Ahad, 10 Julai 2022 | 11:00am
Mak Wan membuat laporan polis berhubung fitnah dan dilakukan kekasaran oleh bekas pembantu peribadi.
Mak Wan membuat laporan polis berhubung fitnah dan dilakukan kekasaran oleh bekas pembantu peribadi.

Saya tak baik, tidak juga jahat - Mak Wan

KUALA LUMPUR: Bagaikan episod berantai, satu demi satu kisah 'keburukan' pelakon veteran, Mak Wan Latah, 61, didedahkan.

Selepas berita perceraian dan kenyataan bekas suami mendedahkan pelakon drama 7 Hari Mencintaiku 3 itu mempunyai akhlak tidak baik, diikuti dengan pendedahan seorang wanita dalam laman Twitter mendakwa Mak Wan melakukan sihir terhadap neneknya gara-gara cemburu terima banyak tawaran lakonan.

Ia disusuli video Mak Wan sedang berkaraoke tular ketika masih dalam tempoh edah.

Namun, kisah terbaharu meletakkan Mak Wan atau nama sebenarnya, Halimatussa'diah Mohd Daud dalam bara api apabila seorang individu yang didakwa bekas pembantu peribadi mendedahkan perbuatan syirik menerusi beberapa video yang tular dalam aplikasi TikTok, baru-baru ini.

Menerusi beberapa video meraih jutaan tontonan itu, kelihatan individu mirip Mak Wan melakukan ritual pelik dengan membaca jampi serapah dan sedang mencalit sesuatu pada kening.

Malah, dalam sisi lain mendedahkan sikap panas baran Mak Wan menerusi video sedang bertengkar dengan lelaki tua dipercayai bekas suami sehingga menendang pintu dengan kuat.

Bekas pembantu peribadi itu mendakwa, dia dan bekas suaminya antara mangsa Mak Wan dan diberi minum 'benda kotor'. Malah, wanita itu turut membuat laporan polis berhubung kehilangan duit dan barang kemas miliknya yang didakwa diambil Mak Wan.

Mengulasnya, Mak Wan tidak dinafikan, perbuatan individu ini memberi kesan kepada emosinya.

"Saya tidak selera makan dan merasai kesedihan mendalam kerana belum pernah diaibkan seteruk ini.

"Siang malam saya hanya mampu berdoa agar diberikan kekuatan dan kesabaran yang tinggi.

"Saya juga tidak pasti kenapa individu ini bertindak sedemikian. Mungkin otaknya sudah tidak berapa betul.

"Dia nak tulis atau buat apa sahaja, itu haknya dan saya tak mampu menghalang," katanya kepada BH Online.

Pelakon drama Kekasih Paksa Rela dan Asalkan Dia Bahagia itu turut mempersoalkan kenapa memuji dirinya sebelum ini.

"Sebab nak duit saya, kan? Kenapa apabila saya tak nak, buat cerita macam-macam?

"Biarlah, buatlah apa nak buat, tetapi saya tidak akan sesekali membuka aibnya. Lagipun, Allah ada. Saya percaya Allah sentiasa bersama saya," katanya.

Mak Wan berkata, dia sudah membuat laporan polis di Balai Polis Taiping, Perak kerana kes berlaku di Batu Kurau.

"Laporan polis berhubung dakwaan fitnah dilemparkan terhadap saya," katanya.

Antara petikan video yang didedah dan ditularkan bekas pembantu peribadi.
Antara petikan video yang didedah dan ditularkan bekas pembantu peribadi.

Diasak pertanyaan sejauh manakah kebenaran mengamalkan perbuatan ritual yang dianggap syirik, Mak Wan berkata, video membaca mantera adalah video lama.

"Saya terbabit dengan drama berjudul Pelaris, jadi saya sedang melakukan latihan untuk watak bomoh jahat.

"Video bukan diambil secara curi-curi, tetapi individu ini memang berniat untuk rakam. Cuma, saya 'bodoh' kerana mengikut sahaja arahannya. Sekarang, dia fitnah saya buat benda syirik gara-gara video ini," katanya.

Menjawab pertanyaan video bertengkar dengan lelaki tua sambil menendang pintu, Mak Wan percaya Allah ada dan sentiasa bersamanya.

"Tak perlulah saya mengulasnya. Saya akan berdiam selagi Allah beri saya kekuatan.

"Terserahlah mahu menganggap saya apa sahaja, itu hak masing-masing. Sebagai manusia, saya percaya diri sendiri.

"Lagipun, manusia zaman sekarang lebih percaya kepada fitnah berbanding kebenaran.

"Saya reda. Saya tak baik, tetapi saya juga tidak jahat. Tak mengapa, apa yang lebih penting, Allah tahu siapa saya dan apa yang dilakukan," katanya.

Mengulas sejauh manakah kebenaran individu itu didakwa memukul, menendang dan mengugut mahu membunuhnya, Mak Wan berkata, dia tiada daya mahu melawannya.

"Sekiranya melawan, saya kena lagi teruk. Orang yang berada bersama saya pun tak berani mahu membantu, hanya mampu melihat sahaja.

"Sebenarnya, sudah lama saya diamkan. Kekasarannya terhadap saya baru sahaja dilaporkan kepada polis. Banyak kali saya kena pukul, tendang, tumbuk dan baling kepala saya dengan botol yang masih penuh air.

"Kejadian berlaku, tahun ini. Saya takut nak melawan atau mengadu kepada orang lain, lagipun, telefon bimbit saya dipegangnya.

"Kali terakhir dipukul di depan ramai saksi termasuk ibunya. Apapun, semua bukti saya serahkan kepada polis.

"Dalam usia 61 tahun, tiada apa yang boleh saya buat kecuali menangis dan menahan sakit," katanya,

Terdahulu, nama Mak Wan mula jadi sebutan apabila perkahwinannya dengan bekas suami, Husain Dollah hanya bertahan selama tiga bulan, sebelum bercerai April lalu.

Husain mendakwa berada dalam keadaan tekanan dengan sikap Mak Wan yang disifatkan keterlaluan sehingga tidak menghormatinya sebagai suami.

Berita Harian X