Rabu, 20 Julai 2022 | 2:50pm
Siti, suami dan Yayasan Nurjiwa akan membuat sumbangan untuk keperluan sekolah hafazan al-Quran di Gaza, setiap bulan.
Siti, suami dan Yayasan Nurjiwa akan membuat sumbangan untuk keperluan sekolah hafazan al-Quran di Gaza, setiap bulan.

Siti Nurhaliza bangunkan sekolah di Gaza

KUALA LUMPUR: Impian penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza membuka sekolah di wilayah bergolak di Gaza, Palestin akhirnya menjadi kenyataan apabila sekolah hafal al-Quran, Afwa & Aafiyah dibina pada Oktober tahun lalu.

Ia direalisasikan di bawah Yayasan Nurjiwa diusahakan bersama suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa.

Sekolah yang beroperasi sejak sembilan bulan lalu menempatkan kanak-kanak dari usia antara 4 hingga 6 tahun. Dan kini, mempunyai 50 pelajar.

Siti berkata, sekolah pendidikan awal dan hafazan al-Quran itu memerlukan bajet berjumlah RM10,000 untuk beroperasi termasuklah kos sewa bangunan, penyelenggaraan dan upah tenaga pengajar.

"Apa yang saya dan suami lakukan demi bekalan akhirat nanti. Kami cuba membantu umat Islam yang terkesan di Gaza akibat peperangan selama bertahun-tahun.

"Kanak-kanak adalah pelapis generasi masa depan, jadi saya dan suami terpanggil memberikan sokongan dengan menubuhkan sekolah.

"Namun, Yayasan Nurjiwa tidak melupakan insan yang tidak bernasib baik di Malaysia seperti mangsa banjir, pembinaan masjid dan sebagainya.

"Atas sebab itu, kami tidak pernah menutup tabung diwujudkan Yayasan Nurjiwa agar bantuan boleh diberikan secara berterusan dan setiap masa. Bukan hanya ketika negara ditimpa musibah," katanya kepada BH Online.

Berkongsi mengenai sekolah ditubuhkan, Siti, 43, berkata, mereka masih belum berpeluang menjejakkan kaki ke Gaza, tetapi mempunyai cita-cita meninjau sendiri keadaan sekolah berkenaan.

Siti masih belum berpeluang menjejakkan kaki ke Gaza, namun, mempunyai cita-cita meninjau sendiri keadaan sekolah berkenaan. - NSTP/Rohanis Shukri
Siti masih belum berpeluang menjejakkan kaki ke Gaza, namun, mempunyai cita-cita meninjau sendiri keadaan sekolah berkenaan. - NSTP/Rohanis Shukri

Bagaimanapun, katanya, dia hanya menerima laporan daripada sahabat yang juga warga Palestin dilantik menguruskan sekolah berkenaan kerana keadaan di Gaza tidak mengizinkan.

"Sahabat itulah yang mengemaskini apa sahaja aktiviti pelajar berkaitan pengajian, ujian, hafazan, peperiksaan dan sebagainya.

"Biasanya, mereka akan menghantar dalam bentuk video dan anak sulung, Siti Aafiyah juga sangat teruja melihat video yang dikirimkan, malah, memanggil kanak-kanak berkenaan sebagai rakannya.

"Alhamdulillah, secara peribadi, saya dan suami serta Yayasan Nurjiwa akan membuat sumbangan untuk keperluan sekolah, setiap bulan. Kami mahu usaha ini berterusan dan semuanya daripada kami.

"Jika ada rezeki lebih, setiap kali terbabit dengan persembahan atau duta, saya akan memperuntukkan sebahagian wang yang diperoleh sebagai agihan zakat untuk pembelajaran kanak-kanak di sekolah ini," katanya ketika ditemui pada sidang media Music of The Soul: An Evening with Datuk Seri Siti Nurhaliza yang bakal berlangsung pada 5 dan 6 November depan bertempat di Dewan Planery, Pusat Konvensyen Antarabangsa Kuala Lumpur (KLCC).

Siti berkata, persembahan selama dua malam itu bertujuan mengutip dana untuk disalurkan ke Yayasan Nurjiwa.

"Kami menyasarkan kutipan RM1 juta daripada persembahan ini untuk disalurkan ke Yayasan Nurjiwa. Namun, kami mengalu-alukan sumbangan orang perseorangan atau syarikat berminat untuk menyumbang.

"Ini kerana kami masih mengutip dana di bawah Tabung Bantuan Khas Bencana Alam, Palestin dan COVID-19 dengan kerjasama Kita Fund.

"Kutipan ini bukan untuk sekolah di Gaza, sebaliknya Yayasan Nurjiwa membahagikannya untuk semua," katanya.

​​Mengulas mengenai persembahan amal itu, Siti turut mengundang Datuk Awie untuk menyerikan persembahan berkenaan.

"Sejujurnya, saya tidak pernah membuat persembahan eksklusif bersama Datuk Awie. Ini kali pertama digandingkan atas satu pentas.

"Saya membesar mendengar dan menyanyikan lagu Wings. Pada persembahan itu, saya akan menyanyikan empat lagu berduet bersama Awie," katanya.

Siti akan mempersembahkan 20 lagu menerusi persembahan berlangsung selama dua jam. Tiket dijual pada harga RM188, RM288, RM588, RM788, RM988 dan RM1,188.

Berita Harian X