isnin, 25 Julai 2022 | 8:30am
Flybaits dan Black Dog Bone bakal berdepan nasib seperti P Ramlee dan waris yang tidak akan menerima royalti sebaik tempoh perlindungan tamat.
Flybaits dan Black Dog Bone bakal berdepan nasib seperti P Ramlee dan waris yang tidak akan menerima royalti sebaik tempoh perlindungan tamat.

'Lanjut royalti sehingga 100 tahun'

KUALA LUMPUR: Usaha Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) memohon Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) melanjutkan tempoh perlindungan karya muzik dan seni selepas kematian pencipta termasuk tempoh perlindungan hak cipta bagi rakaman bunyi dan pelaku dilihat sebagai satu usaha murni bagi membantu penggiat muzik serta waris dalam menempuh era pandemik COVID-19.

Pemberian imbuhan tidak banyak, tetapi usaha memanjangkan tempoh perlindungan karya muzik atau seni menerusi Akta Hak Cipta 1987 daripada 50 tahun kepada 70 tahun bukan hanya melindungi lagu malar segar dihasilkan, malah lebih lama perlindungan hak cipta diberi lebih menguntungkan setiap pemuzik yang terbabit dalam penghasilan sesebuah karya.

Usaha melanjutkan tempoh perlindungan hak cipta memberi keuntungan kepada penggiat muzik daripada pencipta lagu, penulis lirik, penyanyi, pemuzik sehinggalah syarikat rakaman.

Mengikut rekod RIM, antara lagu sudah tamat tempoh perlindungan hak cipta rakaman membabitkan karya diterbitkan pada era 1960-an seperti lagu Allahyarham Tan Sri P Ramlee antaranya Getaran Jiwa, Dendang Perantau, Madu Tiga, Jeritan Batinku dan Bunyi Gitar serta lagu nyanyian Biduanita negara, Allahyarham Puan Sri Saloma

Selain itu, waris P Ramlee tidak akan menerima royalti sebaik tempoh perlindungan 50 tahun selepas pemergian Seniman Agung itu pada 29 Mei 1973 berakhir tahun depan.

Banyak katalog muzik lain berdepan nasib sama apabila tempoh perlindungan hak cipta rakaman seperti karya diterbitkan pada era 1970-an bakal tamat.

Ini termasuklah lagu dendangan kumpulan Flybaits dan Black Dog Bone yang masih popular hingga hari ini.

Vokalis Flybaits, Fredo, 72, yang popular menerusi lagu Mengapa Perpisahan Yang Kau Pinta, Kasih Berubah dan Kenangan Lalu berkata, ia satu kerugian kepada karya dan pemuzik apabila lagu dijadikan harta awam atau 'public domain'.

Fredo atau nama Islamnya, Mohd Amani Abdullah sedar bakal berdepan nasib seperti P Ramlee dan waris yang tidak akan menerima royalti sebaik tempoh perlindungan tamat.

Justeru, Fredo berharap, kerajaan menerusi MyIPO mengambil maklum keluhan penggiat muzik agar tempoh perlindungan dilanjutkan sekurang-kurangnya kepada 70 tahun.

"Sekalipun imbuhan diterima tidak banyak, ia tetap membawa sinar kepada pemuzik dan waris, lebih lagi saat mencabar berdepan era pandemik COVID-19.

"Apa yang bakal berlaku kepada karya P Ramlee dan Flybaits dalam tempoh beberapa tahun akan datang adalah satu yang tidak adil.

"Bagi saya, ia amat merugikan. Jika dilihat, karya dan lagu P Ramlee masih dimainkan dan diputarkan di mana sahaja tidak kira televisyen, radio dan majlis.

"Jadi, tidak adil apabila bayaran imbuhan untuk lagunya diberhenti dan dijadikan sebagai harta awam, sedangkan P Ramlee banyak menabur jasa," katanya kepada BH Online.

Fredo berharap usaha RIM mendapat perhatian kerajaan kerana tidak ramai penyanyi yang hidup senang di penghujung usia.
Fredo berharap usaha RIM mendapat perhatian kerajaan kerana tidak ramai penyanyi yang hidup senang di penghujung usia.

Fredo berharap, nasib sama tidak menimpa Flybaits kerana karya mereka masih digemari hingga hari ini.

