IPOH: Kerajaan Perak menimbang cadangan mengekalkan set penggambaran filem 'box office', Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan di Padang Koba Telok Bakong, dekat Bota, Perak sebagai destinasi pelancongan filem.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi, berkata syor itu dipertimbangkan bagi mengangkat industri perfileman negara dan menjadikan lokasi terbabit sebagai produk pelancongan baharu di Perak.
"Ini satu cadangan yang baik. Setakat ini, kita belum melakukan apa-apa untuk mengekalkan lokasi penggambaran terbabit kerana difahamkan, ia bukan set kekal.
"Jadi, kita akan lihat cadangan, sama ada kita perlu kekalkan lokasi berkenaan sebagai destinasi pelancongan filem popular," katanya pada sidang media mengumumkan program Aprisiasi Seni, Budaya dan Warisan Negeri Perak 2022 di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perak di sini, kelmarin.
Yang turut hadir Ketua Pengarah JKKN, Mesran Mohd Yusop; Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin dan Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Tourism Perak Management Berhad, Datuk Mohamad Kamil Shafie.
Nolee Ashilin berkata, cadangan mengekalkan set penggambaran filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan di Padang Koba Telok Bakong selari dengan penubuhan Perak Film Office (PFO) sejak 2016.
"PFO menawarkan khidmat membantu pengusaha filem mengenalpasti lokasi penggambaran yang sesuai dengan kehendak mereka.
"Sudah banyak lokasi di Perak yang menjadi pilihan penerbit kerana kedudukan berhampiran Kuala Lumpur dan memudahkan kru dan tenaga produksi bergerak.
"Kita ada banyak lokasi lain yang boleh disesuaikan dengan filem. Contohnya, Kapal Korek Tanjung Tualang No 5 (TT5) di Tanjung Tualang yang sudah beberapa kali kerja penggambaran dilakukan di sana.
"Kita berharap banyak lagi lokasi di Perak yang akan mendapat perhatian penerbit filem pada masa akan datang," katanya.
Mengenai program Apresiasi Seni, Budaya dan Warisan Negeri Perak, Nolee Ashilin berkata, Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) memperuntukkan geran bernilai RM1.18 juta bagi menampung sebahagian kos program.
Tambahnya, program itu merangkumi budaya, seni visual, teater, muzik, sastera, kraf dan tari.
"Sebanyak 10 program seni budaya dan warisan berlangsung di Perak mulai bulan ini hingga Disember depan.
"Antara program yang bakal dianjurkan adalah Festival Makanan Tradisional Warisan Negeri Perak, Temasya Budaya Negeri Perak, Festival Kraf Negeri Perak, Program Pior Perak-Jerayawara Art Trail," katanya.
Turut dianjurkan Simposium Muzik Ipoh Kali Ke-4, Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa (PULARA) Ke-10, Festival Tari Malaysia Negeri Perak dan Kejuaraan Tari Kanak-Kanak Negeri Perak, Pementasan Bangsawan: Hikayat Segenta Alam dan pementasan teater Sungai Manik Berdarah.