X
Rabu, 20 Julai 2022 | 1:00pm
Saling melengkapi, Noh dan Mizz Nina tidak pernah menganggap ‘kekurangan’ menjarakkan cinta, kasih dan sayang antara mereka.
Saling melengkapi, Noh dan Mizz Nina tidak pernah menganggap ‘kekurangan’ menjarakkan cinta, kasih dan sayang antara mereka.

'Cinta antara dua darjat'

KUALA LUMPUR: Di sebalik diuji ketiadaan zuriat selepas 11 tahun melayari bahtera rumah tangga, pasangan sehati sejiwa, Noh Salleh, 37, dan isterinya, Mizz Nina, 42, tetap bahagia dengan kehidupan seadanya.

Saling melengkapi antara satu sama lain, pasangan suami isteri yang sering terbabit dengan aktiviti kemanusiaan itu tidak pernah menganggap 'kekurangan' menjarakkan cinta, kasih dan sayang mereka.

Di sebalik penantian panjang, kehadiran anak angkat yang dipanggil Baby Musa pada Mac lalu akhirnya menjadi pelengkap kehidupan Noh dan Mizz Nina.

Noh berkata, wanita istimewa bernama Shazrina Azman itu banyak mengajarnya mengenai kehidupan, selain pengorbanan dilakukan amat luar biasa.

"Lumrah kehidupan ada turun dan naik. Namun, saya pernah katakan kepada Nina pada awal perkahwinan, saya mungkin tidak berharta.

"Tetapi, jika mahu mencari suami yang akan menjaga dan membimbing ke jalan Allah, insya-Allah saya boleh lakukan.

"Nyata, ungkapan ini bagai azimat dalam kehidupan kami. Ia membentuk saya dan Nina seperti yang dilihat hari ini.

"Ada masanya, saya juga menjadi manusia yang mudah terleka. Namun, Nina dalam fasa penghijrahan ketika itu pula menarik saya mencari keredaan Allah bersama," katanya kepada BH Online.

Vokalis kumpulan Hujan itu berkata, dia kagum dan menghormati perubahan isterinya.

"Nina sanggup meninggalkan dunia seni demi mencari keredaan Allah. Pengorbanannya amat besar dan akhirnya, kami saling menyokong dan melakukan perkara membahagiakan bersama.

"Ketika itu, saya juga sedar jika bertemu seseorang yang boleh menjadikan kita Muslim dan Muslimah yang lebih baik, jangan sesekali melepaskannya," kata Noh.

Pengorbanan Mizz Nina, jentik hati Noh bentuk diri dan cari keredaan Allah.
Pengorbanan Mizz Nina, jentik hati Noh bentuk diri dan cari keredaan Allah.

Tegas penyanyi lagu Angin Kencang ini, dia tidak segan menyifatkan isteri sebagai bidadari kiriman Tuhan daripada syurga.

"Di fasa awal perkahwinan, ada yang anggap cinta umpama dua darjat. Nina dari keluarga berada, saya pula sebaliknya.

"Namun, Nina bukan jenis memandang kebendaan, bahkan, menerima saya seadanya.

"Setiap kelebihan dan kekurangan dipupuk menjadi satu. Saya akui, perubahan Nina banyak menjentik diri saya.

"Cara Nina istiqamah sehingga meninggalkan dunia seni yang dicintai juga amat besar pengorbanannya," katanya.

Kata Noh, isterinya adalah seorang wanita kebal, tidak pernah meminta-minta.

"Jika tak suka, Nina berkata dengan jujur, begitu juga sebaliknya.

"Nina tidak akan membiarkan dirinya dibuli, waima saya sendiri. Nina tegas dalam menjaga diri dan mempunyai pegangan kuat terhadap apa yang diperjuangkan," katanya.

Noh atau nama sebenarnya, Mohammad Noh Salleh berkata, mereka menjalani kehidupan dengan penuh toleransi.

"Sama saja dengan pasangan berkahwin lain, kita akan cuba melengkapi diri masing-masing. Kalau dulu kami bahagia berdua dengan cara tersendiri.

"Namun, kehadiran Baby Musa merubah kehidupan, tanggungjawab jadi lebih besar. Dahulu, saya akui berdepan tekanan kecil diajukan persoalan cahaya mata.

"Akhirnya, Allah buka jalan mencari alternatif lain untuk memperoleh cahaya mata. Banyak sudut dipertimbangkan walaupun tidak pernah putus asa untuk berusaha.

"Kehadiran Baby Musa jadi pelengkap kasih sayang saya dan Nina," katanya.

Kehidupan Mizz Nina dan Noh berubah seperti menaiki ‘roller coaster’ selepas bergelar ibu bapa.
Kehidupan Mizz Nina dan Noh berubah seperti menaiki ‘roller coaster’ selepas bergelar ibu bapa.

Dijolok keputusan tidak mendedahkan wajah Baby Musa, Noh menghormati pendirian isterinya.

"Hingga saat ini, kami belum mendedahkan wajah Baby Musa. Siapa tahu, pendirian ini akan berubah suatu masa nanti.

"Saya dan Nina mahu nikmati momen bertiga tanpa tekanan. Baby Musa semakin membesar dan bijak.

"Betullah anggapan sesetengah orang, jika ada anak kita akan rindu dan cepat nak balik ke rumah. Itulah yang saya dan Nina lalui hari ini, malah, Nina tak berenggang dengan Baby Musa," katanya.

Dalam perkembangan lain, Noh kini sibuk memenuhi komitmen sebagai penyanyi.

"Saya bakal beraksi menerusi Konsert 3 Generasi di Zepp KL pada 27 Ogos depan.

"Saya turut berkongsi pentas dengan dua kumpulan legenda, Spider dan XPDC," katanya.

Sementara itu, Mizz Nina berkata, kehadiran Baby Musa menjadi hadiah terindah.

"Musa adalah kurniaan terindah Allah buat kami. Kehidupan saya bersama Noh berubah seperti menaiki 'roller coaster' selepas bergelar ibu bapa.

"Malah, kami menikmati indah saat bersama dengan penuh kasih sayang.

"Setiap hari saya memanjat kesyukuran Allah kurniaan Baby Musa, sekali gus, menjadi pemegang amanah untuk menjaga sebaiknya.

"Saya dan Noh amat menyayanginya. Semoga Baby Musa menjadi penegak kebenaran untuk kami terus melakukan kebaikan.

"Saya juga tidak pernah putus doa moga Baby Musa dikurniakan akhlak terpuji, minda dan badan sihat, hati dan jiwa yang bersih. Moga Baby Musa terus dalam rahmat Allah," katanya yang pernah melalui banyak proses persenyawaan in-vitro (IVF) selama bertahun-tahun, namun, dihadiahkan cahaya mata menerusi cara lain.

Berita Harian X