Sabtu, 23 Julai 2022 | 1:00pm
Yana mengaku tidak menghebahkan pemergiannya ke Tanah Suci untuk mengejarkan ibadat haji bersama suami dan ibu bapa. Foto IG Yana Samsudin
Yana mengaku tidak menghebahkan pemergiannya ke Tanah Suci untuk mengejarkan ibadat haji bersama suami dan ibu bapa. Foto IG Yana Samsudin

Yana capai nazar bawa ibu bapa tunai haji

KUALA LUMPUR: Demi bakti kepada ibu bapa selagi hayat mereka masih dikandung badan, Yana Samsudin mengetepikan niat memiliki rumah idaman bagi membawa dua insan tercinta itu menunaikan fardu haji, baru-baru ini.

Malah, bagi memberi keselesaan kepada ibu bapa, Yana dan suami, Fadzil Zahari mengumpul segala sumber kewangan bagi mendapatkan pakej haji Furada buat mereka.

Yana atau nama sebenar, Norliana Samsudin, 37, mengaku sudah lama bernazar membawa kedua-dua orang tuanya, Samsudin Jamuri dan Suhaily Abdullah menunaikan haji, iaitu sejak zaman anak dara.

Namun, kata Yana, ada sahaja halangan dihadapi, termasuk wang bagi membiayai kos ibadat haji yang dikumpul, diseleweng.

Keputusan mendirikan rumah tangga dengan penerbit, Fadzil Zahari, kira-kira enam tahun lalu juga menyebabkan hasratnya itu sekali lagi tertangguh.

Namun, akhir tahun lalu, Yana nekad memenuhi nazarnya itu berikutan ibu bapa makin berusia.

"Sejak berjinak-jinak dalam dunia seni, saya pasang beberapa nazar. Pertama, saya mahu menyediakan kediaman selesa untuk ibu bapa kerana rumah yang kami diami hanya ada dua bilik.

"Jadi, kami adik beradik terpaksa tidur bergelimpangan di ruang tamu. Selepas nazar itu tertunai, saya impikan membawa emak dan abah tunaikan haji.

"Namun, ketika itu, mereka tidak mahu terbang ke Tanah Suci dengan pakej lain, kecuali Tabung Haji.

Yana dan Fadzil bersyukur dapat menunaikan hajat membawa ibu bapa mengerjakan ibadat haji di Makkah biarpun hasrat membeli kediaman baharu terpaksa dilupakan. Foto IG Yana Samsudin
Yana dan Fadzil bersyukur dapat menunaikan hajat membawa ibu bapa mengerjakan ibadat haji di Makkah biarpun hasrat membeli kediaman baharu terpaksa dilupakan. Foto IG Yana Samsudin

"Saya rancang bawa mereka sebelum mendirikan rumah tangga, namun hasrat itu tidak kesampaian. Apabila berkahwin, hasrat itu sekali lagi ditangguhkan," katanya ketika dihubungi BH Online di Tanah Suci.

Akhirnya, kongsi Yana, pada akhir tahun lalu, selepas solat jemaah bersama suami, Yana menyatakan hasrat untuk membawa ibu bapa menunaikan haji dan melupakan niat memiliki kediaman baharu.

"Tahun lalu, saya dan suami ligat mencari rumah impian di Kuala Lumpur. Namun, tiada yang berkenan di hati. Jadi, saya buat keputusan untuk menggunakan wang itu bagi membiayai kos haji.

"Lagipun, suami beritahu, rumah idaman boleh dicari bila-bila masa, sedangkan kita tidak tahu sampai bila mereka akan bersama.

"Lagipun, tahun ini, abah menginjak 78 tahun. Jadi, saya cari pakej haji Furada untuk kami berempat. Alhamdulillah, emak dan abah setuju biarpun sebelum ini, mereka enggan mengikut pakej haji swasta," katanya.

Yana mengaku keperluan menunaikan haji lebih penting berbanding memiliki rumah baharu.

"Tunaikan haji lebih penting kerana termasuk dalam Rukun Islam. Saya tidak mahu berdosa kerana mampu pergi, tetapi saya tidak melakukannya," katanya.

Yana mengaku pemergiannya ke Tanah Suci bersama suami dan ibu bapa, tidak diketahui ramai.

Pelakon Adnan Sempit ini tidak selesa bercerita mengenai perkara itu, bukan sahaja kepada khalayak, malah, teman, melainkan pekerja dan individu yang rapat dengannya.

Ibu kepada dua cahaya mata ini memberitahu, selagi belum tiba di Arafah, selagi itulah dia tidak berani berkongsi mengenai pemergiannya ke Tanah Suci. Baginya, apa sahaja boleh berlaku dalam perancangannya menunaikan haji.

"Saya ke Tanah Suci untuk beribadat. Disebabkan itulah, saya tidak memuat naik gambar ketika hendak berangkat.

"Saya tidak mahu dikatakan menunjuk-nunjuk sedangkan menunaikan haji adalah tuntutan agama.

"Bagaimanapun, akhirnya, saya terpaksa memuat naik foto kerana ada teman bertanya di mana saya bakal meraikan Aidiladha.

"Jadi, saya terpaksa beritahu. Namun, seperti saya rahsiakan pemergian, begitu jugalah dengan kepulangan nanti. Saya tidak akan beritahu bila saya kembali ke Malaysia," katanya.

Biarpun kali pertama menjejakkan kaki ke Tanah Suci, Yana meraih pengalaman sangat berharga.

Yana bersyukur mendapat layanan istimewa daripada pengurus haji daripada Syarikat South East Asia (SEA) yang bertanggungjawab mengendalikan visa haji untuk jemaah Malaysia, Indonesia, Thailand, Vietnam, Filipina dan Korea Selatan.

Yana berkata, mungkin atas niat berbakti kepada ibu bapa, dia menerima hadiah istimewa apabila dapat bertemu dengan Pengerusi SEA, Adnan H Mandourah.

"Saya bukan siapa-siapa, bukan menteri dan bukan orang penting. Saya hanyalah insan kerdil. Tidak sangka begitu istimewa sekali layanan diberikan.

"Mungkin, ini berkat berhempas pulas ke arah agama dan niat berbakti pada ibu bapa.

"Bukan sekali mereka menyantuni saya, sebaliknya, beberapa kali berpeluang bertemu Adnan. Malah, hubungan kami seperti kawan. Kami dijemput ke pejabat mereka untuk melihat sendiri proses pengurusan haji.

"Saya anggap pengalaman ini hadiah yang Allah ingin berikan kepada saya," katanya.

Berita Harian X