"Jika kami sudah tiada sekali pun, sekurang-kurangnya waris dapat merasa. Anak cucu dapat menikmati sedikit hasil titik peluh peninggalan sebagai anak seni," katanya.

Justeru, katanya, dia amat menyokong usaha RIM memperjuangkan hak anak seni.

Katanya, pemberian mungkin tidak banyak, tetapi dapat meringankan sedikit bebanan khususnya penggiat seni yang sudah uzur dan tidak mampu mencari rezeki.

"Saya berharap usaha RIM mendapat perhatian kerajaan kerana tidak ramai penyanyi yang hidup senang di penghujung usia. Lihat bagaimana pengakhiran hidup P Ramlee?

"Begitu juga beberapa penyanyi lama yang hidup susah, sedangkan ada antara mereka bergelar Datuk dan banyak berjasa.

"Walaupun imbuhan diterima tidak banyak, ia tetap mampu memberikan senyuman pada penyanyi dan komposer. Contohnya, macam pekerja hotel, bayangkan perasaan mereka apabila pelanggan memberikan tip walaupun cuma RM5.

"Tentu mereka gembira dan rasai dihargai, begitu juga perasaan kami. Melihat peminat bertepuk dan bersorak menonton persembahan tentunya sesuatu yang menggembirakan dan apabila mendapat imbuhan, ia lebih menggembirakan," katanya.

Sementara itu, vokalis Black Dog Bone, Jatt berkata, dia sudah lama tidak menerima royalti kerana tidak tahu harus merujuk kepada siapa untuk urusan berkenaan.

Namun, katanya, dia menyokong usaha murni RIM membantu memperjuangkan hak anak seni.

Jatt yang popular menerusi lagu Cahaya Aidilfitri, Khayalan dan Si Gadis Ayu berkata, dia menyokong agar pemberian royalti dilanjutkan sehingga 100 tahun.

Jika tidak, katanya, karya dihasil dan dipersembahkan dengan bersusah payah akan berakhir begitu sahaja.

"Bagaimana anak cucu hendak membuat tuntutan dan merasa hasil titik peluh kami sekiranya tempoh hak cipta hanya dibenarkan sehingga 50 tahun?

"Jika betul RIM ingin membantu, tentunya saya sangat menyokong. Sayang, lagu-lagu yang masih popular habis begitu sahaja apabila dijadikan harta awam.

"Sekurang-kurangnya jika komposer dan penyanyi sudah tidak ada, waris dapat merasa imbuhan ditinggalkan," katanya.

Jatt berharap menyokong agar pemberian royalti dilanjutkan sehingga 100 tahun.
Jatt berharap menyokong agar pemberian royalti dilanjutkan sehingga 100 tahun.

Terdahulu, anak P Ramlee, Sazali, meluahkan keresahan apabila kontrak royalti lagu karya bapanya yang diperoleh daripada Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik (MACP), bakal berakhir tahun depan.

Menyedari banyak katalog muzik dirakam seperti lagu era 1970-an dan 1980-an membabitkan bintang lagenda seperti Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, Kenny, Remy & Martin, Dwen, Gingerbread, D'lloyd, Julie Remie, The Brain Connection, Datuk Hail Amir dan Uji Rashid bakal menjadi harta awam, RIM membuat permohonan kepada kerajaan agar tempoh perlindungan karya seni dilanjutkan.

Mengikut Akta Hak Cipta 1987, tempoh perlindungan hak cipta mengenai mana-mana karya sastera, muzik atau seni wujud semasa hayat pencipta dan hendaklah terus wujud sehingga habis tempoh 50 tahun selepas kematiannya.

Tempoh perlindungan hak cipta bagi filem, rakaman bunyi dan pelaku pula hendaklah wujud selama 50 tahun daripada karya itu diterbitkan dengan dibuat penetapan untuk karya filem dan rakaman bunyi.

Bagi pelaku, hak cipta hendaklah wujud daripada persembahan dilakukan atau penetapan dalam rakaman bunyi.

Proses pungutan dan agihan royalti pula dibuat antara lain berdasarkan data penggunaan yang diperoleh daripada pelbagai pihak seperti stesen penyiaran, persembahan konsert, hotel, pusat karaoke dan lain-lain.

Pengagihan pula dibuat mengikut kekerapan penggunaan sesebuah karya terbabit.

Berita Harian X