Khamis, 7 Julai 2022 | 5:43pm
Zahidi ketika berucap pada majlis pelancaran supertele Penanggal Mak Kiah dan filem Flaka di Putrajaya, hari ini.
Zahidi ketika berucap pada majlis pelancaran supertele Penanggal Mak Kiah dan filem Flaka di Putrajaya, hari ini.

Isu duti hiburan, K-KOMM mahu bincang dengan PBT

PUTRAJAYA: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) mahu berbincang dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mengurangkan duti hiburan 25 peratus kepada kadar munasabah.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin, berkata cukai hiburan terlalu tinggi bagi aktiviti kesenian dan kebudayaan membebankan penggiat industri kreatif.

"Perkara ini memang patut diperjuangkan penggiat seni dan masyarakat. Saya berterima kasih kerana masyarakat prihatin mengenai cukai hiburan sebanyak 25 peratus ini.

"Kalau boleh, kami mahu minta PBT tidak mengenakan cukai yang sangat tinggi.

Zahidi (tiga dari kanan) bersama penerbit Darraz Empire, Dayang Areeda (dua dari kiri) pada majlis pelancaran supertele Penanggal Mak Kiah dan filem Flaka di Putrajaya, hari ini.
Zahidi (tiga dari kanan) bersama penerbit Darraz Empire, Dayang Areeda (dua dari kiri) pada majlis pelancaran supertele Penanggal Mak Kiah dan filem Flaka di Putrajaya, hari ini.

"Kita mahu bantu penggiat seni negara. Tetapi, kalau PBT mengenakan cukai hiburan yang tinggi, ia boleh membantutkan perkembangan dan kemajuan industri kreatif kita," katanya kepada pemberita selepas melancarkan supertele Penanggal Mak Kiah dan filem Flaka di sini, hari ini.

Zahidi berkata, duti hiburan 25 peratus bukan sahaja dikenakan bagi tayangan filem di pawagam, sebaliknya aktiviti seperti 'busking' turut dikenakan caj mahal.

"Ini suatu perkara yang tidak patut. Namun, bukan semua PBT begitu, hanya sesetengah saja.

"Jadi, saya akan berjumpa dengan kerajaan negeri untuk berbincang dengan PBT agar tidak mengenakan caj tinggi. Kalau boleh, 10 peratus cukuplah," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai kejayaan filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan yang meraih RM51.8 juta dalam tempoh 13 hari tayangan, Zahidi berkata, kementerian merancang menghasilkan lebih banyak filem berkisar sejarah negara.

"Kami sedang melancarkan projek Road To Oscars di mana kementerian mencari jalan untuk bekerjasama dengan beberapa pihak bagi mendapat tajaan dan sebagainya.

"Kami ada meminta universiti tempatan dan sektor telekomunikasi untuk membantu. Kalau boleh, bukan saja mahu bajet Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), sebaliknya, kami mahu syarikat lain beri sokongan demi kemajuan dan perkembangan industri kreatif negara.

"Melalui Road To Oscars, kami mahu buat filem sejarah yang boleh dipasarkan di peringkat antarabangsa. Selain Mat Kilau, contohnya, kita boleh buat filem mengenai Raja Ali Haji secara kerjasama dengan negara jiran," katanya.

Zahidi berkata, perkara itu disuarakan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa selepas pulang daripada lawatan kerja ke Bangkok, Thailand, baru-baru ini.

"Selepas pulang dari Bangkok, Annuar beritahu kalau boleh, kita mahu buat filem yang ada sentuhan antarabangsa.

"Seperti Mat Kilau, dia adalah pahlawan Melayu. Raja Ali Haji adalah pahlawan nusantara kerana beliau berketurunan Bugis.

"Raja Ali Haji ini mempunyai sejarah melawan penjajah yang cukup banyak dan terkorban dalam usahanya itu," katanya sambil menambah ada pihak dari Hong Kong berminat datang ke Kuala Lumpur dan menjayakan filem mengenai kapitan Cina, Yap Ah Loy.

Zahidi berkata, pihaknya tidak mahu apabila tiba sambutan Hari Kebangsaan, hanya filem kenegaraan sama ditayangkan.

"Kita tak mahu nanti, hanya tayang filem seperti Bukit Kepong dan Leftenan Adnan sahaja ditayangkan," katanya.

Berita Harian X